Saturday, April 30, 2011

4 Tahun Penuh Cinta~

Semoga cinta seluas angkasa, memimpin kita ke jalan syurga..
Di setiap langkah, dalam mencari redhaNya..
Aminnnn..
.
4 tahun penuh cinta~

Friday, April 29, 2011

Rasa syahdu di sudut hati yang paling dalam!

Ok, saya tipu. Belum tiba esok, hari ini sudah kembali bersiaran.. ;P
.
Ada satu rasa yang membuatkan saya kembali mencoret. Satu rasa yang penuh kesyahduan dan penuh pengharapan.
.
Sebelum solat jumaat tadi, berkali-kali Encik Hubby berkata pada saya, "Kalau Ian boleh jalan, abang dah bawak dah pegi semayang jumaat.
.
Ayat itu diulang berkali-kali. Mungkin kerana tiada sahutan dari saya. Sungguh saya tidak tahu apa yang ingin dikatakan kepadanya. Kerana segalanya tetap sama. InsyaAllah, he will walk.. One fine day.. Saya tidak mahu mengulangi ayat yang satu ini kerna semuanya terlalu biasa.. Dia juga tahu tentang itu..
.
Pulang dari solat jumaat dan usai menikmati makan tengahari, dia berkata lagi, "Tadi abang jumpa Abang Ja kat Masjid. Dia pergi dengan anak lelaki dia yang kecik tu.." 
.
Ayatnya bersahaja. Saya cuba menangkap irama kata-katanya. Berbaur cemburukah? Menyatakan harapan yang samakah? Atau sekadar bercerita. Sungguh saya tidak tahu. Nada kata-katanya terlalu bersahaja untuk saya tafsirkan. 
.
Namun ada getir di hati ini. Hampir sahaja air mata ini menitis kerna sebetulnya, saya tahu bahawa sayalah manusia yang penuh dengan pengharapan itu! 
.
Abang Ja adalah sepupu saya dan anak bongsu lelakinya adalah sebaya Rayyan Ariff. Irfan Syukran namanya. Katakan, jika bukan rasa syahdu, bagaimana lagi harus jiwa ini bergelodak? 
.
Saya tidak cemburu, kerna saya cukup yakin dengan aturanNya dan saya tahu, Dia akan menolong Rayyan Ariff untuk berjalan sendiri apabila tiba waktu yang bersesuaian dengan kehendakNya nanti. Allah knows best, kan? 
.
Cuma rasa ini datang kerna pertemuan dengan Abang Ja dan Irfan berlaku hanya setelah beberapa jam Encik Hubby mengulangi hasratnya untuk membawa anak lelakinya ke masjid. Anak lelaki yang usianya sebaya Irfan Syukran yang tertib bersolat di sisi ayahnya..
.
Irfan Syukran dan Rayyan Ariff, Aidil Fitri 2008
It's OK. My heart is really good at healing itself. InsyaAllah, semoga Dia kurniakan banyak lagi waktu untuk Rayyan Ariff bersama kita.. Bukan hanya untuk solat jumaat, malah solat 5 waktu, solat terawikh dan solat sunat hari raya. Aminnnn.. =)

Mood berbelog itu sudah ke laut~

Bersiaran dari kampung halaman tercinta. Berbelog di sofa dengan anak teruna duduk di tengah dan Encik Suami di hujung. Nyamannn..
.
Mahu mencoret sesuatu namun kepenatan menghalang. Letih yang tiada daya penangan baby RA.. InsyaAllah, kalau ada kelapangan dan 'kekuatan', kita bersiaran esok sahajalah.. =)
.
Food-to-eat-list :-
1) Nasi Berlauk Kak Wok - Done!
2) Laksa Penang Pasar Borong + kopok lekor- Petang ni.
3) Laksa Kak Yah - Esok.
4) Nasi dagang + gulai udang + kari ayam - Ari ahad.
.
Heavennnnn.. :P
The best way to celebrate our 4th anniversary.. *wink*wink*
.
Nasi Kak Wok from Google Image. Terbaikkkk.. Korang kalo sampai Kelantan tapi tak rasa ni, rugi sehhh.. :P

Wednesday, April 27, 2011

Takde fisioterapi untuk sebulan??

Auntie Sarjit is going through a surgery on her hand and she'll be resting for a month. So, takde therapy la.. Harap-harap, saya dah makin kuat untuk continue therapy Rayyan Ariff kat rumah..
.
At the same time, tuan besar pun nak operate lutut next week. Same old story, same old reason.. Bola punya pasal, lutut pun lari.. Muahhaha.. Luckily, my brother will be around to send him to his physio sessions after the surgery. Tuan besar will be on MC for at least sebulan setengah. Harap-harap, saya makin kuat untuk handle everything on my own.. =)
.
Mana nak dapat, sambil wat physio, sambil senyum.. Baik tak baik anak teruna saya ni.. :P
.
Muka ngantuk sebab kena kejut daripada tido..
.
Pantang kalo orang bercerita tuan kecik ni..
P/s - Tengok ticker, anniversary ke 4 adalah pada hari sabtu.. Hmm.. Not in the mood to celebrate la.. Kalo last year, dok sibuk shopping hadiah dah ni.. Pembawakan kot.. =P

Tuesday, April 26, 2011

Kenapa rumah saya ada tuan kecik dan tuan besar..

Pangkal nama saya ada Wan. Pangkal nama atuk, makcik, pakcik membawa ke adik beradik saya semua ada Wan. Saya selalu ingat yang mak saya selalu membebel pasal pangkal nama Wan ni. Dia tak berapa suka actually. Tak manly untuk anak lelaki katanya. Untuk anak perempuan pulak tak friendly katanya. Hahahha..
.
So dalam kepala saya dok tanam la, takmo kahwin ngan orang yang ada pangkal-pangkal nama ni. Tak versatile la konon. Sebab tu saya kata nak elak kawen ngan orang Kelantan, Terengganu, Perak dan sewaktu dengannya. Sebab deme-deme ni keturunan yang banyak pangkal nama. Dalam berangan, dok budget nak orang KL (tak hengat!), sebab orang KL paling neutral bab-bab nama. Lagi satu, takmo jugak orang Sarawak. Sebab deme pun ada Awang dan Dayang. Hahahha.. Bodo betul saya ni. Padahal, bukan semua orang Sarawak tu ada Dayang n Awang yea dak??
.
Tapi dah jodoh, terkahwin dengan Encik Tuan Alimin. Masa tau dia from Ampang, member dah OK dah.. Sekali, walaupun kubur atuk ngan nenek dia nun di Ampang, atuk moyang dia nun datang dari Kelantan le jugakk. Cehhh.. Ada pangkal nama pulak tu! Memang kena batang idung sendiri la kan?
.
Encik Limin ni, masa kami kawan dulu, takde la gemuk narr cam sekarang. Tapi dia kategori besar aka tinggi dan tegap. Tough gitu ko!! (walaupun lembik jer mokcik tengok. Sakit sket jer lembik.. Tak manly.. :P).. Sebab saya dulu ala-ala kategori kecik molek jer ala-ala geram-geram gitu, so mak dan adik beradik beradik saya selalu dok ejek dia Tuan Besar. Nama tu lekat la sampai sekarang dan saya juga turut sama-sama membesar, dengan jayanya!
.
Sentimen tak suka pangkal nama tu still tak ilang lagi masa pregnant kan tuan kecik dulu. Selalu gak saya negotiate dengan tuan besar takmo letak "Tuan" dekat nama Rayyan Ariff. Tapi member takmo kalah.. Dia kata, dalam family dia semua yang lelaki ada Tuan dan yang pompuan ada Puteri.
.
Saya pun degil jugak, since nak letak sangat, letak la Putera.. Cadang saya. Konon match la dengan Puteri. Tapi dia lagi keras rupanya.. Dah nak sangat, hah ambik ko! Gazette la nama Tuan Rayyan Ariff.
.
Bila time tuan besar tu bermalas-malasan takmo tolong, saya mesti sound, "Hah, tu perangai tuan-tuan la tu.. Takmo tolong bini tuh.." At the same time, bila tuan kecik buat perangai, mesti kena jugak, "Hah, ni ikut la sangat perangai tuan-tuan nih! Kecik-kecik dah pandai nak jadi tuan!" Muahahahhaha.. =P
.
Tak abis sentimen lagi ke saya nih? Takde la.. Setakat gurau-gurau jer. Dah tak kisah dah pun. Baby RA ni pun hubby dah excited dah, "Ish, abang rasa baby boy ni.. Nak letak Tuan ape eh?" Saya senyum je la. Suka ati dia la. Tuan ke, Puteri ke, yang penting sihat walafiat. Apa ada pada nama kan? Janji maknanya elok..
.
Tapi bila saya introduce Rayyan Ariff, biasanya saya tak mention Tuan tu. Sebab rasa janggal. Hahhaha.. Ada sekali tu, masa kat klinik, akak tu panggil la.. "Tuan Rayyan.." Pastu kawan dia gelak n tanya kawan dia, "Nape you panggil baby tu macam tu?" Pastu akak tu selamba la jawab, "Dah nama dia Tuan.." Haaa.. Itu la yang mokcik tak mahu. Kawan dia tu ingat si akak ni nak buat lawak pulak dah..
.
Kata hubby, kalau baby RA ni Tuan, takleh la nak panggil Tuan besar & Tuan kecik lagi. Coz nanti, baby RA nak panggil apa? Saya senyum je la sambil jawab, "Boleh apa.. satu tuan besar, satu tuan abang, satu tuan adik. Kalau keluar lagi tuan, kita tukar tuan sulung, tuan tengah dan tuan bongsu.. Hahhaha.."
.
Tapi kalo ada Tuan Besar, Tuan Kecik & Puteri Kecik best jugak dak?? Ni asyik Tuan jerr.. Encik Limin tu memang, kalo boleh nak Tuan ajerrr sebab nak kumpul geng.. Padahal, tak kisahlah girl ke boy, memang confirm la jadik anak manja mama jugak.. =P
.
Tuan besar pegang tuan kecik.. Besar kan tuan besar? Kecik kan tuan kecik? Masa ni, berat tuan kecik baru 1.5kg..

Anak macam Rayyan???

Minggu lalu, sewaktu kami bercerita, tiba-tiba sahaja bibik membuka cerita lain..
"Itu hari, Cikgu ST bilang, Kalaulah saya ada anak macam Rayyan.." Cerita bibik. Kata-katanya terhenti di situ kerana tiba-tiba sahaja Ayah Chik Ian sampai..
.
"Tadi bibik cerita pasal Cikgu ST kat skolah Rayyan. Kenapa? Dia nak kata susah ke jaga anak macam Rayyan?" Tanya saya kembali, mengingatkan bibik tentang ceritanya yang hanya separuh jalan tadi..
.
"Oh bukan. Maksudnya, kalaulah dia anak anak comel macam Rayyan.. Suka la dia. Selepas itu, terus sahaja Cikgu SF bilang, sabarlah.. Sampailah masanya itu nanti.."
.
Termalu sendiri saya dibuatnya kerana terlalu berprasangka. Itulah saya. Kerna sering saya sematkan, tidak semua manusia ikhlas menerima anak istimewa lantas saya sering terbawa-bawa dengan sifat yang satu ini.
.
Hmmm.. Ke mana perginya positive mind attitude ni?? :P
.

Muka legend, hati cute.. Eh salah, muka cute, hati pun cute.. :P

Monday, April 25, 2011

Selamat Hari Ulangtahun ke3 anakku Alisya Qaireen

Dah besar dah anak dara Abi Farid & Ummi Ita ni.. Dah sekolah pun.. Sok lusa dah masuk kolej plak.. =)
Terima kasih kerana sudi menjemput kami, makanan adalah superb! Hasil air tangan ummi & abi yang memang expert bab2 masak western food ni.. =)
.
Sedap air tangan Abi dan Ummi ni.. Tuan kecik makan beria, dari spaghetti ke makaroni goreng, bersambung pulak dengan mashed potato.. Kek Alisya, dua round dia makan.. Buah takyah cakap la kan.. Agaknya, penat bercampur lapar lepas habis dua jam physio session ngan Auntie Sarjit.. =)
.
Tuan kecik & Cik Embun bersama Ummi Ita.. =)
.
Habib yang suka senyum.. =)

Rayyan Ariff sekarang obses dengan cermin! Ini adalah aksi menatap refleksi menatap wajah sendiri di belakang handphone Mama..
.
Abang Aiman dan Abah Zali.. Adik Aina kena tinggal ngan Mama Ida since still dalam pantang.. 
.
Kakak Airin..
.
Cubaan pertama ambil gambar ramai-ramai yang tak menjadi.. Habib pegang Rayyan, Rayyan sibuk dengan corntos, Nabila asyik tunduk & Aisya menangis.. :-P
.
Tiba-tiba je Abah Zali letak Aiman kat tengah. Masing2 terkejut.. Siyan Aiman kena buli ngan babah.. Mentang-mentang mama takde eh?
.
Rayyan dah buat senyum nakal bila tengok Aiman tapi Habib still muka tak puas hati tengok Aiman kena dera..
.
Ramai-ramai pakat betulkan kedudukan Aiman.. Concern sungguh Habib ngan Aiman.. :-)
.
Haaa.. Dah nampak muka pun si Aiman ni.. :-)
.
Gambar kandid terakhir.. Masa ni befday girl tengah minum susu.. :-)
.
Dah macam anak bibik dah Ian ni eh.. Happy befday Alisya sayang.. Terus kuat yea nak.. :-)
.
Bulan April ni ramai anak-anak saya yang sambut birthday, Alisya Qaireen, Megat Idris, Habib Azfar, Yasmin Nabila, Fatin Batrisyia & Aina Nasuha.. Dan belated buat Aisya & Syafil Nadime. ~Hadiah semua sama tak berbungkus sebab Mama Jiey adalah dalam tahap buat kerja secara koboi.. :P
.
Tengok ramai-ramai kumpul, happy-happy, seronok-seronok, tingin plak nak wat befday Ian.. Tapi tu la, keadaan fizikal tak mengizinkan.. Takut kang tiba hari, melepek takleh buat satu apa.. Kot nak senyum pun tak larat, takkan orang datang kita nak baring kat bilik kan? :P

Sunday, April 24, 2011

Mari berjoget!!

Bangun pagi, terus senyum..
*macam bunga matahari la kamu ni Ian!*
.
Macam mana ayah?

Prepare tangan dulu..

Goyang-goyang tangan.. Mari berjoget!

Ayah, takmo kiss.. Ada paparazzi tu..
What a perfect Sunday morning!
=)

Saturday, April 23, 2011

Hidup 'kan terus berjalan, meski penuh tangisan..

Jam sudah melewati jam 1 pagi namun mata ini masih sukar untuk terlelap. Lantas saya meneroka segenap ceruk folder di dalam kad memori telefon bimbit yang sudah uzur ini. Satu persatu foto saya tatap. Seterusnya ke klip video yang pernah dirakam.
.
Antara klip yang ada mengingatkan saya pada catatan ibu Yasmin Nabilah, Ina, yang menyatakan kepedihan hatinya melihat puteri hati yang menangis kesakitan sewaktu sesi fisio. Hati yang menangis melihat permata belahan jiwa melalui pelbagai kepayahan dan penderitaan.
.
Bersama Ina, saya turut menangisi perit jerih Yasmin Nabilah melalui kehidupan. Namun tiada apa yang mampu saya ungkapkan kerana itulah hakikat jiwa keibuan. Kesedihan dan kesakitan itu akan terus bersarang. Selamanya.
.
Saya pernah, dan masih tewas dengan tangisan untuk Rayyan Ariff. 
Saya pernah, dan masih kalah dengan kepedihan untuk Rayyan Ariff.
.
video
Saya menahan rasa yang berbaur mendengar tangisannya.. Tangisan bayi berusia 5 bulan yang dipaksa melakukan fisioterapi.

video
Saya menahan sedih menyaksikan kesakitannya. Kesakitan anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. 
.
Saya benci kerana sebagai ibu, saya tidak mampu meredakan keperitannya. Malah sehingga kini, perlu merakam SETIAP detik kesakitannya untuk ditunjukkan kepada doktor bagi mengenalpasti jenis kesakitan itu. Saya bukan pengarah filem dan anak kecil saya bukan seorang pelakon!
.
Namun apabila melihat anak-anak lain yang lebih 'sakit' kondisinya, saya belajar bersyukur.
Dalam masa yang sama, saya masih tamak. Tamak mahukan lebih pembangunan untuk Rayyan Ariff, maka saya menolak diri untuk lebih berusaha..
.
Dan saya cukup yakin, Ina juga begitu. Ina juga seorang yang tahu bersyukur, dan Ina juga seorang yang tamak dalam berusaha. Kerana kami berada di dalam acuan yang sama..
.
Kami sedih untuk anak-anak ini. Namun pada waktu yang sama, kami berterima kasih kerana kiriman-kiriman dari syurga ini menjadi pembuka mata dan penguat semangat kami.Sebelum ini, kami kenal tuhan. Tapi kini, kami lebih kenal tuhan.. =)
.
Terima kasih tuhan..
Terima kasih untuk Rayyan Ariff.
Terima kasih untukYasmin Nabilah
Terima kasih untuk Megat Idris
Terima kasih untuk Alisya Qaireen
Terima kasih untuk Ammar Nazheef
Terima kasih untuk Alanna Qish.
Terima kasih untuk  Irfan.
Terima kasih untuk Habib Azfar.
Terima kasih untuk Rayyan Akid.
Terima kasih untuk Ayeesha Ilhanee.
Terima kasih untuk Fahry Al-Hazim.
Terima kasih untuk Rania Quzayra.
Terima kasih untuk Qistina Sofea
Terima kasih untuk Ainur Ariana Damia
Terima kasih untuk  Syafiah.
Terima kasih untuk Haseef
Terima kasih untuk Mawaddah
Terima kasih untuk  Ayyash.
Terima kasih untuk Ainun Syafiqah 
Terima kasih untuk  Nabila.
Terima kasih untuk Batrisya.
Terima kasih untuk  Nurin Aisyah.
Terima kasih untuk Iman.
Terima kasih untuk Ridhwan.
Terima kasih untuk Adam Hariz
Terima kasih untuk Aimy Sufia.
Terima kasih di atas kurniaan yang sangat-sangat istimewa ini..
.
Ada waktu kita tewas, namun kita tak pernah berhenti untuk kembali bangkit, kan Ina?
Hidup 'kan terus berjalan, meski penuh dengan tangisan..
=)

Friday, April 22, 2011

Baby bila due ni?

Saya : Pregnant ke??
Dia : A'ah.. *Sambil angkat-angkat baju n gosok-gosok perut*
Saya : Bila due?
Dia : Bulan 11
Saya : Owh, sama la kita. Pantang kat mana nanti?
Dia : Umah mak mertua kot. Kat Kelantan. Murah sket makcik urut dengan ikan haruan, kalo kat KL ni mahal.. *sengih-sengih*
Saya : Cehhhh..
.
Ini actually conversation saya dan En.Hubby last Saturday.. =P
Maklumlah, perut dia makin bulat.. Kita yang pregnant ni berat dah turun 4kg, dia pulak yang bagai dipam-pam.. Makan selera sungguh.. Terbalik pulak..
.
Pic source: Google image.. *Takde la besar ni bang eh?? Tapi besar la gak.. :P
P/s - Gurau-gurau bawak bahagia ye dak? :P

Thursday, April 21, 2011

Setiap kehamilan punya dugaan yang tersendiri.. =)

Beberapa hari menyepi kerana keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Terima kasih buat teman-teman yang sudi bertanya khabar.. *Mama dan Baby RA sangat2 menghargainya*
.
Sewaktu awal kehamilan pertama dulu, saya diuji dengan morning sickness yang boleh tahan teruknya. Kali ini, loya-loya tidak seberapa namun keletihan melampau menghalang saya daripada melakukan banyak aktiviti dan hanya mampu berbaring. 
.
Namun rupanya ia tidak terhenti di situ. Semenjak dari hari Isnin yang lalu, sakit gigi datang bertandang. Sakit yang bukan sedikit! Sumpah, kali ini, saya sangat-sangat percaya bahawa sakit gigi bukanlah sesuatu yang bisa dipandang enteng. Ini kali pertama saya merasainya dan sakit yang bertandang ini bukanlah sedikit, berdenyut-denyut hingga ke telinga!!
.
Subhanallah. Tak tertanggung rasanya. 3 malam tidak dapat tidur lena.. Doktor tidak dapat memberikan antibiotik kerana saya sedang hamil. Walaupun antibiotik dengan dos yang rendah seperti Augmentin kerna menurutnya, jangan ambil apa-apa risiko. Dan saya sama sekali akur. Tiada juga ponstan sebagai ubat penahan sakit. Yang ada hanyalah Panadol yang mana setiap kali diambil, hanya melegakan kesakitan untuk tempoh kurang daripada dua jam sahaja.
.
Kerana takut dan tidak mahu mengambil sebarang risiko, saya meminta agar rawatan tampalan hanya dilakukan apabila kandungan memasuki trimester kedua, yakni dua minggu lagi dan Dr hanya bersetuju.
.
Namun menjelang hari kelima iaitu hari ini, sakit ini benar-benar tidak tertanggung lagi. Lantas saya menelefon Gyne saya dan bertanyakan beberapa perkara. Setelah diyakinkan bahawa rawatan tampalan dan sesetengah jenis local adalah selamat untuk kandungan, saya terus sahaja ke klinik gigi.
.
Nahhh.. 3 lubang pada jarak deretan gigi yang sama! Satu lubang sahaja sudah menyakitkan, apa lagi 3! Sungguh dramatik apabila seorang wanita berusia 28 tahun hampir menangis apabila Dr mahu memberikan suntikan bius! Hahhaaha.. Drama Queen kan?
.
Saya memang fobia dengan doktor gigi. Takut! Takut yang bukan sedikit!! Kalaulah gyne saya, Dr. Raman tahu bahawa saya menangis sewaktu mahu disuntik ubat bius, pasti dia ketawa tergolek-golek. Seringnya dia memuji saya sebagai "a strong lady", yang kelihatan bersahaja sewaktu perutnya dicucuk untuk mengambil air ketuban sebagai sampel ujian, yang masih lagi pulang ke pejabat selepas diberikan 2 suntikan dexxa untuk menguatkan paru-paru bayi di dalam kandungan, yang kelihatan tenang sewaktu kelahiran bayinya yang dikatakan tidak mungkin akan panjang hayatnya..
.
Rupa-rupanya "a strong lady" ini tewas di tangan doktor gigi!!! Oh, that's very typical of me actually!! Masa form  3 ke form 4 dulu, pun nangis gak masa nurse klinik kerajaan datang check gigi kat sekolah.. Hehehhe.. I can face lots of things in life but not dental problem.. Dek kerana lama tidak melalui pemeriksaan gigi, sampai 3 lubanglah ada!! Muahahaa.. Ok, noted. Pasni gi check every 6 months!! :P
.
Rayyan Ariff? Masih seperti kebiasaannya dia. Lasak dan suka bermain! Mahu berkawan namun limitasi pertuturan membuatkan agak susah untuk anak-anak lain bermain dengannya. Kasihankan? So, I've chose signing time DVD as a method of communication for him. Biar dia berkomunikasi dengan bahawa isyarat sebelum Allah SWT memberikan kebolehan bertutur kepadanya. InsyaAllah.. =)
.
Ini muka teruja Rayyan Ariff apabila Ayah Chik datang semalam. Beberapa kali dicuit-cuit Ayah Chik dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Agaknya mahu menyatakan kegembiraannya dengan kunjungan Ayah Chik.
.
 Wahhh.. Mama keluarkan bumbo chair! Ni mesti nak bagi Ian main.. =)

Ayah Chik kata, high five dulu.. Baru leh main.. *Rimas tengok rambut Bieber Ayah Chik*
Bagi la Ayah Chik, kan dah high five tadi..

Sebenarnya Ian taktau yang Ayah Chik nak 'dera' dia.. Menggelupur member nak kuar.. :P
Lepas tu Ayah Chik pujuk balik.. Member tak caya dah.. :P
Semalam keluarkan bumbo chair ni untuk dipinjamkan kepada anak seorang teman, tapi tuan kecik ni pulak excited.. =)
.
OK la kawan-kawan, sebelum kesan bius ni hilang, nak gi smayang asar dulu.. =)

Sunday, April 17, 2011

Antara Maharaja Lawak dan Baby RA..

Honestly, saya bukanlah tergolong dalam kategori peminat TV tegar.. Satu-satunya siri yang saya ikuti secara konsisten adalah Glee.. Desperate Housewives & CSI juga adalah sesuatu yang saya suka, namun tidaklah beria-ria menonton. Kalau dalam melayan tuan kecik dan cerita itu diputarkan, rajin jugalah mata ini mengerling.. =)
.
Cerita-cerita lain? Langsung saya tidak ikuti hatta berita jam 8 sekalipun.. =P

Namun apabila mengetahui rancangan Maharaja Lawak akan keudara, hati tergerak untuk menonton kerana saya mahu menyaksikan keletah bersahaja Zizan.. Kali pertama saya melihat Zizan dan lawaknya adalah pada hari raya yang lalu. Saya tidak ingat tajuk ceritanya namun ianya berkisar tentang Zizan dan Johan yang tidak punya tiket untuk pulang berhari-raya di kampung. Namanya pun hari raya, apa yang orang bukak, itu la yang kita tengok.. :P
.
Sekali tengok, syok jugak layan lawak si Zizan ni.. So saya dengan penuh excited, menantikan Maharaja Lawak..
.
Episod pertama, biasa sahaja.. Episod kedua, saya mula terarah pada Kumpulan Sepah.. Lawak juga.. Terutama mamat yang muka berparut tu.. *Nampak sangat tak mengikuti, nama2 diorang pun saya taktau.. :P
.
Dan episod ketiga adalah, HILARIOUS!! Tak sia-sia saya subscribed to Channel Mastika dua jam sebelum show bermula.. :P
.
 .
Dua tiga kali saya ulang tengok lawak si Sepah ni sambil gelak mengekek, sampai Encik Suami dah mula bising.. "Sudah.. Sudah la tu.. Awak tu mengandung. Nak ke baby cam Sepah?"
.
Cheisss, itu adalah statement ntah-apa-apa! Bukan la nak kata Kumpulan Sepah tu tak ensem, setiap kejadian tuhan kan cantik.. Cumanya, Mama nak muka Baby RA ada iras abang Rayyan Ariff la.. Comel, cantik, handsome semua ada.. Nak-nak part tinggi tu.. =P
.
 Another Tuan RA dengan muka nakalnya? Atauuuu..
.
Puteri RA dengan muka ayunya.. =)
.
Tak kisahlah mana-mana pun, yang pentingnya semuanya selamat..

video
Abang Rayyan Ariff @ 4 months old..
.
Muka comel cam Ian, lawak cam Sepah.. Ok tak Bang?? *Peace*.. =P

Saturday, April 16, 2011

Saya suka Rayyan Ariff dulu, kini dan selamanya..

Bukan setakat suka, cinta, sayang, kasih dan semualah!!
.
Rayyan Ariff yang dulu, tembam, comel.. Tak banyak kerenah.. Tak suka nangis.. Tak berjaga malam.. Tak kisah dok main sorang-sorang.. Penuh dengan senyuman.. Manja.. Susah nak sakit.. Pendek kata, complete package idaman mak-mak yang mana tak susah langsung nak jaga..
.
 Senyuman buat awek2 cair nehh.. =)
.
 Mencebik pun still comel jugak.. =)
.
 Rambut kerinting, kulit putih, bulu mata lentik, bibir kecik, muka bulat, hidung jambu.. Owh tetap comel..
.
Itu Rayyan Ariff dulu..
.
Rayyan Ariff sekarang, badan slim bleh pki kebaya tapi lasak bukan main.. Buat sepah memang dialah champion.. Dah ada pe'el sendiri.. Kalau datang pangai nak merengek mengada, takde sebab pun dia bleh nangis sampai menjejeh air mata.. Kata nenek, sejibik macam pangai Mama masa kecik2.. :P
.

Panjat memanjat hobi Encik Ian sekarang ni.. =)
.
Walau apa sekalipun, satu benda je yang tetap tak berubah.. Manja sangat2 dengan Mama!! Asyik nak duduk menempel jerr.. =)
.
Kalo Mama duduk elok2 kat sofa, ada la budak kecik dtg panjat n duduk menempel kat sebelah.. Manja nar anak mama neh.. =)
.
Sayang sampai bila-bila.. 
=)
=)
=)

Thursday, April 14, 2011

Setiap sudut adalah tentang dia..

Hari yang sibuk dan penuh dengan keletihan. Kalau tidak kerana ada yang eprlu diselesaikan, sudah lama diri ini ikut beradu bersama Rayyan Ariff..
.
Terperasankan gambar2 ini di dalam folder lama..
.
Di atas rak TV sebelah kiri, penuh dengan mainan Rayyan Ariff..

Di atas kabinet TV sebelah kanan, di dalam piala ayah juga penuh dengan mainan kecil Rayyan Ariff..

*Pemegang laci yang tercabut itu adalah hasil tangan Tuan Kecik*.. Tengok kereta2 mainan dan puzzle Tuan Kecik yang bersusun.. :P

Puzzle kayu & foam Tuan Kecik, dua daripadanya hadiah dari Che Nie.. =) Semua puzzle ni memang dia suka except for yang jam tu.. Dia tukang susun, pastu dia jugak la tukang sepah.. Every night, lepas dia tidur, bibik la tukang kemas.. :P

Kat sebelah kabinet TV ni jadik dia punya ruang jugak.. Penuh barang la budak ni..

Actually, kat celah ni nak wat kabinet for toys Tuan Kecik ni.. Dah mintak quotation, tapi harga lebih kurang ngan kos nak buat kasut special Encik Ian, so pilih untuk buat kasut dulu la.. =)

Rasanya, kawan-kawan pun sure sama kan.. Segenap ceruk rumah sure ada barang anak-anak.. Banyak sungguh barang anak-anak kita compare dengan kita dulu-dulu kan?
.
Sebab tu, masa Rayyan Ariff sakit lama dulu, hati ni gusar sangat.. Kalau apa2 jadi kat dia, macam mana la saya nak balik rumah yang penuh dengan kenangan dia ni.. Rumah yang penuh segala barang dia, segenap pelusuk.. Serius takleh imagine! Nauzubillah.. Semoga tuhan pinjamkan Rayyan Ariff kepada kami selama adanya hayat kami..

Wednesday, April 13, 2011

Bila tuan kecik yang update belog~

Wireless dah lama rosak.. Bila sesatu benda rosak, memang lama la nak berganti.. So bila nk online, cucuk je la kan.. Pastu statik je la dekat ngan kabel tepon neh.. Kalau dulu, memana pun boleh n tempat yang paling best, bilik tidur la.. So sekarang ni, nk dekat ngan kabel tepon punya pasal, tumpang la meja kecik Ian kejap.. =)
.
Perghhh.. Kepala berparut cam hebat.. Ko ada?? :P

Tatau la ape yang dia taip tuh..

Dah kata ni meja dia.. So asyik la kena berebut..

Hah, ape tengok2?
Set meja ni hadiah befday Ian yang kedua.. Beli kat Ikea jer.. Semangat nar lunch hour gi carik.. Balik terus ayah dia pasang.. Ian, Mama pinjam dulu yea.. =P