Semalam, saya menerima panggilan telefon dari seorang teman, mengajak saya menonton wayang. Seperti biasa, saya menolak. Bukan kerana tidak mahu, tapi tidak bisa memenuhi permintaannya.
Semenjak Rayyan hadir dalam hidup saya, saya rasakan agak 'berat' mahu meninggalkan dia untuk berhibur.. Pasti saya akan dibebani dengan rasa bersalah. Pada saya, masa yang saya luangkan untuk berhibur itu pastinya lebih bermanfaat kalau digunakan untuk fisioterapi Rayyan atau sekadar berpeluk-pelukan sambil 'berbual' di atas katil.
Ada yang berkata kehidupan saya sekarang agak membosankan dan seperti 'makcik tua'.. Mungkin. Dan mungkin juga tidak. Rasanya, agak susah untuk seorang ibu itu merasa bosan dengan anaknya sendiri bukan? Kerana itu jugalah, cerita di blog ini banyak berkisar tentang Rayyan. Selain kerja, hanya Rayyanlah dunia saya buat masa ini.
Anak-anak seperti Rayyan, perlu diajar tentang banyak perkara. Kerana keterbatasan fizikal, mereka tidak mampu meneroka perkara baru dengan sendirinya. Makanya, penjagalah yang harus menjadi 'mata', 'telinga' dan 'tubuh' mereka. Rayyan belajar dengan bantuan kami. Jadinya, setiap detik waktu yang terluang bersamanya amat penting.
Membawa pemikiran ini jugalah menyebabkan saya menangguhkan banyak rancangan percutian kami sesudah perjalanan kami ke Langkawi. Takut Rayyan kepenatan. Lagi pula, dia nampaknya lebih selesa berada di rumah.
Mahu pergi bersama hubby sahaja, tentu sekali saya tidak sanggup. Rayyan sudah terbiasa bersama saya pada malam hari. Seandainya saya belum pulang apabila waktu menghampiri jam 10 malam, mulalah dia terjerit-jerit 'memanggil' saya. Dan lagi, saya tidak mahu dia merasa ditinggalkan lagi. Saya pernah meninggalkan dia di NICU selama 45 hari sejurus dia dilahirkan. Saya juga pernah meninggalkan dia di Kota Bharu selama 30 hari sewaktu bulan puasa tahun lalu. Walaupun saya kerap menjenguknya, tapi saya bisa melihat betapa 'sakitnya' dia akibat ditinggalkan.
Walau bagaimanapun, saya dan teman-teman masih sering bertemu dan bersuka-ria. Caranya sahaja yang berbeza. Saya lebih selesa mengundang mereka ke rumah, memasak untuk mereka sambil bercerita tentang banyak hal. Sesekali, ada jugalah waktunya kami keluar. Itupun tidak lama.
Waktu hujung minggu juga masih lagi terisi. Tapi ianya lebih kepada memenuhi jemputan makan di rumah teman-teman, sanak saudara ataupun pulang ke rumah mertua. Sesekali, kami sekeluarga juga ke shopping complex untuk mencuci mata ataupun mencari barang-barang keperluan rumah.. Dan lebih kepada mahu 'menunjukkan' Rayyan kepada dunia luar agar tidaklah dia hanya terkurung di rumah dan dipaksa 'belajar' oleh mamanya sahaja.. :P
Mama yang membosankan bersama cinta hatinya..
Sejujurnya, yang bisa saya katakan adalah, hidup saya sekarang tidak berkisar tentang diri sendiri lagi. Semuanya untuk Rayyan. Dia yang menjadi prioriti. Mungkin sehingga dia besar sedikit nanti. Tawaran untuk menyambung pelajaran saya tolak dahulu buat masa ini. Niat untuk bertukar kerja juga saya tangguhkan dahulu. Rayyan adalah amanah Allah SWT dan saya mahu melakukan yang terbaik untuknya. Inilah namanya pengorbanan.
P/s - Ok la.. Saya akui. Sememangnya saya adalah seorang yang amat membosankan! :P
Susudah bayi bangun dari tidur, berilah sebotol susu kepadanya..
Seterusnya, serahkan bayi kepada sesiapa sahaja yang mohon untuk bergambar..


