Thursday, April 16, 2015

Tentang Rayyan; turun naik sebuah perjuangan.

Assalamualaikum.
Lama rasanya tidak mencoret di ruangan ini tentang cerita dari hati. Segalanya lebih terarah kepada catatan perkembangan dan berkisar fakta. Maka hari ini aku nekad mengambil sedikit ruang untuk bercerita. 


Alhamdulillah, kurang sebulan dari hari ini, Rayyan Ariff bakal menjejak usia 7 tahun. Syukur yang paling tinggi buat Yang Maha Esa, Yang Maha Memberi dan Yang Maha Memiliki. Syukur kerana Dia masih memberikan kami nikmat menjaga sebuah amanah dari syurga.

Melihat dia pada hari ini bagaikan melihat ke dalam mimpi. Tidak pernah aku gambarkan erti perjuangan akan seperit ini. Tidak pernah aku impikan erti pengorbanan adalah seindah ini. Untuk yang tidak pernah mengikuti kisah Rayyan Ariff, apabila aku bercerita di mana mulanya Rayyan Ariff, pasti ramai yang tidak percaya melihatkan dia yang ada pada hari ini. Bukan hanya kalian, aku juga begitu.


Masih jelas di ingatanku bagaimana sakitnya mendapat perkhabaran anak dalam kandunganku mungkin tidak akan hidup setelah dilahirkan. Anak yang aku kandung mungkin akan terlantar seumur hidup sekiranya selamat setelah dilahirkan. Jujurnya, aku juga termakan bicara para doktor tentang kepergian dirinya berbanding hidup. Berdasarkan fakta yang ada pada ketika itu.


Pada fasa yang lain, masih jelas menari-nari di ruang mata ini bagaimana sakitnya situasi semasa Doktor memaklumkan kepada kami bahawa bayi kami yang masih berada di NICU, dan baru berusia 30 hari itu tidak dapat melihat dan mendengar. Hancur luluh hati seorang ibu. Setiap kali aku memangku tubuh kecilnya tika itu, sebak merajai hati tatkala aku 'bercerita' padanya. Apabila melihat kelibat jururawat, aku akan sesegera mungkin menghentikan bicara. Malu dikatakan 'bodoh' bercerita pada anak yang tidak bisa mendengar dan melihat. Terseksanya aku ketika itu kerna tidak dapat berkomunikasi dengan darah daging sendiri. Sehinggalah aku ditegur seorang jururawat untuk 'berbual' dengan Rayyan Ariff, barulah aku berani. Perlahan-lahan, aku belajar konsep stimulasi. 

Di awal pembesaran, aku juga sama seperti kalian, ibu anak-anak istimewa yang lain. Hiba melihat ketidakmampuan si anak hatta sekecil menegakkan leher dan kepala sendiri walau usia hampir memasuki ke angka 12 purnama. Sedih melihatkan ketidakmampuan anak untuk menegakkan kaki sendiri apabila diletakkan di dalam posisi berdiri, yang segalanya lembik dan memerlukan sokongan. 


Segalanya apa yang kalian rasakan, aku juga pernah di situ. Pusat rehabilitasi adalah tempat "riadah" kami pada waktu hujung minggu. Berterapi sendiri juga adalah aktiviti kami pada setiap kelapangan. Dan barangan keperluan terapi Rayyan Ariff adalah keutamaan aku berbanding beg tangan dan baju-baju cantik. Sehingga pernahnya pembantu rumahku sendiri menegur aku yang asyiknya berbaju sama ke pejabat.

Pada suatu hari yang ada untuk aku raikan perkembangan Rayyan Ariff, akan ada satu hari yang lain untuk aku meratapi kekurangan dan ketidakmampuan Rayyan Ariff. Setapak ke hadapan sering membawa kami kembali ke tiga langkah di belakang. Hari ini aku dengarkan dia yang memanggil aku, mama. 6 bulan kemudian aku saksikan dia yang sunyi dan sepi. Semalam aku lihat dia yang berdiri tegak dan tegap jalannya. Hari ini pula menyaksikan dia yang kembali melangkah dalam aturan yang sangat kelam kabut. Seperti mana gelojak rasa tidak selalunya mendung, begitu juga gembira tidak selalunya kekal.


Turun naik kehidupan juga pernah membuatkan aku berbisik padanya, "Kuatlah anak selagi ada kuatmu. Selama mana bisamu. Andai kamu tidak mampu, tidak pernah sesekali mama hampa denganmu. Mama serahkan kamu kepada Dia tuhan yang satu.."




Sungguh aku lebih sakit melihat dia yang sakit. Di dalam rapuh imanku, aku juga pernah menyoal kenapa masih kami? Kenapa harus dia? Aku penat menjadi penghuni hospital bersama dirinya. Aku letih  mengunjungi pusat terapi dengannya. Aku muak mengikuti temujanji demi temujanji. Aku benci melihat dia yang terus teruji. Aku bagaikan berada di medan peperangan yang membuatkan aku takut untuk menikmati gembira kerana sentiasa ada kuasa gelap yang mahu meragut indahnya bahagia. Hari ini sedang aku meraikan sihatnya, esok aku terduduk menatapi sakitnya. 


Astaghfirullahalazim. 
Itulah hakikatnya, kita tidak senantiasa kuat.

Namun satu tentang aku dan dia, kami tidak menunggu lama untuk kembali bangkit daripada setiap kesakitan. Kami tidak pernah berhenti meraikan hidup.

Alhamdulillah, dia kini sudah agak kuat berbanding dahulu. Sudah semakin pandai interaksinya. Syukur Dia kurniakan sinar sebagai anugerah di setiap keringat dan air mata yang kami titiskan. 

Pada dirinya hari ini, ada dia yang sering terlantar sakit suatu waktu dahulu.
Pada dirinya hari ini, ada dia yang sudah beberapa kali disorong ke dewan pembedahan.
Pada aku yang tersenyum hari ini, ada seorang ibu yang pernah berlari memohon bantuan sambil memangku sekujur tubuh anaknya  yang biru dan tidak bernafas.
Pada aku yang sedang bercerita kini, ada seorang ibu yang pernah dihina bahawa anak cacat adalah kifarah dosa-dosa lampau.
Pada dia ada aku dan pada aku ada dia.

Sakit sesakit sakitnya. Namun aku tidak akan pernah mahu menukar pengalaman ini andai diberi peluang memutar masa. Tapi seandainya disuruh mengulang, sumpah aku tidak mahu. Cukuplah kesakitan lalu yang tidak pernah luntur itu. Untuk masa hadapan, izinkan kami terus meraikan hidup seadanya kami.

Rayyan Ariff hari ini, sudah mampu berjalan sendiri walau masih belum tegap langkahnya.
Rayyan Ariff hari ini, sudah mampu mewarna dan memegang pensel walau masih tidak pandai menulis apalagi membaca.
Rayyan Ariff hari ini, sudah bisa mandi sendiri walau tidak sebersih mana.
Rayyan Ariff hari ini, sudah mampu bergurau dan bergaduh dengan adiknya walau masih belum ada komunikasi lisan antara mereka.
Rayyan Ariff hari ini, sudah kembali mengeluarkan suara walau masih belum mampu mengulang memanggil aku mama.
Rayyan Ariff hari ini, sudah bisa menyuap makan sendiri walau masih bersepah dan berterabur kesudahannya.
Banyak lagi tentang dia yang sangat indah untuk aku ungkapkan.

Secara amnya, Rayyan Ariff masih jauh mahu menyentuh garisan normal pada takrifan umum. Namun untuk anak Alobar Holoprosencephaly yang lahirnya dengan sel otak yang sangat minimum dan pertumbuhan otak yang sangat-sangat tidak sempurna, aku memilih untuk memberi fokus pada kemampuan dirinya berbanding ketidakupayaan yang ada. 

Go figure what is Alobar Holoprosencephaly, maka tahulah kalian apa yang patut diharapkan daripada dia. 
=)


Kuncinya pada usaha dan doa. InShaaAllah. 

Bang Ian, mama sayang Abang demi Allah. Mama boleh menangis dengan hanya menatap wajah abang. Kudus. Suci. Satu anugerah.

Seluruh cinta.

14 comments:

Kak Rose said...

Alhamdullilah, perjalanan yang terlalu sukar ini telah mampu buatkan Rayyan mengenakan uniform sekolah... sebaknya! mata masuk habuk dipagi2 hari.

aisha said...

hanya mampu membaca dan menitiskan air mata. sungguh nya akak seorang yang kuat and abang ian adalah anak yang sangat istimewa..

nor nazliana said...

alhamdulillah akhirnya dpt jua dia melangkah dgn kakinya sendiri amin semoga adik ian berusaha lg..

shaliza said...

mula jatuh hati kat budak ni bila lihat mata dia yang bersinar tu...lama dulu...tp belum kesempatan nak jumpa in person:-)

Suliana said...

alhamdulillah. bergenang air mataku.. semoga mama ian teruskan bersabar..

Marsha~ said...

lama tak singgah sini... Rayyan anak yg sangat kuat... Jiey juga emak yg sangat kuat..... kalian berdua mmg dilahirkan untuk melengkapi antara satu sama lain.... :)

Nour El AiN said...

Sayannnnngggggg Rayyan banyakkkk banyak... semoga tetap kuat hai anak.. semoga terus tabah duhai ibu

suziana mohd tahir said...

Rayyan anak yg kuat...sekuat ibunya...mashaaAllah...subhanAllah

Mama Kembar 3 said...

Sebak baca ni. Kagum dengan kekuatan Jiey sefamily, kagum dgn Rayyan Ariff who's defying all odds. Moga dipermudahkan utk Rayyan & jiey sekeluarga.
Btw, encemnyaaaa Rayyan Ariff pakai uniform tu :-)

leya_zaini said...

dear... dont bother about others... they can always say whateva they wish.... to kak leya... the most important thing is... our happiness is depending on our own effort.. it is our responsibility.... so...go to hell with them...

mamaelly said...

Hai sis jiey.lama elly tak singgah sini.rindu nak baca kisah Rayyan..semoga Rayyan terus membesar dengan sihat dan ceria selalu..sis pun take care ye..

Azziah Nawawi said...

sebak! moga anak syurga ini terus sihat. moga sang ibu juga terus tabah. setiao yg berlaku ada hikmahnya.. Insyallah..

Marsha~ said...

sumber kekuatan semua orang.. Rayyan Arif

Eliss Mie said...

Alhamdulillah. semoga dipermudahkan jalan untuk abe Ian :)