Tuesday, March 26, 2013

Jihad mencari kesembuhan buat sang putera..

Masa yang terus berjalan membuatkan kami sepakat untuk melipatgandakan usaha kami buat anak ini. Dari semua segi bersesuaian dengan kemampuan, In Shaa Allah.

Terbaru, kami sedang mencuba rawatan urutan stimulaterapi untuk Rayyan Ariff. Melihatkan perkembangan anak-anak lain, hati begitu terusik untuk mencuba. Makanya kini, perjalanan 3 hari seminggu ke Pelabuhan Klang dari Ampang bakal menjadi rutin. Seperti mana rutin kami mengunjungi SDMC untuk berterapi hampir setiap minggu semenjak 11 bulan usia Rayyan Ariff.

Dia.

Penat? Sedikit. Hari Jumaat dan Isnin bakal menyaksikan saya bekerja pada waktu rehat untuk pulang seawal jam 5pm. Hari yang sama, masuk sahaja waktu maghrib, kami segerakan bersolat. Usai solat maghrib, kami terus memulakan perjalanan. 

Seawal mungkin agar kami tiba di rumah tidak terlalu lewat. Maklumlah, esoknya hari bekerja. Seperti semalam, jam 1030pm kami sudah kembali berada di rumah. Cepat pergi, cepatlah dapat pulang. Jarak bukannya dekat. Tol sehala sahaja sudah 4 atau 5 buah. 

Untuk Rayyan Ariff, urutan tidak dapat dilakukan secara penuh terutamanya pada dada dan perut kerana alat yang tertanam pada badannya. Tidak mengapalah. Selagi boleh. Perubahan? Masih terlalu awal untuk bercerita tentang itu kerana kami hanya mengunjungi pusat itu sebanyak 3 kali sahaja. Beri kami tempoh sebulan dua, akan saya kongsikan lagi tentang rawatan ini di sini.

Sekarang, gaji sahaja terus diasingkan RM600/700 sebulan untuk rawatan ini. Tidak mengapalah nak, ini jihad namanya. Semoga ada perubahan yang baik untuk kamu.. Untuk seorang anak, Mama tak perlukan handbag Coach. Selagi ada kamu, Mama tak perlukan handphone canggih.

Membelah kepekatan malam di dalam hujan yang lebat. Ini jihad kita. Hampir sampai, adik yang kepingin duduk di hadapan bersama Abangnya. ;-)

Saya juga sedang berkira-kira untuk memulakan satu lagi kaedah rawatan/pemulihan. Harga rawatan stemcell enhancer yang agak mahal membuatkan saya masih lagi sedang berkira-kira. Namun manakan tahu hasilnya kalau tidak dicuba. Pejam mata, landa sahajalah jawabnya. In Shaa Allah ada rezeki buat si anak..

Ini jihad kita dalam mencari kesembuhan. Semoga dipermudahkan. Aminnn..

Friday, March 22, 2013

Kisah Si Puteri Hati..

Biar seimbang. Sebelum ni kisah si Abang, sekarang kisah si Adik pula. 

Alhamdulillah, di usia 16 bulan, keletahnya sangat mencuit hati seisi keluarga. Comel di mata kami, bijak di jiwa kami. Keras hati memang boleh tahanlah. Kaki nangis pun dia. Tapi datang sweet si Adik ni, boleh kena kencing manis jawabnya.

Kaki nangis.. Hahahah

Kasihan Adik, entri tentang perkembangan Adik tak banyak. Mama lupa bila kali pertama Adik melangkah. Mama lupa bila gigi pertama Adik mula keluar.. Teruk kan? Tapi satu yang pasti, Adik tak pernah tidak ada di dalam doa mama. Tak pernah.

Ke mana sahaja kami pergi, Adik sering mengundang perhatian ramai. Sering ditegur, sering dipegang. Pernah sewaktu kami ke hospital, sekumpulan nurse memohon untuk bergambar dengan Adik. Hahaha.. Pelik, Adik bukannya artis.. 

Mungkin keletah Adik yang menjadi perhatian. Adik yang manja, adik yang mengada.. Hehehe.. Sewaktu di KLCC tempoh hari contohnya, sakan Adik main peek a boo.. Habis salesgirls di Cak Cak nya.. Mana orang tak geram.

Makan betik pun penuh ekspresi.. Hahahaha..

Bab nak mandi n pakai baju punyalah susah. Beria lari-lari.. Kena pujuk dulu baru jalan.. Contohnya nak cebuk, "Cepat la dik.. Jom Mama basuh, busuk la Dik.. Busuk" Pujuk sambil tutup hidung. Baru la dia nak. Satu pesen lagi, clingy. Sampai sekarang. Ada sekali tu, takmo bagi Mama masuk bilik air. Mama pun amik wudhu' sambil pintu bilik air terbuka. The moment Mama kuar bilik air, dia tutup hidup sambil bebel-bebel. Amboiiii.. Mama tak berak pun nak!! Hahahaha..

Dengan Bibik bukan main jugak ni. Seteru. Kalau dah pakai cantik-cantik then kita kata, "Bibik ikut yea?" Aaahhhhhh.. Dia marah. Hahaha..

Kaki memanjat. Pernah jatuh and tercalar kat rusuk kiri. Seb baik calar jer.. Kot luka, kurang hantaran.. Hehehe..

Bangun pagi-pagi, bukan kata bagi salam.. Di Cakkkk nya kita dulu..

Tadi Mama suruh ambik remote dia tak mahu. Sudahnya Mama pura-pura nangis, meraung la dia sampai meleleh-leleh air mata. Terus peluk mama sambil cium bertalu-talu. Schweeettt.. Hahahah.. Dik, boleh tak maintain shweet sampai bila-bila? Jangan pernah berhenti. 

Malam2 mintak nak masuk bilik, konon mengantuk. Dh masuk, melasak tak berhenti. 

Antara Rayyan Ariff dan Rifa Aleesya, saya sering merasakan fizikal Rayyan Ariff lebih menarik. Mungkin kerana itu, saya berasa agak janggal dengan perhatian yang diterima anak ini. Di tambah pula dengan adik-beradik saya yang sering memomokkan warna kulitnya. Tapi dia juga punya aura tersendiri. Hatta singgah di stesyen minyak pun gelagatnya jadi perhatian. Saat mengambil Abang di sekolah pun ada sahaja guru-guru Abangnya yang mahu menyentuh. Penyelia pun tidak ketinggalan mahu didukungnya si Adik.. 

Mungkin kerana anak kecil semua comel. Tidak ada dosa, tidak ada yang kurang. ;-)

Tukang ambik barang.. "Dik, tolong ambik remote.. Dik, tolong ambik handphone Mama.."

Dancing to Disney birthday song..

Adik lebih memilih bab makan. Itu tak mahu ini tak mahu. Kalau hidup dengan roti, susu dan biskut pun sudah cukup untuk dia. Berperang nak bagi makan. Memasuki usia lebih sebelas bulan, Adik hanya minum susu formula sahaja. Terhenti perjuangan penyusuan susu ibu kita di situ. Tidak mengapalah, my initial aim in breastfeeding was only for 6 months. Tak sangka pun bleh jadi pumping mother selama itu. Dengan Abang Ian yang sering sakit, sering admitted, pumping di hospital, terputus bekalan etc. Mencabar juga.. Takpe, next baby kita aim sampai 2 tahun. Positif. Positif. 

Baby doll dicampaknya, dia yang naik stroller ni. Tak cukup naik, panjat. Dah tu, dijunjung-junjung pulak. Bukan setakat angkat, junjung OK..

Pantang kita tak tengok, ada je perangai dia. Kain di ampaian pun dia kutip dan buang dari balcony. Boleh?? Heheheh.. Bab berebut handphone pun boleh bg kat dia. Bab marah kat Abang pun boleh bagi kat dia.. Semua aktiviti toys abang dia yang take over. Kalau dah merajuk, ya ampunnn.. Susah nak pujuk!

Adik, adiklah kawan baik Mama, adik jugaklah kawan gaduh Mama. Ya Allah, terima kasih di atas kurniaanMu. Ya Allah, terima kasih untuk puteri ini. Pinjamkanlah dia kepadaku selama yang mungkin Ya Allah. Syukran Jazillah. 

Puteri Rifa Aleesya, pelengkap keluarga kecil kita. Alhamdulillah. 

Thursday, March 21, 2013

Tentang kehidupan, tentang usaha, tentang kekuatan..

Mana pergi si blogger tegar dgn 1 entry sehari? Tenggelam dek banyak perkara. Terbaru, tenggelam dek kesakitan. Bukanlah kata kesakitan yang terlampau, tapi kerana kesakitan ini jugalah sudah 4 hari saya mendapat cuti sakit. Hari kedua, konon sudah OK sedikit. Masuk office hanya bertahan sehingga jam 3 ptg sahaja. Dengan muka yang pucat saya pulang berehat sahaja. Kalau esok masih tidak berkurang, ke specialist la kita. Tidak mengapalah. Sakit itu kan kifarah.

Seronok ke berada di rumah untuk satu tempoh yang lama? Pada saya tempoh ini dikira lamalah. Mana pernah saya bercuti sebegini lama melainkan cuti kahwin dulu. Cuti hari raya pun max 3 hari bekerja. Hehehe.. Jawapannya tidak. Kerja di pejabat sudahlah menimbun, tertangguh pula. Di rumah pun stress sahaja dengan si puteri. Si Adik, kalau mamanya ada, semua mahu Mama yang buatkan. Dari mandi sehinggalah makan dan bermain, semua mahu dengan Mama. Kalau bibik datang sahaja, meraung bukan kepalang. Masalahnya, Mama sakit nak.. Mama tak mampu nak uruskan kamu. Bukan tak kasihan, tapi tak mampu. Itu pun hari pertama MC, Mamalah yang buat semuanya. Sekejap si Abang buang air besar, sekejap si adik pula. Masuk kelmarin, mmg bibiklah semata. Bila bibik yang turun padang, tangisan penuh bergema! Yang sakit makin sakitlah jawabnya. Hehehehe..

Tinggalkan cerita mama yang mungkin tiada orang pun yang sudi baca. =P

Ada beberapa email yang saya terima bertanya tentang Rayyan Ariff. Katanya, sudah kurang cerita anak kecil ini. Hehehe.. Hero malaya kamu nak.. Alhamdulillah. Terima kasih kerana mengambil berat. Terima kasih kerana menyayangi.

Alhamdulillah, syukran jazilan Ya Allah.. Tahun ini lebih baik untuk Rayyan Ariff. Bulan Mac sudah mula mencecah penghujungnya dan Rayyan Ariff biasa-biasa sahaja. Sesekali selsema dan batuk. Sesekali demam. Itu sahaja. Berbanding tahun lalu yang asyik menyaksikan si anak bertarung dengan kesakitan demi kesakitan. Nikmat sihat pastinya sangat kita hargai apabila sering terjelepuk dengan kesakitan.

Tentang usaha, segalanya masih sama. Cuma mungkin tenggelam dek kesibukan kerja, sudah tidak sekencang dulu. Namun seboleh mungkin, kami meneruskan mana sahaja yang berkesempatan. Hari Sabtu masih lagi didedikasikan untuk berterapi di hospital. Kalau diikutkan keinginan, hari Ahad juga mahu berterapi. Namun kami terpaksa akur, sebagaimana mereka yang lain, kami semua juga perlukan rehat. Hari-hari selalunya penat dan memenatkan, bukan?

Apabila sahaja punya waktu sekarang ini, saya sering mencari maklumat untuk pembangunan Rayyan Ariff. Melihat dia yang semakin membesar, banyak yang saya mahukan untuk dia. Kerna itu saya perlu tingkatkan daya. Cuba dan terus mencuba. Selagi terdaya. In Shaa Allah. Kuat? Tidak, masih jauh lagi andai mahu disogokkan dengan perkataan itu. Ketakutan dan kebimbangan masih sering menyelubungi diri.

Sepertinya minggu lalu, sewaktu dalam perjalanan menghantarnya ke sekolah, saya lihatkan tingkahnya berlainan. Seakan disering sawan. Partial seizure yang mana dia sedar sahaja. Ketakutan menerjah rongga hati, lantas tangannya saya genggam erat. Bagai disihir, segala kegusaran pergi tatkala dia memandang saya dan memberikan senyumannya yang manis. Hebat sungguh kamu si anak syurga. Yang kuat itu kamu, bukan mama.

Sekerap yang bisa, saya pastikan tidur malam sang putera bertemankan Selawat Syifaa, Zikrullah dan ayat-ayat Al-Quran. Apa sahaja cara, Dia penentu segalanya. Saya sangat percaya bahawa pasti ada penyembuh pada kalamNya. 

Saya bukanlah seorang yang pandai apabila bercerita tentang gadget. Buta teknologi adalah lebih tepat. Maka saya tanyakan pada teman, gadget mana yang paling bagus buat perangsang otak Rayyan Ariff di waktu tidur dan dia mencadangkan iPod Shuffle. Saiznya yang kecil memungkin untuk saya menyelit alat itu di bawah bantal, atau sahaja dikepilkan pada bajunya. 

Mungkin kerana saya meletakkan sasaran tertentu pada Rayyan Ariff, saya masih bersahaja tentang progress anak kecil ini. Tidak terlalu berpuas hati dan tidak juga kecewa. Biasa. Saya tahu, saya perlu punya impian setinggi awan sekiranya saya mahu dia terus maju. Shoot for the moon, and even if you miss, you will not be too far from it. Itu saya, itu Rayyan Ariff.

Ada waktu, bagaikan segalanya terlalu sukar untuk dicapai. Saat itu, saya cuma perlu berhenti seketika, menarik nafas dan berpaling pada Dia yang satu. Di situ ada ketenangan. Semoga terus sahaja usaha kami dipermudahkan. 

Sudah tegap. Cuma perlu keyakinan, waima sokongan sekecil sebatang jari.

Lebih alert. Ini komen yang diberikan oleh cikgu di sekolah Rayyan Ariff. Tidak cukup dengan itu, esoknya dia menerima komen yang sama dari speech therapist nya. Petangnya, sewaktu sesi fisioterapi, sekali lagi anak ini menerima remark yang sama. Lebih peka, tahu apa yang perlu dibuat dan tidak bergantung pada arahan semata. Kalau di dalam 3 situasi berlainan dia diberikan remark yang sama, petanda yang baguslah agaknya.

Alhamdulillah. Nikmat Allah. 

Rayyan Ariff juga tidak lagi perlu memakai kasut khas. Betapa sekali lagi rezeki dan nikmat Allah itu luas. Kata Sarjit, pergelangan kaki Rayyan Ariff OK sahaja. Jadi dia mencadangkan kasut biasa yang diletakkan insole sahaja. Alhamdulillah.  

Hadiah untuk sang putera. Alhamdulillah, pengurangan yang banyak. Harga sepasang kasut khas adalah bersamaan dengan 5 pasang kasut ini. 

Perihal makan juga sama. Sedari tahun lalu, tidak susah mahu ke mana-mana dengan Rayyan Ariff kerana dia sudah mampu makan sebagaimana kita. Kalau kami ke kedai tomyam contohnya, nasi putih, sup ayam dan kicap adalah makanan yang kami pesan untuknya. Semenjak dia tidak lagi bergantung kepada bubur, senang banyak rasanya. Makanan di rumah juga hanya sekali masak. Alhamdulillah, syukur Ya Allah untuk setiap peningkatan, kemajuan dan kesihatan. 

Lauk sempoi, mak sakit katanya. Nasi putih, sardin dan telur dadar. Balik sekolah, bibik suap makan sambil hadap TV. Apa-apa sajalah anak.. ;-)

OK. Itu sahaja update tentang sang putera. Kiriman dari syurga yang menjadi pengikat kasih.. Semoga terubat rindu mereka yang bertanya.

Till then.

Assalamualaikum.

Tuesday, March 12, 2013

Penyakit Grand Livina??

Apa penyakit Grand Livina? Hehehehe.. Comel jer..

Saya assumed, orang yang searched for penyakit Grand Livina mesti tengah survey review pasal Grand Livina. Nk beli la kot. Takkan saja2 survey.

In fact, I did the same thing before! Hahahaha.. Survey, baca kat forum-forum. Baca dekat website yang buat review pasal kereta macam Paul Tan ke, thecarguys ke etc. Saya prefer baca kat forum sebab rasa lebih real since yang share tu, diorang sendiri dah pakai (kot!). Kalau diorang tu sebenarnya salesman ke apa, tipu2 bagi testimonial ke apa, tatau la kan?? Hehehe..

Actually, buat entry ni pun sebab ada kawan yang tengah survey nak beli MPV suh buat review. An, sorry lambat. Muahahha.. Ahkak busy deknonnn.. Curlassss.. =P

As requested, ni review ala-ala mak.. So takkan ada la cerita pasal electric powered steering, CVTC, wheelbase and whatnot. Ini review daripada mak-mak yang cuma tau isi minyak, adjust side mirror, adjust channel radio, adjust kerusi, hantar kete gi car wash dan remind encik suami bila mileage utk hantar servis dah dekat. Muahahaha.. Review mak2 eh??

Kalau nak review yang canggih2 tu, sila google. Hehehehe..

Encik Livina yang tayarnya pancit.. Muahahaha.. Bawak ntahpapa siap tercucuk paku! ;-P

Ok, secara keseluruhan, saya simpulkan bahawa Grand Livina is a good car (belum intro dah conclusion, kahhh.. marah cikgu karangan!). Secara purata, saya katakan it is a good car sebab enjin dia best, senyap jer. Kadang2 tak sedar pun kete tgh hidup. Steering dia best (saya pernah try Honda, rasanya Livina punya lg lembut, hat lain xtau..).

Gegar pun tak rasa sangat (dia ada apa entah yg tak bg gegar tu, mak taktau wohh), dalam bahasa mudah, smooth  even jalan berlubang tahap nauzubillah - tengok cara pemanduan yea, kot korang langgar gedung-gedang, tipu la kalo org dok kat dalam tak terlompat. Then setakat tekan 140-160km/h tu memang OK la.. Tak rasa langsung. Tak sedar pun. "Eh, terlaju pulak.." Bak kata sesetengah orang, saya tak. Saya bawak 90km/h je. Eh.

Aircond, for third row mmg boleh rasa la.. Tidak la kata panas meruap org yang dok third row, tapi tidak la sejuk macam org dok first row. Blower aircond yang depan tu mmg aim to shoot for 3rd row. So ok la kot..

Dari segi ketinggian pulak just nice. Tinggi sket dari kereta sedan, so tak perlu tunduk, tapi lebih rendah from most MPV rasanya. Kalau Innova ke, kan kena panjat sket. So kalo orang tua-tua yang sakit lutut nak naik, hazabun sket la.. Whereas for Livina, ok coz takde nak kena tunduk cam kete sedan or compact.

Minyak? Save jugak rasanya. Biasanya full tank dalam RM70 bleh tahan untuk seminggu. Ulang-alik gi kerja 5 hari (Ampang-Damansara-Ampang) dan weekend (Ampang - Subang Airport - Ampang untuk fisio Bang Ian) dan jalan-jalan dlm KL sket. Again, hat ni kena tengok cara pemanduan, kot korang pecut je keje, makan minyak la kan..
.
Maintenance? So far OK la.. Kalo service standard yang 5000km tu, RM300 lebih je.. Kalau ada nak kena tukar apa-apa, lebih la kan.. Tapi so far, dah setahun lebih ni takde la kena tuka apa2 yang major. Setakat viper tu ok la dak? Again, tengok pada kereta jugak kot. Macam my friend yang guna Impul jugak, dalam masa setahun dah kena tukar bateri kereta, pastu bateri alarm la.. Seb baik dalam warranty lagi. So, tengok nasib jugak la kot. Major service plak, entah la.. Tanyak En.Suami.

Kami tak beli yang full spec IMPUL (walau En. Suami menggelupur nak hat tu) and the main reason was, saya rasa Livina Impul tu lowered sket. Tatau la kalau perasaan saya ke apa, tapi Impul kan memang sporty designed. So kalau dh sporty, mmg la a bit rendah. Since kami ni kalau balik kampung tu memang ibarat nak memunggah barang satu rumah, so kereta lowered adalah tak sesuai kot.

Variant standard la, ada manual 1.6, auto 1.6 and auto 1.8. Kami ambik yang auto 1.8 (RM98K++) pastu tambah bodykit Impul RM3.5k++). So harga kereta RM102K. Masa tu ada promotion free service for 1 year / the first 20km. So rasa berbaloi la jugak. Tapi sape yang beli sekarang laaagi berbaloi sebab kalo amik yang auto 1.8 tu, dapat free bodykit Impul. Untung kan? Dapat skirting, spoiler n bumper. Jimat tu..

Eh, takkan semua yang elok-elok je? Nanti kang ada plak yang kata, "Ala.. Pakai setahun lebih memang la takde penyakit. Cuba dah pakai lama sket nanti.." Alahaiiii.. Kete mana-mana pun, kalo dah lama pakai memang la akan keluar penyakit. Sebab tu la orang kata ni susutnilai tinggi. The moment keluar dari tempat dealer tu pun dh turun harga dah pun. In fact, ada kawan yang cakap, mana-mana kereta pun, sesuai pakai 5 tahun je kot.. Tapi tu la, kalo dah 5 tahun tuka, lagi 5 tahun tuka lagi, bila nak habis bayar kete dak? Hat ni pilihan masing2 la kan..

So apa penyakit Grand Livina? To me, penyakit paling ketara adalah dari segi saiz. Sebenarnya Livina ni hanya sesuai untuk couple yang anak 2, 3 tapi kecik2 jer.. Kalo dah besar ke apa, mmg tak sesuai la.. Saiz memang out.

Tengok, second row tu, letak 2 carseat dah tinggal sekangkang kera. Kot kalo ada maid yang badan berisi sikit, memang kirim salam la.. Dok la kat belakang sekali nuhh..

Tempat isi barang plak (kalo tanak lipat 3rd row), memang kecik. Macam kami, muat stroller and rollater Rayyan Ariff je pun kat belakang tu. So kalau untuk storage, memang kena lipat kerusi 3rd row. So, bila dah lipat, mmg orang takleh nk tumpang dh la kan? Apa guna ada MPV kalo takleh naik ramai-ramai? Hahahaha.. *LepukDahiSuami* Kahhhh..

Macam Rayyan Ariff, dia kan dah besar, so tak perlu pun carseat. Rifa Aleesya pun sama. Mana la nak.. So kat 2nd row tu, duduk la Rayyan Ariff, Rifa Aleesya and bibik dengan selesanya (selesa ke? Macam tak jer..) Rifa Aleesya biasanya akan tido berbaring while Abang Rayyan Ariff pulak akan tido dalam ribaan bibik. 2nd row ni jugak agak sempit kalo nak accomodate 3 orang dewasa. Memang azab la rasanya.

Tengok, even promo material pun letak second row just 2 orang dewasa n sorang budak. Leg room pun tak nampak luas kan? Sebab dia tarik kerusi ke depan tu, agaknya sebab nak bagi more room leg to passengers in 3rd row..

Even kami just utilise 1st and 2nd row, still, for long distance yang tak bawak byk barang, tak boleh nak invite org dok kat 3rd row. Unless orang tu sanggup suffer. Reason being? Leg room 3rd row adalah sangat sempit. Lenguh kaki wehhh..

So in a conclusion, kalau keluarga kecik and stakat anak-anak je, memang OK la.. Tapi kalo dah masuk maid or ada org nak tumpang ke, macam tak berapa la.. Eh, apa guna ada MPV kalau takleh naik 7 org? =P

Macam kami, memang tak praktikal. Bila kereta dah muat-muat, macamana plak org lain nak tumpang? Mak ke, adik beradik ke.. Dah la sekali balik Kelantan tu barang bukan main banyak. Kot balik Rawang takpe la jugak. So macam rugi la kat situ.

In fact, dah ada discussion pun, kalau ada pertambahan ahli keluarga, memang we have to opt for Estima or Innova la.. Dengan anak 3, barang2 n maid, tatau la camne nak susun dalam Livina.  Yea, yea, these 2 cars (Estima / Innova) maintenance dan fuel consumption adalah tinggi. Tapi again, it will be a weekend or balik kampung car only. Tak sanggup wehh nak drive kete besar2 n hadap traffic jam kat KL ni tiap2 hari kalo nak bawak gi keje. Entah berapa la duit minyak bulan-bulan. So for daily usage, sila la usha Mitsubishi Mirage or Suzuki Alto. Kot nak yang lagi murah bayar bulan-bulan, kita ambik je Viva. Habis citer.. ;-P

Image from wemotor.com. Livina tuned by Impul. Setengah orang suka, setengah orang kata cam Alza jer.. Hehehe.. Baik takyah beli Livina, pakai je Alza tu haa.. Dah tentu2 lg murah.

Oops, I have nothing against Alza yea. Jangan ada yang speku kata I is mengutuk Alza murah pulak. In fact, kalau tak beli lg Livina ni, I would have opt for Alza, jual Kancil and maintain our old Perdana. Yea la, Perdana kan dah habis bayar. So tambah bayar Alza je la (which is wayyyy cheaper than monthly installment Livina). Ni dah la still nak kena bayar Kancil, kena pulak bayar Livina.. Tapi yea la, masa tu mana la I tahu I is boleh bawak kereta other than Kancil. Kalau tahu, confirmed ambik Alza! So that time, we trade in our Perdana as a downpayment for Livina.. Sekarang, Kancil tersadai, bawak Livina je pun.  Kalau tak, weekdays surely I bawak Alza whilst during weekend, Encik Suami will drive his favourite Perdana *Menyesal*

Eh, melalut pulakkkk.. Ok, sekian review versi layman dari layperson seperti saya. An, sorry lambat. Aku harap, dapat membantu sikit sebanyak yea. Choose wisely babe!

Bye. Assalamualaikum!

Wednesday, March 6, 2013

Anak-anak adalah ujian, dan si sisi Allah jualah pahala yang besar..

Alhamdulillah, tadi saya berkesempatan bertanya khabar melalui telefon dengan teman lama (Intan, I know you will read this.. Hehehe..). Bertahun tidak ketemu, bertahun juga tidak berbual. Sibuk. Klise? Tapi itulah realitinya. Hahahaha..

Komen Intan, entri saya kebelakangan ini berbaur kemarahan dan agak negatif. Betul juga. Stress kah hidup saya kebelakangan ini? Tidak juga. Malah, lafaz Alhamdulillah tidak pernah lekang dari mulut saya untuk mengucapkan rasa syukur ke hadrat Illahi di atas setiap nikmat kebahagiaan dan titis keindahan yang diberikanNya pada saya dan keluarga hari ini. RezekiNya datang di dalam pelbagai bentuk kebelakangan ini. Alhamdulillah.. Alhamdulillah.. Syukur Ya Rabb..

Mungkin kerana kekurangan masa, saya tidak mampu untuk kembali ke ruangan ini dan berkongsi lebih cerita. Namun saya masihnya saya yang dahulu. Masih saya yang sama. Masih perlu menjadi saya yang 'jiwang' apabila kena waktunya. Buktinya, ini status saya di FB beberapa jam yang lalu: 



Permata hati. Belahan jiwa. Kasih kerana Allah SWT. Sungguh.


"Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar." [Al Anfaal: 28]

Aku mula faham erti sebenar ayat ini setelah adanya #puteririfaaleesya.. Bersama #tuanrayyanariff, aku lalui segalanya. Dari kepayahan seorang ibu yang menghantar anak seusia 2 hari ke dewan bedah, sehinggalah berkejaran ke unit kecemasan hospital pada jam 12 malam utk seorang ank yang tidak sedarkan diri.

Melalui dia, aku belajar erti sabar dan usaha. Saban minggu menjadi tamu hospital, dari dia tidak mampu mengangkat kepala hingga dia mampu melangkah. Susah. Perit. Sakit. Air mata. Suka. Gembira. Marah. Redha. Pasrah. Rasa jiwa sering berbaur utk dia. Rayyan Ariff si anak syurga.

Bila tibanya sang puteri idaman, aku bisikkan pada hati, In Shaa Allah segalanya pasti lebih mudah. Kalau aku mampu menjadi ibu utk abangnya, pasti aku terlebih mampu menjadi ibu untuk dia. 

Namun aku silap. Betul kata doktorku, "The challenge of being a mother is more real now."

Bersama Puteri Rifa Aleesya, tiada temujanji dengan 5 doktor pakar yang berlainan. Tiada episod berkejaran ke unit kecemasan. Tiada episod berulang-alik ke hospital di dalam pantang. Dan aku harapkan, akan terus kekal tiada (Aminnnn).

Tapi masih, bersama si adik, aku bagaikan sudah lupa apa rasanya tidur malam yang panjang dan penuh lena. Sudah terlalu lama. Bersama si adik, aku memasak sambil mengendung ank kecil. Aku memandu dalam keadaan bingit dan tidak tenang dek tangisan si kecil yang mahu diriba. Ke tandas juga harus bersembunyi kerana dia adalah tersangat clingy. Dalam pantang sehingga sekarang, dia masih jaguh mengejutkan aku di tengah malam atau seawal pagi hanya untuk mengajak bermain ataupun untuk sebotol susu. Sangat hebat. Laungan tahap 4.

Namun baik dia mahupun abangnya, kedua-duanya adalah cinta hatiku. Mereka bawa senyuman, setiap hari. Saban waktu aku berkejaran pulang dari pejabat hanya kerana aku rindukan gelagat mereka. Angaukan senyuman mereka.

Terima kasih tuhan kerana berikan aku peluang yg indah ini. Aku mengerti, aku faham. Amanah-amanah ini adalah ujian terindah di dalam hidupku. Rayyan Ariff adalah ujian kerana kelainannya dan Rifa Aleesya adalah ujian kerana sifat anak tipikal yg ada padanya. Alhamdulillah. 

Kawan-kawan sekasut, betapa bertuahnya kita kerana dapat melalui dua pengalaman berbeza. Kawan-kawan yang lain, terima kasih di atas sokongan dan pertolongan.

;-)



Lahirnya status di atas kerana perkongsian yang sempat saya bualkan dengan seorang teman yang punya anak seusia Rifa Aleesya. 

Rakan yang saya maksudkan di atas adalah Fiona Ross. Beza usia puteri kami hanyalah sehari. Banyak ilmu keibubapaan yang saya kongsi bersamanya. 

Betul. Menjadi ibu kepada Rifa Aleesya adalah cukup mencabar. Malahan, pernah saya katakan kepada teman sepejabat yang menegur kenapa saya kelihatan mengantuk, 

"Being sleepy is nothing new to me. To be honest, I had more sleepless nights since I have Rifa for the past one year as compared to having Rayyan since the past four years.."

Sungguh. Ini bukan kenyataan palsu. Setahun lebih bersama Rifa Aleesya, hampir SETIAP malam tidur saya terganggu. Rayyan was an easy baby. Sampai sekarang pun. Tidak pernah mengganggu tidur malam saya kecuali apabila dia demam atau sakit. 

Bukan hanya dari segi tidur, Rifa Aleesya juga lebih demanding berbanding Rayyan Ariff. Malam2 mahu keluar. Siap ambilkan tudung saya. Tidak dilayan? Meraung bagaikan dipukul. Kalau mahu ke mana-mana, tahu demand, ayah boleh ikut. Abang boleh ikut. Bibik tak boleh. Bila Bibik kata, "Bibik ikut yea?" "Aahhhh.." Marah benar dia dengan bibik. 

Benarlah setiap anak itu adalah ujian. Baik yang istimewa atau yang tipikal, seperti yang dinyatakan di dalam surah Al-Anfal ayat 28. 

Tidak puas hati hanya abang yang diberikan terapi, dia juga mahu! ;-)

Walaubagamana sekalipun, saya sangat-sangat bersyukur di atas kurniaan-kurniaan ini. Hati berbunga melihat bagaimana penyayangnya si adik pada si abang. Bila Rayyan Ariff menangis tidak puas hati kerana mahukan sesuatu, si adik laju memujuk dengan memberikan remote control astro pada abangnya. Bila makan sesuatu, si adik pun sibuk mahu menyuap si abang. 

Dan anak kecil ini juga cukup pandai beralah dengan abangnya. Pernah saya teragak-agak untuk membelikan sebuah mainan yang berharga RM99.90. Mahu dibeli dua, membazir. Kalau beli satu, takut pula berebut. Namun saya nekad juga membelinya. Seperti seringnya, Rifa Aleesya menjerit keriangan melihat Mamanya pulang kerja dengan mainan baru. 

Dalam waktu yang sama, si Abang juga agresif mahukan mainan tersebut. Rakus cuba membuka kotak yang comel itu. Tatkala itu si adik hanya memandang. Tiada lagi teriakan keterujaan. Rayyan Ariff meneroka setiap inci mainan tersebut. Bermain semahunya dan setelah puas, ditinggalkan permainan itu untuk sesuatu yang lain. Rifa Aleesya yang sedari tadi setia memerhati, segera datang untuk bermain. Teruja dan gembira. 

Sangat hebat apabila anak sekecilnya sudah mula memahami, Abangnya punya kelainan yang mana dialah yang perlu beralah. 

Mainan baru. Sewaktu gambar ini diambil, Rayyan Ariff baru sahaja merampas mainan ini daripada Rifa Aleesya. Bukan sahaja dia membiarkan abangnya merampas, namun dia juga tidak menangis. 

Banyak lagi episod si adik beralah dengan si abang. Banyak lagi episod si adik cuba menjadi 'kakak' kepada si abang.

Ya Rabb, terima kasih di atas ujian-ujian yang Engkau anugerahkan kepadaku, hambaMu yang sentiasa alpa ini.. Syukur ya Allah..