Tuesday, July 30, 2013

Kisah Ramadhan selanjutnya..

Seriously, aku suka Ramadhan. Suasananya ada satu macam keheningan yang tak tergambar dengan kata-kata. 

Namun Ramadhan kali ini bagaikan hilang seri. Aku tahu, pahala dan ganjarannya masih sama untuk mereka yang melakukan ibadat seperti Ramadhan tahun-tahun yang lalu. Mungkin jiwaku masih memerlukan masa untuk menghadam resah kehilangan. 

Aidil Fitri? Sungguh kalau aku bisa percepatkan waktu, aku tidak mahu menghadap 1 Syawal. Atau biar sahaja Ramadhan terus di sini bersama keheningan dan ketenangannya. 

Rindu. Namun kehidupan perlu diteruskan. Debaran masih terasa setiap kali adanya perancangan pulang ke kampung halaman. Baru aku mengerti, begitu perit sekali sakit kehilangan.

Tahun ini, Iftar kami banyak di rumah sahaja. Cuma sekali di luar. Itu pun, sebentar sahaja. Tiada keinginan untuk ke mana-mana. Sungguh tiada.

Menu Iftar 13 Ramadhan. Ikan goreng. Tauge goreng. Kerang masak sambal. Masak lemak udang dengan telur rebus. Ulaman. Budu. Kuih muih dan roti john tu rezeki, ada yang bersedekah. Alhamdulillah.

Menu Iftar 14 Ramadhan. Paling sempoi kata si suami. Sardin masak kicap. Sambal sotong. Telur dadar. Sayur kubis goreng. Ikan masin. Ulaman. Sushi beli a few days before.  

Menu Iftar 15 Ramadhan. Ayam masak kurma. Acar timun. Daging goreng kunyit. Lala goreng cili. Ulaman. Budu.

Menu Iftar 16 Ramadhan. Bosan dengan nasi, beralih ke menu western. Chicken chop with mushroom sauce. Pucat sedikit sebab takde brown sauce. Coleslaw, potato wedges and fries.

Menu Iftar 17 Ramadhan. Nasi lemak. Ikan bilis goreng. Sambal ikan bilis. Sambal sotong. Sambal kerang. Ayam goreng rempah. Telur rebus. Timun.

Menu Iftar 18 Ramdhan. Potluck bersama teman-teman UPM. Memang meriah. Makan sampai lebam katanya. Ketam goreng cili. Ayam goreng rempah. Telur goreng kicap. Kerutub udang. Lala masak lemak. Sayur kubis goreng. Agar-agar. Kek batik. Tauhu sumbat. Karipap. Nugget. Chicken fingers. Sirap bandung ais krim soda. Orange juice Tropicana Twister.
 
12 years of friendship and getting stronger.. ;-)

18 Ramadhan sepatutnya menyaksikan gathering keluarga superkids. Namun terpaksa dibatalkan pada saat akhir kerana kekurangan ahli. Ada yang tidak dapat ikut serta kerana pelbagai kekangan. Oleh kerana minda sudah dari awalnya berkata, "Hari ini kita gantung kuali.." Maka kami berbuka di luar sahaja.

Iftar pertama berbuka di luar namanya. Buffet Ramadhan di Kafe Istana Budaya. Mungkin kerana usia sudah meningkat, makan tidaklah beria mana. Yang seronok, menyaksikan si Puteri Rifa lah.. Semua makanan dia yang bersungguh. Telatah comel yang menghiburkan. ;-)

Berhenti seketika. Sambung lagi nanti.

Friday, July 26, 2013

Comey tak Kak Ton??

"Mama, tik??"
"Iye Dik.. Cantik.." (>_<)

"Mama.. Mama.. Peeeshhh"
"Ok, Ok, Mama ambik gambar Adik ehhhh.."
*SiapMintakAmbikGambaDia*

"Dik, cepat pakai baju.. Kita nak keluar. Nak naik car.."
"Eshishi??"
"Tak, bukan gi KLCC, gi Carrefour je.."
(>_<)

Peneman setia Abg gi physio. Kalau dengar ada budak nangis, mesti ajak pergi jenguk Risau takut Abg dia.. Every week, upah wajib adalah air kotak dengan roti coklat..
(^_^)


Drama queen tengah nangis mintak simpati. Now dua-dua dah boleh dok belakang.. Yeayyy.. Mama upgrade jadi mem balikkk.. (^_^)

Tuesday, July 23, 2013

Kisah kesakitan dan usaha mencari kesembuhan..

Sudah lama tidak bercerita tentang sang putera hati bukan? Apa khabar anak bujang saya itu. Alhamdulillah, baik-baik sahaja setelah melalui satu episod kesakitan. Walaupun masih belum pulih sepenuhnya, namun keadaan dirinya sudah lebih dari cukup untuk membawa senyuman kepada kami.

Semoga jerebu yang semakin teruk ini tidak akan memberi impak kepada anak syurga Mama. Amin.

Bermula dengan hari Ahad, Rayyan Ariff menunjukkan tanda-tanda flu. Selsema yang membawa kepada hingus bermula dengan cecair jernih makin memekat. Semuanya gara-gara cuaca hujan dan sejuk pada malam sebelumnya. Salah Mama juga, terlupa menutup suis kipas.

Hari Isnin, saya ke pejabat seperti biasa dan Rayyan Ariff berehat di rumah sahaja. Setibanya saya dirumah pada jam 5pm, dia hanya terbaring kaku. Menangis apabila di angkat dan asyik memegang kepala, mungkin sakit kepala. Kata Bibik lagi, dia baru sahaja memberikan Rayyan Ariff PCM kerana dia demam.  

Tubuh yang hanya mampu berbaring. Melihat Mama pun dengan ekor mata sahaja.

Mungkin kerana sudah terbiasa melihat kesakitan padanya, saya tidak sepanik selalu. Saya menghantar SMS kepada Kak Ija, perawat dari Pusat Stimulaterapi Klang untuk bertanya tentang apa yang perlu dilakukan. Setelah seketika, Rayyan Ariff mula mampu bangun. Mungkin juga kerana PCM mula bertindak dan berjaya mengawal suhu badan.

Dia mula kembali menonton TV seperti kebiasaannya. Namun sesekali dia kembali terbaring. Saat itu saya mengesan bahawa dia terkena sawan! Setelah beberapa urutan dilakukan, dia kembali biasa. Setelah itu, satu lagi kelainan berlaku. Kepalanya teleng..

Selepas memasak ala kadar dan berbuka, kami langsung bergerak ke Pelabuhan Klang dengan membawa Rayyan Ariff yang masih lembik. Setibanya di Pusat Kesihatan Stimulaterapi Klang, teruk jugalah kami 'di basuh' oleh Kak Ija dan Abang Jalil. Senyum sahajalah. Sudah namanya kita yang salah. ;-)

Setelah seketika, Rayyan Ariff kembali OK. Saya juga mempelajari beberapa teknik urutan untuk mengurangkan sawan dan sakit kepala sekiranya serangan berlaku lagi sewaktu di rumah.

Hari Selasa, Rayyan Ariff masih lagi sakit. Sesekali sawan dan sakit kepala yang bergabung. Syukur juga demam telah tiada. Malamnya, kami ke Pelabuhan Klang sekali lagi. Tiba di rumah sudah agak lewat, malam pula tidur-tidur ayam demi Rayyan Ariff.

Sudahnya, esok bukan sahaja saya bangun lewat, dapat pula pakej migrain. Setelah mendapatkan MC dan berehat seketika, saya bergerak ke Pelabuhan Klang sekali lagi lebih kurang jam 12pm. Hari ini, sasarannya, saya mahu mendapatkan rawatan intensif untuk Rayyan Ariff. Sudahnya, kami duduklah di pusat berkenaan dari pagi membawa ke malam. Berbuka juga di sana.

Malamnya juga kami tidur di hotel. berdekatan bagi membolehkan Rayyan Ariff mendapatkan rawatan intensif untuk sehari lagi. 

Hotel bajet, cuma RM110 semalaman. Reason pilih hotel ni adalahhhh:

Carpark betul-betul depan bilik! Hotel ni ala-ala chalet gitu. Sebab dah tau esok nak turun pagi2 buta n sorang-sorang pulak tu, amik la yang ni.. Iyea, saya dalah penakut tahap Gaban! Kalau basement parking etc, memang nak kena orang temanlah! ;-P

Seawal jam 615am saya sudah bergerak ke tempat kerja. Takut juga, maklumlah sendiri. Tawakal sahaja kepada Allah SWT. Bibik dan anak-anak saya tinggalkan di hotel. Kak Ija datang mengambil mereka lebih kurang jam 10am dan mereka berada di Pusat Stimulaterapi sehinggalah saya tiba selepas waktu kerja pada petangnya. Kali ini, En.Hubby turut serta. Mungkin rasa bersalah kerana membiarkan saya menguruskan Rayyan Ariff sepenuhnya sepanjang 2 hari ini.

Malamnya, selepas berbuka, kami kembali ke Ampang. Penat? Usah cerita!! Penat terlalu penat. Dengan tidak cukup tidurnya, dengan memandu berjam.

Namun hasilnya? Alhamdulillah, sangat puas hati!!

Inilah hasil berstimulaterapi (on top of our weekly physio, OT and ST).. THE WALKING RAYYAN ARIFF!! Photo was taken on 21st July but he was able to do this a week or two before.

Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Alhamdulillah.
Rezeki Ramadhan.
Terima kasih Allah.
;-)

I'll share more on his progress later..

P/s - Kalaulah Atuk ada kan? :-(

Monday, July 22, 2013

Cerita Ramadhan lagi

Sudah 13 Ramadhan. Cepatnya waktu berlalu!! Ya Allah, kekalkan rahmat dan nikmat Ramadhan kepada kami selama yang bisa Ya Allah.. Semoga terus diberikan kesempatan menggiatkan ibadat kepadaNya. Aminnn..

Ramadhan kali ini agak memenatkan. Ramadhan yang berbaur dengan kesakitan dan rezeki tuhan. In Shaa Allah, akan saya perincikan di dalam entri seterusnya nanti.

Menu Iftar pada hari Isnin, bersamaan 6 Ramadhan. Sambal kerang, ayam blackpepper, kerabu mangga, telur rebus dan ulam. Sempoi kerana anakanda gering..

Menu iftar pada hari Selasa, 7 Ramadhan. Kubis goreng kunyit with sotong, siew pak choy udang with sos tiram, paprik ayam, budu with tempoyak, roti-john-hangus-terbakar, chicken fingers, potato wedges and nuggets.

Hari Rabu dan Khamis, hari gantung kuali. Bermusafir dalam ikhtiar penyembuhan untuk sang putera yang gering.. Penat lelah yang berbaloi..

Hari Jumaat, 10 Ramadhan. Hari membalas dendam. Gian memasak katanya. Nasi kerabu, solok lada, ikan goreng tepung, telur masin, vontot hayam, budu with tempoyak, kuih lopes.

Sabtu, again berbuka di rumah mertua. Nasi daging with kari ayam youuu..

Hari Ahad, 12 Ramadhan. Siakap 3 rasa, telur goreng kicap, ayam goreng rempah, sup sayur, ulam, budu..

Penat tapi puas. Next entri, sesuatu yang lebih. In Shaa Allah. ;-)

Monday, July 15, 2013

Ramadhan untuk diri dan keluarga..

Aku  rasa, rata-rata orang pun setuju bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang agak relax dari bebanan di tempat kerja. Bukanlah tak ada, tapi masih boleh bernafas.

Pada aku sendiri, Ramadhan adalah bulan untuk diri sendiri mendekatkan jiwa dengan tuhan dan bulan untuk keluarga. Alhamdulillah, setakat ini, seawal jam 4.00-4.15pm sudah dapat pulang ke rumah. Memasak untuk keluarga seperti tahun-tahun yang lalu.

Peruntukkan sejam untuk memasak dan selebihnya, melayan kerenah the RAs. Memang seronoklah.

Menu iftar 2 Ramadhan - Telur goreng sambal, sup ketam, rendang daging, sayur bayam, ulam dan nugget.

Menu iftar 3 Ramadhan. Sedikit meriah sempena sambutan hari lahir En.Hubby. Siakap 3 rasa, telur goreng kicap, udang goreng kunyit, tomyam campur, ulam, budu dengan tempoyak, kek dan pizza hawaiian chicken.

4 Ramadhan berbuka di rumah PIL di Rawang.

Menu iftar 5 Ramadhan. Sambal sotong, sayur bayam, udang masak lemak, ulam, budu dengan tempoyak, selar kuning dan bawal goreng. Untuk pencuci mulut, chicken fingers dan fishball, kuih lopes dan tembikai.

Nampak banyak tapi semuanya in a small portion. Dan kami juga ada syarat baru untuk tahun ini. Nasi tidak bertambah dan lebih kepada meratah lauk.. ;-)

Selamat berpuasa dan selamat berterawikh untuk kawan-kawan semua.

Wednesday, July 10, 2013

Salam Ramadhan, Salam rindu dan erti redha..

Ramadhan dan aku yang kerinduan. Ramadhan dan aku bersama doa perpisahan..

Namun hidup perlu diteruskan.

Aku belajar erti redha melalui pengalaman.

Sebagai contoh, mengambil iktibar daripada kiriman dari syurga, Rayyan Ariff..

Aku tahu, Allah SWT kirimkan Rayyan Ariff untuk aku lebih belajar tentang konsep ketuhanan. Melalui Rayyan Ariff, aku berkenalan dengan ramai ibu dan anak-anak sekasut.. Walau tidak sama diagnosisnya, kami masih bisa berkongsi rasa, berkongsi cerita..

Ada di antaranya aku kenali sedari anak-anak kami masih bayi. Masih jelas terbayang, kami masing-masing begitu bersemangat mencuba pelbagai rawatan dan cara stimulasi anak-anak syurga kami..

5 tahun berlalu, dan tempoh masa ini telah mengubah banyak perkara, ada di antara anak-anak kami yang telah kembali kepada Yang Maha Mencipta, ada yang menunjukkan progress yang sangat hebat, dan ada juga yang menyaksikan perubahan yang sedikit. Kesemuanya berlaku di atas izin Allah SWT.

Di dalam usaha menyelami hati sesama kami, aku tanyakan pada seorang ibu, apa rasa yang adadi dalam jiwa?

Jawabnya tenang, seiring dengan tempoh masa, dia sudah mampu menerima hakikat seandainya anaknya tidak bisa berjalan atau menguruskan diri. Biarlah dia tidak tahu itu ibunya, cukup adanya dia di depan mata, sihat tubuh badan dan sempurna makan minumnya sudah memadai. Namun itu bukan bermakna si ibu sudah mengalah. Dia masih lagi berikhtiar selagi terdaya, namun andai kata tiada perkembangan, hati tidak berteriak kecewa.

Sumpah, inilah takrif redha paling tepat yang aku temui. Yang paling benar aku pelajari..

Tanyalah mana-mana ibu kepada anak istimewa, jauh di sudut hati, pasti ada satu ketika di mana kita mengharapkan ini satu mimpi. Pasti ada satu detik yang mana kita berkhayal, bangun sahaja dari tidur esok hari, anak-anak syurga kita baik-baik sahaja. Sempurna seadanya..

Itu hanya pintasan keinginan dan bukanlan tanda ketidakpuasan hati.. Pergerakan masa mengajar kita untuk lebih menerima..

Sama sahaja kisahnya aku. Tatkala ada perawat yang berkata, Rayyan Ariff mungkin bisa berjalan dan mengurus diri, tapi tidak mungkin mampu bertutur, tiada apa rasa negatif selain dari mahu terus berjuang.. Aku terkejut kerana tiada rawan di hati..

Jiwa hanya berkata, In Shaa Allah kita cuba selagi terdaya. Boleh atau tidak, kita cuba selagi ada hayat.

Tidak sedih bukan bermakna aku sudah hilang kemanusiaan apabila merenung darah dagingku, tapi mungkin kerana aku juga telah menemui makna redha yang sejati..

Kudos to all of my friends with a special needs child. Terima kasih kerana saling ada untuk menjadi guru sesama kita.

Sayang kalian. Sayang anak-anak syurga kita.


Tuesday, July 2, 2013

Setia seorang pencinta..

Sekali lagi, maaf ada yang jelak dengan bicaraku.. Aku tahu ini bukan slot drama TV3 yang bisa mengundang minat.. Ini hanyalah satu episod kehidupan yang ada turun naiknya.. Ada pasang surutnya..

Sering aku bercerita tentang hebatnya kasih seorang Atuk. Sehingga aku terlupa untuk berbicara tentang setianya cinta seorang cucu..


Selalu aku gelarkan Rayyan Ariff sebagai bayang-bayang Atuk.. Di mana adanya Atuk, di situlah adanya jiwa kecil itu.. Menuruti, mengekori tanpa jemu.. Nampak sahaja kelibat Atuk, bersungguh memanggil dalam bahasanya yang tersendiri.. Andai ada Atuk di depan mata, siapa sahaja tidak lagi dipandangnya..

2 ke 3 minggu sebelum Atuk jatuh sakit, Rayyan Ariff hilang selera makan. Sualah apa sahaja, pasti ditolaknya.. Memberi makan bagaikan satu episod perang. Aku tidak tahu apakah itu naluri, firasat, petanda atau kebetulan.

Pulang ke kampung selama 2 minggu dalam menghadapi Atuk yang sakit sehinggalah Atuk tinggal pergi, Rayyan Ariff masih dengan 'diet'nya.. Diaper dari saiz XL turun kepada L. "Kurus sangat ni, nampak tulang kat tangan tu.." Kata pakar kanak-kanak sambil membekalkan sebotol multivitamin.

Pulang ke KL selepas pemergian Atuk, Rayyan Ariff kembali makan seperti biasa. Aku jaga pemakanannya cukup dengan snack segala. Nasi pula 2 senduk penuh sekali makan.

Alhamdulillah, dia sudah pulih.. Sangka hatiku..

3 hari yang lalu, kami pulang ke Kota Bharu untuk majlis tahlil hari ke 40. Setibanya di sana, Rayyan Ariff menunjukkan sedikit tantrum.. Tarik rambut nenek, protes itu ini.

Kata nenek, "Nenek nak buat macamana Ian? Kalau nenek boleh pergi kubur ambik Atuk bawak balik untuk Ian, nenek buat.. Pinjam sekejap pun jadilah.."

Syahdu. Sayu.

Dua hari di kampung, Rayyan Ariff tidak mahu menjamah nasi walau sedikit.. Seharian, bertahan cuma dengan 7oz susu, 3 keping roti, semangkuk koko crunch dan sebekas kecil dadih..

Sangka kami, mungkin kebetulan. Atau mungkin dia kepenatan kerana perjalanan yang jauh..

Tiba di KL semalam, dengan jarak perjalanan yang sama, Rayyan Ariff kembali kepada sifat asalnya. Ceria seadanya dia. Makan dan minum seperti biasanya dia..

Tahulah kami, Rayyan Ariff tercari-cari Atuknya yang rajin menyuap makan. Rayyan Ariff ternanti-nanti Atuk yang setia menyambut di muka pintu setiap kali kami pulang ke kampung..

Setianya cinta seorang cucu.. Kalau bukan Atuk yang menyuapkan, sanggup sahaja dia memilih untuk berlapar..

Rayyan Ariff yang naif, belum memahami erti kehilangan, belum mengerti maksud kematian.. Namun sudah tahu menjadi perindu yang kental.. 

Semoga kalian bersua di syurga Allah SWT apabila tiba masanya nanti.. Ameen..

Al-Fatihah Atuk.