Friday, June 28, 2013

Satu kisah epik, puisi naratif yang panjang..

Maaf kalau ada yang jelak dengan bicara aku mengenai Abah. Abaikan sahaja.

Aku cuma mahu berkongsi satu kisah epik. Puisi naratif yang yang panjang..

Pernah ada kawan yang berkata, ini kisah biasa. Atuk dan cucu, begitulah resminya. Sayang melebihi anak sendiri.

Tapi aku degil. Aku memilih untuk percaya ini kisah kasih yang luar biasa. Ambil sahaja kisah menolak kerusi roda yang aku ceritakan sebelum ini.

Tahun 2012 cukup sukar buat Rayyan Ariff, buat semua. Masuk wad berkali-kali. Masuk OT lebih sekali. Temujanji tidak dapat dikira dengan jari.

Setiap kali Rayyan Ariff masuk wad, setiap kali itulah Abah tak pernah gagal datang dari Kota Bharu. Bergelut dengan jadual kerja yang padat dan cucu yang sering sakit.



Untuk foto ini, Rayyan Ariff sekali lagi demam yang berpanjangan. Abah datang untuk 5 hari. Di dalam 5 hari kunjungan Abah, tidak ada sekejap pun Abah pulang ke rumah. Sedang kami ibu dan ayahnya pun mengambil giliran menjaga Rayyan Ariff. Seketika, pulang untuk mandi dengan selesa di rumah sendiri. Untuk merebah badan dengan nyaman di katil sendiri.

Tapi Abah, selepas 8 jam perjalanan menaiki bas dari Kota Bharu, tiba sahaja terus ke hospital. Tidak pulang berehat walau sehari.

"Baliklah Abah. Tido sekejap. Rehatkan badan.."

"Abah takde hal. Kat situ pun abah boleh tido.." Sambil telunjuknya menuding lantai wad yang beralas tikar.

"Mana nyenyak Bah.. Sekejap-sekejap nurse datang check. Sekejap-sekejap ambik suhu. Sekejap-sekejap bagi ubat. Tidur asyik terganggu. Abah kan ada darah tinggi. Mana boleh tak cukup tido.."

"Ian tak balik, takkan Atuk nak balik. Kan, Ian?" Ujar Abah sambil memandang Rayyan Ariff.

Aku diam dalam terharu.

Tatkala Rayyan Ariff menolak untuk makan, Abah letak di atas kerusi roda dan meminta aku menunggu di pintu bilik. Kerusi di tolak mengelilingi wad. Satu pusingan, berhenti di hadapanku untuk disuap roti.

Untuk menghabiskan sebungkus roti jagung Gardenia, 28 pusingan wad kanak-kanak di tingkat 5 SJMC Abah pusing.

Masih jelas tergambar, nafas Abah yang tercungap-cungap menolak cucu kesayangan. Jujur aku katakan, kalau aku sendiri, paling banyak pun 10 pusingan yang aku mampu. Lelah.

Cinta lelaki ini memang hebat. Kalau kata agung itu hanya antara manusia dan tuhan, maka izinkan aku gelarkan kisah kasih ini sebagai kisah epik.

Al-Fatihah Abah. Atuk terhebat untuk cucu yang hebat.

Thursday, June 27, 2013

Keletah anak-anak..


Penawar dan racun jiwa..

So far anak cuma dua. Takde plan pun nak menambah dalam waktu terdekat. Fokus sekarang adalah pada pemulihan Rayyan Ariff.

Honestly, aku tak pernah gambarkan punya ramai anak. Paling ramai tiga. Kualiti harus melebihi kuantiti. Punya anak ramai, tapi terbiar untuk apa? Seharian ditinggalkan bersama Bibik. Kasihannnn.. Kata hati.

Tapi pemergian Abah mengubah sudut aku memandang kehidupan.

Sewaktu sakitnya, anak menantu bertungkus lumus menjaga, melayan kerenah.

"Awak nak sarung tangan tak?" Tanya si jururawat kepada adik lelaki yang sedang memulakan tugas mencuci berak kencing Abah. "Tak perlu nurse. Ini ayah saya.." Jawabnya yakin. Tiada kotor tiada geli.

Kata adik perempuanku, setiap pagi, apabila Adik lelakiku memandikan Abah, dia nampak puas dan gembira setiap kali menyikat rambut Abah dan membedakkan Abah. Indah rasa dapat berbakti.

Setiap makanan yang Abah minta, bertungkus lumus anak menantu sediakan. Bersuap makan minum. Sandwich sardin, sandwich telur. Apa-apa sahaja.

Bakti terakhir untuk Abah.

Lebih besar lagi, setelah ketiadaan Abah. Setiap hari, setiap rindu, tanpa jemu aku utuskan kalamullah buat santapan jiwa Abah. Kalau kekurangan waktu untuk Yassin, cukup sekadar Al-Fatihah buat kiriman. Waktu memandu, waktu bekerja, waktu makan. Zikrullah juga sama. Aku yakin, adik beradik lain juga memberikan hadiah yang sama.

Ia buat aku terfikir, di alam sana, cuma ada kita dan amalan menghadapNya. Tidak mungkin bisa kembali lagi untuk menambah amalan.

Yang masih berterusan cuma sedekah / wakaf yang berpanjangan dan doa si anak.

Itulah gunanya anak. Itulah guna. Semoga kita menjadi aset untuk ibubapa kita. Semoga anak-anak kita menjadi aset untuk kita nanti. Aminnn..



Wednesday, June 26, 2013

Melihat gelagat manusia..

Melihat gelagat manusia melalui pengalaman.

Bila melihat Abah terlantar di wad kelas tiga HUSM, ada yang berkata, Oh tak ada duit nak duduk Executive Ward.

Mungkin sekadar berjenaka, tapi seriously tidak kelakar.

Bila berbual bercerita tentang kesakitan dan kematian Abah, ada yang sempat menyelit, anaknya peguam. Sempat menambah dia kerjanya itu dan jawatannya ini.

Sempat lagi bertanya tentang jawatan anak-anak Abah.

Mungkin kerana kebanyakan pelajar MCKK dapat jadi orang hebat, maka ukurannya harus turun kepada anak-anak juga. Maka kehebatan harus terserlah pada pemilihan hospital dan wad juga.

Tapi mungkin kita terlupa, emas segunung intan yang kononnya milik kita sekalipun takkan dapat kita belanjakan walau sesen pun tanpa izinNya.

Pada saat aku dan abangku meminta untuk meletakkan Abah di Wad Eksekutif, aku rasakan kami sedang menjalankan tanggungjawab seorang anak. Tidak kira berapa jumlah bayaran, yang penting keselesaan untuk Abah. Tapi permohonan kami ditolak kerana keadaan Abah kritikal. Wad beramai-ramai lebih sesuai kata doktor.

Pada waktu itu aku sedar, tanpa izinNya takkan terjadi.

Berada di wad tersebut memberikan aku kesedaran tentang hakikat taqdir. Aku sering keluar masuk hospital swasta yang indah berbayar penuh provasi, tapi kali ini, tuhan pilih jalan ini untuk aku merasa. Di hospital kerajaan yang pesakitnya ramai, semua harus dilakukan sendiri. Belajar memberi Abah minum melaui tiub yang terpasang pada hidungnya, membasuh setiap peralatan yang digunakan, semuanya sendiri. Menginsafkan.

Pada waktu itu, anak-anak Abah sama sahaja dengan orang lain. Abangku bukan arkitek, aku bukan pengurus, adikku bukan jurutera, adikku bukan pelajar universiti. Hanya orang awam yang menagih kemudahan perubatan di hospital kerajaan. Lebih teruk, kami adalah orang awam yang percaya pada kelebihan hospital swasta semata dan memilih untuk menghantar Abah di sana terlebih dahulu walau jelas, HUSM punya segala kepakaran walau tanpa keselesaan.

Bila Abah pergi, aku menggalas tugas menguruskan harta peninggalan Abah, tuntutan insurans dan lain-lain. Wang tunai tersedia sahaja pun cukup untuk Abah menunaikan haji berkali-kali. Lebih 10 kali, lebih 15 kali.

Tapi tanpa izinNya, Abah tidak sempat sampai ke Mekah. Tanpa izinNya, tiada apa yang bisa.

Applikasinya sama. Berbanggalah engkau bekas pelajar MCKK sekolah tersohor. Berbanggalah engkau berjawatan itu dan ini. Berbanggalah engkau anakmu hebat bergelar itu dan ini.

Tapi tanpa izinNya, percayalah, tiada satu pun nikmat kehebatan itu yang mampu kau kecapi.

Aku bukan sesiapa. Bukan peguam bukan doktor. Aku cumalah anak yang merindui ayahnya. Terlalu merindu. Al-Fatihah.


Monday, June 17, 2013

Jangan sabarkan aku.. Aku tahu hakikat ketuhanan..

Lama tidak ke sini. Kerana asalnya, aku hanya mahu kembali dengan mengabadikan sesuatu untuk Abah. A tribute. Tapi masih bergelumang dengan masa. Kekurangan masa. Maka, sekali lagi aku kongsikan sesuatu dari FB.. Tanda kerinduan yang menggunung..

**************************

12 May, di ruang Bahagian Kecemasan, HUSM Abah terbaring di dalam kesakitannya. Kutinggalkan dia seketika untuk berbicara dengan doktor yang baru sahaja selesai meneliti laporan perubatannya.

Tiada harapan. Kata si doktor.
                        
Aku kembali kepada lelaki itu. Dalam lemahku, aku menangis padanya. "Abah, tolonglah sihat. Abah tolonglah lawanlah sakit Abah. Sihatlah untuk Rayyan. Kesian Rayyan. Rayyan rindu Atuk. Tiap kali Rayyan nampak org lelaki tua, dia akan pergi mintak dukung. Dia ingat tu Abah. Dia ingat tu Atuk dia. Abah tak kesian dekat Ian? Sihatlah Abah, balik dukung Rayyan.."

Abah pandang tepat ke mataku. Abah angguk, dalam lemahnya.

Malamnya, di hadapan adik kesayangannya, Pak Su, Abah mengalirkan air mata. Kata Abah, lakukanlah apa sahaja yang perlu untuk dia sembuh. Dia mahu sembuh. Dia mahu pulang untuk dukung Rayyan. 

14 May, abah sudah redha. Abah sudah mengalah. Kerana dia tahu masanya sudah tiba.

18 May, Abah pulang kepada penciptaNya.

Abah, maaf kerana Kak buat Abah menangis. Demi Rayyan Ariff si anak syurga. Maaf. 


Al-Fatihah

 


****************************

Janji Abah.

Janji Abah pd Mami, tahun dpn kita pegi haji sama2.


Janji Abah pd Adik 
Kojek Aziz, abah nk buat mkn besar-besaran tahun ni. Nk jemput semua kawan2. Sempena Abah baru pencen, sempena kenduri kawen Jek.

Janji Abah pd Adik 
Yue Aziz, bila Yue smbg degree, tak perlu nk amik sebarang pinjaman, Abah tanggung sepenuhnya.

Janji Abah pd aku. Nanti Kak nak sunatkan Ian hujung tahun, Abah dtg jaga. Abah dtg handle.

Janji Abah pd cucu-cucu. Nanti depan rumah ni Atuk nak letak tar. Senang cucu-cucu nak balik main kereta. Main basikal.

Abah janji macam2. Abah janji nak luang lbh masa dgn keluarga. Tp Abah pergi sebelum sempat tunaikan janji Abah.

Janji Abah dengan tuhan lebih besar. Janji ajal, janji maut. 

Al-Fatihah Abah.



*********************************

Di setiap panggilan telefonnya, ayat yang sama jadi pembuka bicara. "Ian macamana, OK?".. Seringkali, setiap kali, tanpa jemu.

Rayyan yang pertama, Rayyan yang utama. Pada hujung hayatnya, di saat sedarnya sekadar bersisa, Abah masih memberikan tindakbalas di saat Rayyan memegang tangannya. Walau hanya satu picitan kecil. Tindakbalas yng hanya terjadi tatkala adanya Rayyan. Allahurabbi.. Kasihnya pada Rayyan Ariff menggunung..

Tahukah kalian, it takes a lot to love a special needs child? Kasih yang bersifat memberi. Kasih yang bersifat sebelah pihak. Namun Abah tidak kisah, walau dia tidak sempat menikmati panggilan "Atuk" selama hayatnya, namun kasihnya luhur. Kasihnya suci.

Kehilangan yang sangat besar untuk Rayyan Ariff. Aku tidak gusarkan Rifa Aleesya, kerana aku tahu, di mana dan ke mana sahaja keletahnya bisa mencuri sayang, bisa membuah rindu.

Buktinya panggilan telefon di petang hari tadi. Bertanya tentang Rifa Aleesya dan mengungkap kerinduan. Di mana Rayyan Ariff?

Tapi siapa aku untuk mempersoal. Utama dan pertama terlalu subjektif untuk ditakrif.

Rayyan Ariff, hilang di dunia hanya sementara. In Shaa Allah, akhirat abadi tempat bersua. Jangan pernah lupa kasih atuk, tahu.

Al-Fatihah.


 

*****************************************

Sering ditanya, "Are you OK?"

Katakan padaku, apa jawapan terbaik yang harus aku berikan? Aku masih mampu tidur, aku masih mampu tersenyum, aku masih mampu bekerja. Seperti yang kalian saksikan, aku baik-baik sahaja kalau itu ukurannya.

Rindu. Rindu yang terlalu dalam. Tanpa kalian tahu, aku masih lagi menangisi kehilangan di setiap solatku, dalam perjalanan ke tempat kerja, di kesunyian malam..

Kalaulah tangisan ini mampu mengembalikan jasad dan jiwa yang telah tiada. Kalaulah. Aku masih berharap ini semua mimpi. Kerna aku rindu, rindu yang teramat.

Jangan sabarkan aku. Aku masih punya iman. Aku percaya pada Qada' dan Qadar. Aku yakin dengan konsep ketuhanan. Aku cuma perlu masa. 30 tahun hidupku dia ada, masakan aku bisa ubati sakit ketiadaannya dalam masa 13 hari. Beri aku masa sebelum kalian tarbiahkan aku.

Aku kehilangan ayah, tapi Rayyan Ariff kehilangan Atuk, penyokong terbesar, doktor bagi rawatan alternatif, kasih paling epik.

Jangan sabarkan kami. Biar masa jadi pemulih. Al-Fatihah.

Abah, apabila pemisah kita adalah alam, Kak akan pastikan bahawa penghubung antara kita adalah Zikrullah dan Kalamullah. In Shaa Allah.

Semoga syurga tanpa hisab milik Abah. Amin.