Tuesday, December 21, 2010

Perlukah merenung bulan dan melupakan rumput yang dipijak??

Semalam, untuk seketika waktu, saya mengunjungi beberapa blog anak istimewa yang merupakan diagnosis yang hampir sama dengan Rayyan Ariff walaupun tidaklah benar-benar serupa. Ada yang lebih baik daripada Rayyan Ariff dan ada juga yang berlawanan.
.
Bohonglah kalau saya katakan bahawa tidak ada langsung perasaan cemburu yang terselit di dalam hati apabila melihat ada yang sudah mampu bertutur dan mula mengatur langkah sedangkan usianya hampir sama dengan Rayyan Ariff. Namun hanya iman dan akal yang bisa memujuk diri untuk redha dan terus berusaha yang terbaik buat anak comel saya ini..
.
Lagipun, kebanyakan anak yang mempunyai diagnosis yang serupa dengan Rayyan Ariff kelihatannya benar-benar 'berjuang' dengan pelbagai limitasi. Malahan, ada yang masih belum mapu berjalan walaupun usia sudah menginjak ke angka 5 tahun. Kalau ibubapa mereka redha, mengapa tidak saya? Itulah lumrah manusia, terlalu memandang bulan dan bintang di langit sehinggakan sering terlupa rumput yang menghijau..
.
Enjoy your child no matter what.. InsyaAllah.. =)
.
Rayyan Ariff sudah mampu mengenal nombor.. Kita hanya perlu memberikan sahaja kepadanya dan dia mampu memasukkannya sendiri.. Ada waktu bila malasnya datang, pantas sahaja dia memasukkan nombor-nombor itu sesuka hatinya. Itulah anak kecil, bukan boleh dipaksa.. =)
.
Bebarapa kali kami cuba untuk merakam aksinya semalam, namun dia tidak memberikan kerjasama.. Malah, anak kecil ini lebih tertarik kepada Cinta Kirana.. Pandai betul bibik 'mengasuh' Rayyan Ariff.. =)
.
"Rayyan, put.. put Rayyan, please..."

"I couldnt care less la Mama.. Uuweekk"

Last weekend, we gave Rayyan a haircut. Balik tu, Mama tunjuk terror nak botakkan kepala Rayyan.. sekali tak menjadi.. Botak sket dalam 2cm kat tengah sebab kena tobek ngan Mama.. :P

True enough. I'm enjoying my child, no matter what.. =P

Monday, December 20, 2010

Satu perbualan yang jujur dan tidak mengganggu..

Sebelum ini, kami pernah berbincang tentang kelebihan landed house untuk memenuhi beberapa keperluan Rayyan Ariff.. Tujuan kami membeli kediaman sekarang adalah kerana mahu memanfaatkan kolam renang sebagai salah satu sesi terapi Rayyan Ariff. Oleh kerana Rayyan Ariff tidak sukakan sesi renangnya, maka isu tentang landed house timbul kembali..
.
Namun sejak sembuh dari kesakitan yang lalu, Rayyan Ariff benar-benar sukakan sesi berenang.. Di dalam air, dia akan menggerakkan kaki dan tangannya sekuat hati sambil mulut tertawa mengekek.. Comel sekali.
.
Happy and excited.. =)
Melihatkan sesi ini memberi manfaat buat Rayyan Ariff, maka isu berpindah rumah tidak lagi kedengaran.. Seboleh-bolehnya, kami memastikan agar Rayyan Ariff berenang untuk dua atau tiga kali seminggu.. =)
.
Semalam, sekali lagi kami membawa Rayyan Ariff berenang.. Oleh kerana cuaca yang mendung, ramai juga anak-anak lain berada di kolam renang..Dan setelah seketika, kami dihampiri oleh beberapa kanak-kanak yang mungkin di dalam usia 5-6 tahun..
.
Kanak-kanak A: Acik, sape nama adik ni?
Saya: Rayyan..
Kanak-kanak A,B,C: Lion???
Saya: Rayyan..
Kanak-kanak A,B,C: Oooo
Kanak-Kanak A: Berapa umur dia Cik?? Dia comellah..
Saya: Dua tahun..
Kanak-Kanak A: Dia pandai cakap tak??
Saya : Belum sangat. Sikit2 bolehlah.. Satu dua perkataan..
Kanak-kanak A: Dia boleh jalan tak?
Saya: Belum..
Kanak-kanak A: Oohh.. Tapi dia comellah.
Kanak-kanak B: Sape nama dia Cik? Berapa umur dia Acik??
Saya: Rayyan. Dua tahun.
Kanak-Kanak C: Kenapa kepala dia Acik?
Saya: Kena operate. Dia sakit dulu..
Kanak-kanak A: Tapi dia comel kan???
Kanak-kanak B: Kesiannya.. Dia boleh jalan tak?
Saya: Dia tengah belajar nak bejalan la ni..
.
Soalan yang berulang, namun mereka hanya ingin memenuhi rasa ingin tahu.. Hmmm.. Kalau Rayyan Ariff ke sekolah untuk kanak-kanak tipikal, apakah dia akan menerima soalan-soalan sebegitu dan mungkinkah cikgu-cikgunya yang terpaksa menjawabnya?? Wallahualam..

Sunday, December 19, 2010

Cerita hari minggu..

Dua hari minggu yang lalu adalah hari bersenang-lenang buat kami.. Minggu sebelumnya, kami pulang ke Kelantan dan minggu lalu pula hanya berehat-rehat di rumah.. =)
.
Dua minggu yang lalu:
Budak kecil yang kekaguman melihat laut.. =)

Pantai Cahaya Bulan.. Ombak besar dan cuaca mendung dan hujan sepanjang di sana..

Potong kek hadiah daripada teman2 Tok.. Kek 'get well soon' buat Tok yang tidak sihat.. =)
Minggu lalu:
Playdate bersama Megat Jr dan Puteri Jr di KLCC!! Yeayyy!!
.
Anak-anak comel kami..

Love this photo.. Tgk Incik Hubby di belakang berbaju kuning.. =)

Teka?? Apa yang Tuan Kecik buat di stroller Megat Jr??
Jawapannya adalah; KIPAS!!!
Obsesi yang tidak berpenghujung!! =)
Gambar-gambar yang superb dari Mama Put dan Minmin.. =) 
.
Minggu ini pula?? Boleh dikatakan sebagai minggu yang cukup memenatkan. Hari sabtu dipenuhi dengan sesi terapi Rayyan Ariff yang mana kami meninggalkan rumah jam 11.00am dan hanya kembali pada jam 715pm.. Setelah itu, ke rumah Atuk dan Wan Rayyan Ariff di Rawang pula untuk bermalam di sana.. Tiba di rumah tadi pun sudah menghampiri jam 415pm..
.
Diteruskan dengan aktiviti  berenang untuk Rayyan Ariff dan menjamu selera di Steakhouse.. Terima kasih Mak Eiy.. =)

Saturday, December 18, 2010

Satu kekuatan, satu kehilangan.. Al Fatihah..

Pemergian jiwa kecil yang kuat itu saya tangisi dengan penuh kesedihan.. Bukan meratapi sebuah kematian, tetapi kerna terasa kehilangan yang sangat besar..
.
Usianya baru sahaja mencecah 3 tahun, namun perjuangannya untuk sebuah kehidupan adalah satu kisah yang sangat menginsafkan. Dengan segala keterbatasan fizikal dan mental, dia melalui hidupnya dengan menjadi bukti kekuasaan dan keagungan Allah SWT.. Dia adalah anak kecil yang sangat kuat!
.
Sewaktu Rayyan Ariff masih di NICU, saya mengetahui tentang kisahnya kerna dia merupakan anak saudara kepada teman sekolej saya. Lantas saya berkenalan dengan ibunya dan mengemukan pelbagai soalan kerna tatkala itu, dia sudah berusia beberapa bulan berbanding Rayyan Ariff yang baru sahaja dilahirkan..
.
Kisahnya dan kisah Rayyan Ariff sama. Diagnosisnya dan diagnosis Rayyan Ariff juga sama. Kerna itu, saya sangat terkesan dengan pemergiannya. Ibunya dan saya juga sama, dipersoalkan tentang keputusan kami untuk melahirkan benih cinta yang penuh dengan kekurangan.. Namun yang membezakan kami ialah ketentuan yang tersurat dan yang tersirat..
.
Ibu itu sangat tabah dalam menjalani kehidupan bersama jiwa kecil yang menuntut penjagaan rapi.. Ibu itu masih mampu bercakap dengan kekuatan penuh sewaktu kami melawatnya di hospital suatu waktu dahulu. Bagaikan alah bisa tegal biasa.. Berkampung di hospital untuk si anak bagaikan sesuatu yang tidak mengganggu..
.
Trauma kehidupan anak itu tersangat hebat apabila pasukan pengamal perubatan bagaikan terlalu awal berputus asa dengan kemandiriannya.. Kata mereka, dia tidak mungkin akan selamat sebaik dilahirkan maka dia dibiarkan sahaja.. Melihatkan kekuatannya, barulah mereka akur untuk membantunya..
.
Dan mencapai usia beberapa bulan kehidupan, sekali lagi, dia diminta pulang kerana pihak hospital sudah kehabisan idea untuk memulihkannya.. Bagaikan menyuruh dia menunggu waktu untuk dijemput pergi. 
.
Kejam. Itu kata yang paling tepat. Selagi tubuh itu bernyawa, apa perlu ada putus asa?? Namun ibunya tidak patah semangat. Hanya padaNya tempat bergantung.. Dan anak kuat itu, terus menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak mahu menyerah kalah dengan mudah..
.
Kerna kekuatan dan ketabahan itulah saya tidak mampu mengawal tangis apabila dimaklumkan bahawa dia sudah pergi selama-lamanya petang tadi.. Kehilangan yang sangat besar dan sangat dirasai..
.
Untuk sepanjang hayatnya, dia melalui kehidupan yang penuh limitasi.. Namun kini, dia bebas berlari dan bermain-main di syurga yang abadi.. Cukup pasti, dia sedang menunggu ibu dan ayahnya di sana..
.
Al-Fatihah buat Aiman Ishak tercinta..

Friday, December 17, 2010

Susah atau tidak, yang penting kita perlu redha..

Semalam adalah sesi temujanji bersama doktor rehab Rayyan Ariff iaitu Dr.Taayah.. Dr.Taayah  juga menyatakan kekagumannya apabila Rayyan Ariff mampu makan sendiri menggunakan sudu kerna pada dasarnya, tahap kemahiran motor Rayyan Ariff sekarang bagai menunjukkan bahawa hal itu adalah mustahil untuk dia lakukan pada saat ini. Itulah istimewanya little miracle saya ini..
.
My handsome little miracle boy.. =) Pic - Credit to Mama Put
Alhamdulillah kerna Dr.Taayah mengakui kepelbagaian perkembangan yang ditunjukkan oleh Rayyan Ariff walaupun masih banyak bahagian yang perlu diperbaiki dan dipergiatkan usaha stimulasi..
.

Setiap kali mendengarkan perkara-perkara yang perlu kami lakukan untuk Rayyan Ariff, hati serasakan mengeluh penat dan tidak mampu. Tectile, propriaception, bridging, oral-motor exercise, vestibular and so on.. The alien words keep on growing kan??
.
Namun seperti seringnya, akal mengingatkan hati bahawa kalau kami sudah sampai sejauh ini, pasti kami mampu untuk pergi lebih jauh..
.
Inilah kata-kata yang sering saya gunakan untuk mengingatkan diri agar tidak tersasar. Ada waktu, hati mengeluh apabila penat berkejar ke hospital di Subang Jaya pada waktu rehat tengahari dari pejabat yang terletak di Bukit Kiara semata-mata untuk mengambil laporan perubatan Rayyan Ariff. Ada masa, jiwa mengeluh apabila terpaksa berkejar ke Subang Jaya dari Bukit Kiara selepas waktu pejabat untuk sebotol ubat buat Rayyan Ariff. Ada ketika, diri mengeluh apabila terpaksa keluar awal sedari awal pagi sehinggalah senja menjelma untuk memenuhi tuntutan terapi Rayyan Ariff pada hampir setiap hari sabtu..
.
Dan akal juga sering membisikkan kepada hati, "Ikhlaskan sahajalah demi seorang anak.. Ikhlaskan sahajalah demi amanah Allah SWT yang tidak ternilai harganya ini.."
.
Dan bagaikan kalimah keramat bermentera, redha seringnya mengikat hati supaya sentiasa sabar dan tabah.. Dan seiringnya juga, keluhan demi keluhan berlalu pergi dengan hanya berpegang pada kalimah keramat ini.. Besarkan nikmat redha?? =)

Thursday, December 16, 2010

Sumpah tak mahu berbelog setahun!!

Semalam kami ke Klinik Audiologi dan Sains Pertuturan, HUKM lagi. Temujanji seterusnya adalah pada esok hari yang mana ujian BAEP akan dilakukan ke atas Rayyan Ariff sekali lagi bagi menentukan tahap pendengaran Rayyan Ariff..
.




Harapan? Tentu sekali saya mahu hasil keputusan itu menunjukkan bahawa tahap pendengaran Rayyan Ariff adalah normal dan dia tidak memerlukan alat bantu pendengaran lagi.. Dan andai ianya benar, sumpah saya mahu berhenti berbelog selama setahun! Apa relevannya berbelog dengan pendengaran?? Saya pun tidak tahu.. :P
.
Saya maklum bahawa saya harus realistik.. Saya adalah penjaganya maka saya lebih maklum keadaan Rayyan Ariff.. Saya tidak menolak bahawa anak itu tidak memiliki tahap pendengaran tipikal, namun saya amat berharap agar ada peningkatan yang bakal ditunjukkannya nanti..
.
=)