Tuesday, March 26, 2013

Jihad mencari kesembuhan buat sang putera..

Masa yang terus berjalan membuatkan kami sepakat untuk melipatgandakan usaha kami buat anak ini. Dari semua segi bersesuaian dengan kemampuan, In Shaa Allah.

Terbaru, kami sedang mencuba rawatan urutan stimulaterapi untuk Rayyan Ariff. Melihatkan perkembangan anak-anak lain, hati begitu terusik untuk mencuba. Makanya kini, perjalanan 3 hari seminggu ke Pelabuhan Klang dari Ampang bakal menjadi rutin. Seperti mana rutin kami mengunjungi SDMC untuk berterapi hampir setiap minggu semenjak 11 bulan usia Rayyan Ariff.

Dia.

Penat? Sedikit. Hari Jumaat dan Isnin bakal menyaksikan saya bekerja pada waktu rehat untuk pulang seawal jam 5pm. Hari yang sama, masuk sahaja waktu maghrib, kami segerakan bersolat. Usai solat maghrib, kami terus memulakan perjalanan. 

Seawal mungkin agar kami tiba di rumah tidak terlalu lewat. Maklumlah, esoknya hari bekerja. Seperti semalam, jam 1030pm kami sudah kembali berada di rumah. Cepat pergi, cepatlah dapat pulang. Jarak bukannya dekat. Tol sehala sahaja sudah 4 atau 5 buah. 

Untuk Rayyan Ariff, urutan tidak dapat dilakukan secara penuh terutamanya pada dada dan perut kerana alat yang tertanam pada badannya. Tidak mengapalah. Selagi boleh. Perubahan? Masih terlalu awal untuk bercerita tentang itu kerana kami hanya mengunjungi pusat itu sebanyak 3 kali sahaja. Beri kami tempoh sebulan dua, akan saya kongsikan lagi tentang rawatan ini di sini.

Sekarang, gaji sahaja terus diasingkan RM600/700 sebulan untuk rawatan ini. Tidak mengapalah nak, ini jihad namanya. Semoga ada perubahan yang baik untuk kamu.. Untuk seorang anak, Mama tak perlukan handbag Coach. Selagi ada kamu, Mama tak perlukan handphone canggih.

Membelah kepekatan malam di dalam hujan yang lebat. Ini jihad kita. Hampir sampai, adik yang kepingin duduk di hadapan bersama Abangnya. ;-)

Saya juga sedang berkira-kira untuk memulakan satu lagi kaedah rawatan/pemulihan. Harga rawatan stemcell enhancer yang agak mahal membuatkan saya masih lagi sedang berkira-kira. Namun manakan tahu hasilnya kalau tidak dicuba. Pejam mata, landa sahajalah jawabnya. In Shaa Allah ada rezeki buat si anak..

Ini jihad kita dalam mencari kesembuhan. Semoga dipermudahkan. Aminnn..

6 comments:

Hanafizah said...

Amin..semoga usaha Jiey diberkatiNya.

Nurez Amani said...

assalamualaikum kak..boleh saya dapatkan emel or contact number akak tak? ada something nak bagitahu :)

ummi nia said...

Insyaallah..jihad utk kebaikan pasti akan ada hasilnya nanti..

MyFreeMinded said...

Insya Allah, moga usaha Ibunda tercinta untuk anakanda tersayang di rahmati Allah dan urusan kamu sekalian senantiasa di permudahkan DIA yang maha kuasa.

Hazrina Nasir said...

Salam Jiey,

Boleh share sikit info pasal stem cell enhancer tu? Tq. Nway moga dipermudahkan segala urusan utk Ian...

transformed housewife said...

inshaallah. semoga berhasil.