Friday, June 28, 2013

Satu kisah epik, puisi naratif yang panjang..

Maaf kalau ada yang jelak dengan bicara aku mengenai Abah. Abaikan sahaja.

Aku cuma mahu berkongsi satu kisah epik. Puisi naratif yang yang panjang..

Pernah ada kawan yang berkata, ini kisah biasa. Atuk dan cucu, begitulah resminya. Sayang melebihi anak sendiri.

Tapi aku degil. Aku memilih untuk percaya ini kisah kasih yang luar biasa. Ambil sahaja kisah menolak kerusi roda yang aku ceritakan sebelum ini.

Tahun 2012 cukup sukar buat Rayyan Ariff, buat semua. Masuk wad berkali-kali. Masuk OT lebih sekali. Temujanji tidak dapat dikira dengan jari.

Setiap kali Rayyan Ariff masuk wad, setiap kali itulah Abah tak pernah gagal datang dari Kota Bharu. Bergelut dengan jadual kerja yang padat dan cucu yang sering sakit.



Untuk foto ini, Rayyan Ariff sekali lagi demam yang berpanjangan. Abah datang untuk 5 hari. Di dalam 5 hari kunjungan Abah, tidak ada sekejap pun Abah pulang ke rumah. Sedang kami ibu dan ayahnya pun mengambil giliran menjaga Rayyan Ariff. Seketika, pulang untuk mandi dengan selesa di rumah sendiri. Untuk merebah badan dengan nyaman di katil sendiri.

Tapi Abah, selepas 8 jam perjalanan menaiki bas dari Kota Bharu, tiba sahaja terus ke hospital. Tidak pulang berehat walau sehari.

"Baliklah Abah. Tido sekejap. Rehatkan badan.."

"Abah takde hal. Kat situ pun abah boleh tido.." Sambil telunjuknya menuding lantai wad yang beralas tikar.

"Mana nyenyak Bah.. Sekejap-sekejap nurse datang check. Sekejap-sekejap ambik suhu. Sekejap-sekejap bagi ubat. Tidur asyik terganggu. Abah kan ada darah tinggi. Mana boleh tak cukup tido.."

"Ian tak balik, takkan Atuk nak balik. Kan, Ian?" Ujar Abah sambil memandang Rayyan Ariff.

Aku diam dalam terharu.

Tatkala Rayyan Ariff menolak untuk makan, Abah letak di atas kerusi roda dan meminta aku menunggu di pintu bilik. Kerusi di tolak mengelilingi wad. Satu pusingan, berhenti di hadapanku untuk disuap roti.

Untuk menghabiskan sebungkus roti jagung Gardenia, 28 pusingan wad kanak-kanak di tingkat 5 SJMC Abah pusing.

Masih jelas tergambar, nafas Abah yang tercungap-cungap menolak cucu kesayangan. Jujur aku katakan, kalau aku sendiri, paling banyak pun 10 pusingan yang aku mampu. Lelah.

Cinta lelaki ini memang hebat. Kalau kata agung itu hanya antara manusia dan tuhan, maka izinkan aku gelarkan kisah kasih ini sebagai kisah epik.

Al-Fatihah Abah. Atuk terhebat untuk cucu yang hebat.

5 comments:

Suliana said...

besarnya pengorbanan arwah. Al fatihah....

nurulhuda said...

saya terharu baca nukilan akak.. Ian mempunyai atuk yang terhebat!! al-fatihah untuk abah akak...

#abis rosak eyeliner kite, sedeyyyy!!!!

Lightnur said...

terharu membaca...Sangat besar pengorbanannya. semoga Allah mengasihinya dan membalasnya dengan syurga yang tertinggi...

Ina Hashim said...

bergenang airmata akak...memang hebatnya kasih seorang atuk....semoga arwah ditempatkan bersama orang2 yg beriman...Aminnn

kayyana said...

terpegun dengan pengorbanan seorang ATUK.. ye.. sesungguhnya abah akak mmg atuk yang terhebat.. Al-Fatihah