Wednesday, July 10, 2013

Salam Ramadhan, Salam rindu dan erti redha..

Ramadhan dan aku yang kerinduan. Ramadhan dan aku bersama doa perpisahan..

Namun hidup perlu diteruskan.

Aku belajar erti redha melalui pengalaman.

Sebagai contoh, mengambil iktibar daripada kiriman dari syurga, Rayyan Ariff..

Aku tahu, Allah SWT kirimkan Rayyan Ariff untuk aku lebih belajar tentang konsep ketuhanan. Melalui Rayyan Ariff, aku berkenalan dengan ramai ibu dan anak-anak sekasut.. Walau tidak sama diagnosisnya, kami masih bisa berkongsi rasa, berkongsi cerita..

Ada di antaranya aku kenali sedari anak-anak kami masih bayi. Masih jelas terbayang, kami masing-masing begitu bersemangat mencuba pelbagai rawatan dan cara stimulasi anak-anak syurga kami..

5 tahun berlalu, dan tempoh masa ini telah mengubah banyak perkara, ada di antara anak-anak kami yang telah kembali kepada Yang Maha Mencipta, ada yang menunjukkan progress yang sangat hebat, dan ada juga yang menyaksikan perubahan yang sedikit. Kesemuanya berlaku di atas izin Allah SWT.

Di dalam usaha menyelami hati sesama kami, aku tanyakan pada seorang ibu, apa rasa yang adadi dalam jiwa?

Jawabnya tenang, seiring dengan tempoh masa, dia sudah mampu menerima hakikat seandainya anaknya tidak bisa berjalan atau menguruskan diri. Biarlah dia tidak tahu itu ibunya, cukup adanya dia di depan mata, sihat tubuh badan dan sempurna makan minumnya sudah memadai. Namun itu bukan bermakna si ibu sudah mengalah. Dia masih lagi berikhtiar selagi terdaya, namun andai kata tiada perkembangan, hati tidak berteriak kecewa.

Sumpah, inilah takrif redha paling tepat yang aku temui. Yang paling benar aku pelajari..

Tanyalah mana-mana ibu kepada anak istimewa, jauh di sudut hati, pasti ada satu ketika di mana kita mengharapkan ini satu mimpi. Pasti ada satu detik yang mana kita berkhayal, bangun sahaja dari tidur esok hari, anak-anak syurga kita baik-baik sahaja. Sempurna seadanya..

Itu hanya pintasan keinginan dan bukanlan tanda ketidakpuasan hati.. Pergerakan masa mengajar kita untuk lebih menerima..

Sama sahaja kisahnya aku. Tatkala ada perawat yang berkata, Rayyan Ariff mungkin bisa berjalan dan mengurus diri, tapi tidak mungkin mampu bertutur, tiada apa rasa negatif selain dari mahu terus berjuang.. Aku terkejut kerana tiada rawan di hati..

Jiwa hanya berkata, In Shaa Allah kita cuba selagi terdaya. Boleh atau tidak, kita cuba selagi ada hayat.

Tidak sedih bukan bermakna aku sudah hilang kemanusiaan apabila merenung darah dagingku, tapi mungkin kerana aku juga telah menemui makna redha yang sejati..

Kudos to all of my friends with a special needs child. Terima kasih kerana saling ada untuk menjadi guru sesama kita.

Sayang kalian. Sayang anak-anak syurga kita.


5 comments:

Angah said...

salam ramadhan Jiey...

Salmi Khairil said...

Salam Ramadan..& selamat berpuasa

Unknown said...

suka baca coretan jiey...sayang menggunung untuk untuk Ian yang istimewa..walau tak pernah bersua..

Salam ramadhan buat Jiey dan keluarga..

Mama Kembar Tiga said...

Salam jiey. Hensem betul lah abg ian pakai spek, and his smile always melts my heart :-)

Mama Kembar Tiga said...

Hensem betullah abg ian pakai spek. And his smile always melts my heart :-)