Kami memulakan hari Sabtu seperti biasa. Merangka jadual untuk satu aktiviti lazim. Sang suami akan membawa si anak bujang berterapi, manakala sang isteri di rumah bersama anak perempuan. Berada di rumah untuk upcara mengemas, mengemop, membasuh, menukar cadar, membasuh bilik air dan yang sewaktu dengannya.
.
Namun satu panggilan telefon telah mengubah hari kami. Telah meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwa dan hati kami..
.
"Kak Jiey, tahu tak Aiman kat ICU? Dr kata harapan tipis.." Suara Zura yang tenggelam timbul di hujung talian benar-benar mengundang rasa yang pelbagai.
Sebaik talian dimatikan, saya mula bercerita pada yang lain. Air mata mula menitis seiring dengan perkhabaran yang diucapkan. Saya tidak tahu mengapa, namun kali ini, air mata ini terlalu murah.
Mungkin selepas Alanna Qish, saya tidak menyangka akan kehilangan seorang lagi anak syurga daripada keluarga superkids kami.. Sungguh.
Terus kami bergegas ke wad ICU Hospital Serdang. Dari pagi, hanya setelah jam berada di angka 5 ptg barulah kami dapat menatap wajah anakanda Aiman. Aiman dimasukkan ke wad kerana kesukaran bernafas akibat lemas. Keadaannya sudah teruk sewaktu di bawa ke hospital..
Organ dalaman mulai berhenti berfungsi sedikit demi sedikit. Hati ayahbonda semakin dipagut kepiluan.. Tatkala saya menatap wajah syurga milik Aiman, saya mengerti apabila ibunya berkata dia tidak mahu Aiman terus menanggung kesakitan, namun tidak sanggup pula melepaskannya..
Di luar wad ICU, kami berpelukan sambil menangis, "Macamana Kak Jiey?" Suara serak menahan tangis itu masih terngiang-ngiang.
"Akak faham bila Ida kata takmau Aiman sakit. Akak pun tak sanggup tengok dia macam tu. Tak mampu. Tapi untuk hilang dia pun tak sanggup. Pergi maksudnya tak ada. Tak ada di mana-mana. Tak boleh peluk. Tak boleh cium. Tak ada lagi.. Seperti kata Ayu.."
Subhanallah. Kesedihan dan kesakitan itu masih jelas tergambar.
Pagi ini, Aiman atau Muhammad Amar Nazheef, kembali menemui penciptaNya. Pergi yang tidak akan kembali.. Innalillahhiwainnailaihirojiun..
Al-Fatihah buatmu wahai putera syurga.
Pada sebuah pentas duniawi, banyak kekurangan pada jasadmu. Di usia 4 tahun, kamu masih belum mampu merangkak atau berjalan. Kamu masih belum bisa bercakap atau bermain seperti anak-anak lain. Namun kini, kamu dimuliakan dengan sebuah syurga tanpa sebarang kepayahan. Di sana, pastinya kamu sedang bergembira menikmati indahnya taman firdausi..
Berlarilah semahumu anakku, bermainlah seinginmu anakku.. Doakan untuk babah, mama dan adikmu semoga mereka akan dapat bersua denganmu di sana. Di syurgaNya..
Aiman dipangkuan Babah dan Mamanya..
Sering teringat di minda, satu ayat yang pernah diungkapkan oleh Babah Aiman, yang tidak dapat saya lafazkan tanpa titisan air mata dan sebak merajai hati, "Andai airmata seorang ayah mampu menghilangkan segala kesakitan seorang anak, pasti aku akan menangis, walaupun sehingga aku buta.."
Setiap kali mengulangi ayat ini, pasti rasa sebak memenuhi rongga jiwa.
Kasih tak bersyarat.
Agung.
Kasih kerana Allah.