Thursday, August 19, 2010

10 hari selepas pembedahan.. Semoga tiada apa-apa yang serius..

Seperti yang telah saya nyatakan di dalam entri INI, Rayyan Ariff mendapat serangan sawan sebaik kami dibenarkan pulang dan waktu itu, kami masih berada di dalam kereta. Semuanya berlaku begitu pantas. Dan dalam keadaan separuh menangis, saya begitu tidak tentu arah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Seperti yang saya katakan, melihat sumber kekuatan saya di dalam keadaan terbaring lesu membuatkan saya 'hilang' seketika. Mujur ada kakak ipar saya bersama dan sebaiknya menenangkan hati ini..
.
Kesesakan lalulintas sedikit sebanyak menjadi penyumbang namun mujurlah kami masih tidak begitu jauh dari Bangsar. Kami terus sahaja berpatah balik ke hospital dan sekali lagi membawa Rayyan Ariff ke bahagian kecemasan. Semasa kami tiba di sana, Rayyan Ariff masih belum sedar dan kelihatan pucat dan penat sekali.
.
Setelah perbincangan dilakukan dengan kedua paediatrician dan neurosurgeon Rayyan Ariff, kami merumuskan mungkin serangan ini terjadi kerana Rayyan Ariff tertinggal mengambil Epilim selepas pembedahan dilakukan. Walaubagaimanapun, kami diminta untuk ke SDMC untuk pemeriksaan lanjut oleh neurologist Rayyan Ariff pula dan kami juga bersetuju sambil memilih untuk tidak memasukkan Rayyan Ariff ke dalam wad kembali.
.
Malamnya, suhu badan Rayyan Ariff naik sehingga 37.6 dan saya segera memberikan dia Paracetamol. Namun gelagatnya seperti biasa, malah lebih aktif! Mengesot ke sana ke mari bagaikan tiada masalah. Mengeluarkan satu persatu permainannya dan dia penuh dengan gelak ketawa. Betapa gembiranya dia kerna dapat pulang ke rumah.
.
Esoknya, kami membawa Rayyan Ariff ke SDMC untuk bertemu dengan Dr.Sofiah. Kerna maklum bahawa klinik Dr.Sofiah selalunya penuh, maka kami hanya bergerak ke sana jam 1100am.
.
Rayyan Ariff @ SDMC, Subang Jaya. 11.8.2010
.
Melalui perbincangan dengan Dr.Sofiah, dia juga berpendapat bahawa serangan itu terjadi kerana kekurangan epilim di dalam badan Rayyan Ariff. Walaupun sebelum ini Rayyan Ariff pernah tertinggal mengambil ubat itu untuk beberapa hari, namun ianya tidak menjadi isu besar kerana dia tidak menjalani apa-apa pembedahan. Dengan pembedahan dan tanpa ubat, satu bahagian pada otaknya membengkak seterusnya menghasilkan sawan yang teruk.
.
Salah saya di situ. Kerna saya tidak begitu mengambil berat tentang ubat Rayyan Ariff. Oleh kerana dia tidak pernah mendapat serangan sebegitu, tidak sesekali saya menyangka ianya akan terjadi. Malahan, saya sebenarnya menyangka sawan jenis 'sudden silence' yang dialaminya sewaktu masih bayi sudah tiada. Saya sebetulnya tidak suka dengan fakta bahawa anak saya perlu mengambil dadah dan bahan kimia setiap hari. Namun kini saya mengerti kepentingan dadah itu pada Rayyan Ariff.
.
InsyaAllah dalam masa 2 bulan lagi, kami akan melakukan ujian EEG sekali lagi untuk mengesan aktiviti otak dan sama ada gelombang otaknya sudah kembali seimbang. Dan kali ini, dos Epilim Rayyan Ariff juga sudah ditingkatkan.
.
Rayyan Ariff? Seperti biasanya, dia masih penuh dengan senyuman. Masih dengan aktivitinya. Masih dengan kegemarannya. Jahitan telah dibuka pada hari isnin yang lalu dan menurut doktor lukanya baik-baik sahaja. Sudah bercantum.
.
Mainan kegemaran Rayyan Ariff - remote control!
.
Namun semalam, sewaktu mahu keluar ke pejabat pada paginya, saya dimaklumkan oleh bibik bahawa luka jahitan Rayyan Ariff berdarah. Dan di bajunya juga terdapat kesan darah itu.. Aduhhh.. Sangat merunsingkan! Saya risau andainya bahagian itu terkena jangkitan. Jangkitan kuman adalah sesuatu yang sangat-sangat perlu kami elakkan kerna sekiranya ia terjadi, ia bermakna seluruh sistem itu perlu ditukar! Nauzubillahhh..
.
Hati bagaikan berbelah bahagi, sama ada mahu ke tempat kerja dahulu dan pulang pada waktu tengahari atau terus sahaja membawa Rayyan Ariff ke klinik dan masuk sedikit lewat ke pejabat. Sungguh beban kerja menimbun, apa lagi saya sudah 'bercuti panjang' sebelum ini!
.
"Bawaklah dia terus.. Risau saya tengok.. Kasihan dia.. Kita tidak tahu gimana nya nanti.." Kata bibik kepada saya..
"Siaplah. Kita ke klinik." Sambil hati berbisik, tolong jangan mengira dengan anak, tolong jangan berkira-kira!
.
Di klinik, luka Rayyan Ariff dicuci, namun ianya telah kering. Doktor memaklumkan kepada kami agar mencuci luka itu dengan air suam sekiranya ia berdarah lagi. Dan menurutnya juga luka itu sudah bercantum, mungkin berdarah kerana Rayyan Ariff tidur lasak ataupun menggaru-garu tempat itu.
.
Aktiviti semalam.. Habis satu kotak tisu!
.
Sekarang ini, saya hanya menyapu minyak ke atas bahagian luka itu kerana sememangnya kami tidak dibekalkan dengan sebarang ubat. Dan apabila melihatnya, bagaikan ada cebisan daging yang keluar. Seriau. Mungkin cara jahitannya begitu. Entahlah.
.
Sup ikan haruan masih lagi menjadi santapan Rayyan Ariff untuk beberapa hari ini. Saya pun tidak pasti apa lagi cara yang ada agar lukanya itu sembuh sepenuhnya dengan kadar yang segera.. =(

19 comments:

Rizziela said...

Risaunya dengar..
Semoga Rayyan cepat sembuh yer sayang

yatie chomeyl said...

semoga luk bekas jahitan abe Ian tu cepat takup semula dan semoga tok daroh doh..amin

Anonymous said...

ya! budak2 memang obses dgn remote control :)

semoga Rayyan Ariff sihat seperti biasa & sentiasa dalam lindungan-Nya..

shaliza said...

Salam Jiey,

Sup tu masak sendiri ke? Kalau ya,boleh try amik lendir ikan tu then sapu kat luka Ian tu,hanyir tapi rasanya boleh cepatkan proses kering luka tu...mungkin dia gatal2 tu yang tak sedar tergaru kat luka tu...cuba elak bagi dia makan benda yang boleh buat gatal2.

Unknown said...

salam jiey,,

sapukan minyak gamat..cepat dan selamat..

aSmiDar said...

:) sihat dah budak comel ni..
Moga terus sihat yer Ian sayang..:)

Monamie said...

kak.. pernah dengar tak aloe vera gel? tp mona tak pasti brand apa.. minta2 ada reader yg tau.. akak letak minyak apa.. sebab.. mona takut.. minyak tu cover luka luar je kak.. doa banyak2 ..insyaallah berkat bulan ramadhan.. rayyan cepat2 sihat.. amin.

emellia said...

syian si comel ni.. tapi masih mampu tersenyum ye sayang..

jie - muka anak saya dah iras-iras muka rayyan.. sebabnya masa ngandung dulu hari-hari saya mesti mengikuti perkembangan rayyan ni tau.

Naddiea said...

Jiey,saya baru tau yg Rayyan baru lepas operation.Lama x blogwalk sbb baru masuk keje lepas bersalin.Anyway,semoga Jiey banyak sabar ya.Insyaallah Rayyan akan cepat sembuh.Rayyan anak yang kuat.Skrg pun dia dh nampak aktif n sihat.Alhamdulillah..take care!

ieda said...

jiey...
syukur rayyan sudah sihat..kat luka tu jiey sapu minyak gamat pun ok.

attyfir said...

SEMOGA RAYYAN ARIFF CEPAT SEMBUH..AMIN

NM said...

hm...boleh letak gamat tak?aritu masa sara luka jatuh saya letak minyak gamat,luka tu cepatla juga sembuh..tapi jgn letak directla..letak kt tepi2 je..harap takde ape la ye..ian kat budak yang kuat :D

sal said...

Rayyan Ariff..
Seorang anak yang hebat,kuat,bijak dan sememangnya handsome..
Ibunya juga juga kuat...
Syabas....
peluk cium utk Ian..
Mmmmmuah..

A.I said...

kalau dia boleh telan jeli gamat pon ok gak jiey..

Intan and The Boys said...

tersentap hati ni bila tau Ian kena sawan. alhamdulillah, Ian tetap keletah seperti dulu. kita yang luka kecil pon gatai tangan dok tergaru2 kat situ, apa lagi dia kan jiey. kita doakan jahitan Ian sembuh cepat2.

ICAZIESYIRA said...

minyak gamat kan je jiey. insyaalah

Sue said...

kasihan Ian. Mmg seriau kalau anak kena sawan. Kita yang tak tentu arah. Alhamdulillah Ian da pulih dan harap Ian cepat sihat!!!

Yasmin Nabilah.. said...

aduhai sayang rayyan.. huhu..risaunya ibu tgk kamu.bahaya gak yek klu infection. takpelah jiey..keje nanti2 leh buat..yang penting Rayyan lekas2 sembuh..Cepat sembuh yek nak.. :)

Anonymous said...

"(Al-Quran) ini adalah penerangan bagi seluruh manusia, dan petunjuk serta pelajaran bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Ali 'Imran : 138)
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman."(Surah Ali 'Imran : 139)
Wallahu'alam....