Wednesday, March 31, 2010

Naluri yang ada menjadi jawapan!

Sering hati saya tertanya, untuk setiap anak istimewa, fahamkah mereka tentang ikatan yang terjalin antara satu manusia dengan manusia yang lain?
.
Contoh yang paling mudah, adakah Rayyan Ariff tahu bahawa saya ibunya? Adakah Rayyan Ariff tahu bahawa hubby adalah ayahnya? Bagaimana pula dengan mereka yang lain di dalam keluarga kami? Atuk, Nenek, Wan, Tok dan lain-lain.. Tahukah dia tentang hubungan kekeluargaan yang terjalin?

Ada rasa syahdu yang memenuhi ruang hati sewaktu entri ini ditaip. Saya tahu, "rasa" yang ada di antara kami adalah kuat. Kasih sayang yang memenuhi ruang rongga ini terpamer apabila kehadiran saya dalam hidupnya dan kehadiran dia di dalam hidup saya saling memenuhi dan melengkapkan.
.
Seringnya dia tercari-cari apabila saya tiada. Seringnya saya kerinduan apabila dia tidak di mata. Itulah cinta yang mengikat.
.
Namun ianya tidak cukup untuk menjawab persoalan yang bermain di dalam hati ini. Lalu saya hamburkan segalanya pada mommy..
.
"Tentulah dia tahu kamu ibunya. Dia juga punya naluri.. Sering dia dambakan kehadiranmu di dalam hidupnya.. Itukan sudah menjadi bukti.." Kata mommy memberi pandangan.

"Hmm.. Mungkin dia mahukan kehadiran saya senantiasa kerana dia sudah terbiasa. Kerana seringnya saya ada untuknya. Menghiasi ruang hidupnya sedari awal kelahirannya.. Kebiasaan menjadikan seseorang itu menyayangi.. Sebagaimana kasih seorang anak angkat kepada ibu angkatnya.. Walaupun darah yang mengalir tidak sama, namun kerana kasih yang tercurah, segalanya menjadi "rasa" yang sama." Saya membalas.. Masih dengan curiga di hati..
.
"Bukankah mommy pernah bercerita, kisah seorang anak istimewa berusia 4 tahun yang kelihatannya hanya berada di dalam dunianya sendiri sewaktu mommy ke majlis kenduri kahwin tempoh hari. Apabila emaknya menyerahkan anak kecil itu kepada neneknya minta dipegang kerana tiba giliran emaknya mahu menjamu selera, dia mengamuk dan marah-marah. Tahu sahaja dia itu bukan emaknya. Samalah juga dengan Rayyan Ariff.. Naluri antara anak dan ibu itu sukar ditafsir.. Rayyan Ariff kan bijak.." Kali ini jawapan mommy lebih panjang.
. Rayyan Ariff yang menangis sewaktu mama "meninggalkan" dia untuk sementara, sekadar untuk mengambil gambar sahaja sudah meraung! :P

Mungkin juga kata-kata mommy benar. Dan seandainya pada masa ini Rayyan Ariff masih belum dapat memahami ikatan antara seorang ibu dan anak sekalipun, saya yakin nalurinya punya 'rasa' yang kuat apabila bersama saya. Kerana pertalian yang ada, terjalin sedari dia masih janin lagi..
.
Anak ini yang saya bawa ke mana-mana sahaja untuk tempoh 30 minggu dan 2 hari. Setia di dalam rahim saya.. Sepanjang waktu itu, dialah yang berada paling hampir dengan hati saya. Mendengar setiap denyutan jantung saya yang berdegup.. Merasai setiap kesedihan dan kegembiraan yang ada di dalam hati saya saat itu. 30 minggu dan 2 hari..
.
Itulah istimewanya jalinan kasih antara ibu dan anak..

Tuesday, March 30, 2010

Batuk+Demam+Selsema+Sakit tekak=MC

Saya MC. Mulanya, mahu berlagak macho.. Tidak mahu MC dalam keadaan kerja yang banyak. Namun saya terpaksa akur dengan permintaan tubuh yang tidak lagi dapat bertahan. Keletihan sepanjang masa.. =(
.
Sudah beberapa hari saya tidak memeluk hero saya sehingga dia terlena. Takut berjangkit.. Kasihan Rayyan Ariff..
..
Setiap kali melihat foto ini, teringat sewaktu Rayyan Ariff masih di dalam kandungan. Posisi yang sama sewaktu ujian imbasan dilakukan.. Tulus.. =)

Sunday, March 28, 2010

Satu kisah masyarakat tentang kehidupan..


Semalam, mommy tiba dari Kota Bharu. Seperti kebiasaannya, rancaklah kami berbual hingga ke larut malam. Ada sahaja cerita yang mahu kami kongsi.. Ada sahaja perancangan yang telah kami buat.. Begitulah kami. Walaupun sudah sering bercerita melalui telefon, namun kami tidak pernah kekeringan modal untuk berbual.
.
Dan pagi tadi pula, mommy bertanya tentang penerimaan hubby tentang kehadiran Rayyan Ariff.. Penerimaan terhadap anak seistimewa Rayyan Ariff..
.
"Biasa-biasa sahaja. Nampak sayang benar dia pada Rayyan Ariff. Kalau mahu ke mana-mana, seringnya dia mahu membawa Rayyan Ariff bersama.." Jawapan saya kepada soalan yang mommy kemukakan.
.
"Itulah kan.. Nampak pun sayang dia pada Rayyan Ariff.." Balas mommy kemudiannya..
.
Sebetulnya, pertanyaan itu hadir kerana cerita yang saya kongsikan dengan mommy semalam. Kisah biasa.. Mungkin ianya hanya satu kisah terpencil dalam masyarakat kita, namun ianya tetap pernah berlaku..
.
Sewaktu saya mahu mula bercuti tanpa gaji tempoh hari, beberapa teman yang baru menyertai jabatan kami mula bertanya tentang sebab penyebab kerana saya memohon untuk cuti tersebut. Dan apabila saya bercerita, seorang teman saya menyatakan kekagumannya tentang kisah kami.
.
Saya sebenarnya tidak faham mengapa perlu ada rasa kagum, kerana pada saya, bukankah menjadi ibubapa adalah berkisar tentang memberi yang terbaik dan berkasih sayang..
.
Lalu teman itu menceritakan tentang satu kisah yang berlaku di kampungnya, yang terletak di sebelah utara semenanjung. Kisah bagaimana seorang anak syndrome down, ditinggalkan di bawah jagaan datuk dan neneknya di kampung kerana ibubapanya tidak dapat menerima hakikat kehadiran si anak yang dikatakan tidak memenuhi takrif kesempurnaan sebagai seorang manusia.
.
Wang untuk perbelanjaan si anak tidak pernah menjadi persoalan kerana anak itu tidak pernah kekurangan dari sudut itu. Namun dia hanya dapat berjumpa ibubapanya apabila tiba musim perayaan ataupun cuti umum. Kerana hanya tika itulah keluarganya akan pulang ke teratak datuk dan neneknya.
.
Kini, anak itu sudah memasuki usia 30an.. Sudah dewasa.. Dan dia masih menetap di teratak datuk dan neneknya walaupun kedua-duanya sudah lama tiada. Dengan pemergian datuk dan neneknya ke Rahmatullah, tiada lagi wajah ibubapanya di teratak yang ditinggalkan.
.
Yang ada kini, hanyalah adiknya yang rajin pulang untuk menjenguk si abang..
.
Itulah kisah yang diceritakan oleh teman saya itu. Sekali difikirkan, mungkin kita akan mengatakan perbuatan itu adalah sesuatu yang tidak dapat diterima dek akal dan fikiran seorang manusia bukan?
.
Namun saya tidak mahu menghukum. Kita tidak tahu apa yang mendorong ibubapa itu melakukan perkara sedemikian. Mungkin kerana, pada masa itu, tiada orang yang dapat menjaga anak itu apabila mereka keluar bekerja. Atau mungkin juga, pada masa itu, penerimaan ibu bapa terhadap anak istimewa adalah berlainan dengan sekarang. Wallahualam..
.
.
Mendengarkan kisah di atas, membuatkan saya benar-benar bersyukur dipertemukan dengan 'keluarga' baru kami ini. Kerana mereka, benar-benar menjadi lambang bahawa, satu kasih itu, tidak memerlukan sebarang kata untuk diutarakan.. Satu cinta itu tidak memerlukan sebarang syarat untuk diisi. Segalanya telah saling melengkapi..

Thursday, March 25, 2010

Elemen pembelajaran di dalam setiap sesuatu..

Sememangnya diterima umum bahawa anak kecil belajar melalui pemerhatian dan penerokaan yang mereka lakukan. Maka di sinilah banyak anak-anak istimewa yang ketinggalan. Kerana keterbatasan kebolehan fizikal mereka, membuatkan keinginan mereka untuk meneroka terbantut.

Inilah juga yang saya perhatikan daripada Rayyan Ariff. Seiring dengan mobiliti fizikal, peningkatan pada keupayaan minda juga berlaku. Namun kerana banyak waktu dia merasakan susah untuk dia bergerak kerana baginya ia memenatkan, Rayyan Ariff lebih memilih untuk berguling atau meniarap sahaja. Kalau disuruh creeping, bisinglah mulutnya. Walaupun dia mampu, namun seringnya, dia memilih untuk tidak mahu bekerja keras..

Lalu seboleh mungkin saya cuba menjadi kakinya dan tangannya.. Benda-benda yang kelihatan kecil pada pandangan orang lain, tetap menjadi ajaran buatnya..

Saya menunjukkan cara untuk menutup pintu kereta, saya mengajarnya cara untuk membuka dan menutup pintu almari, saya mengajarnya menghidupkan lampu dengan memetik suisnya, saya mengajarnya menukar saluran TV dengan menekan alat kawalan jauh, saya mengajarnya untuk menghidupkan penyaman udara dengan menekan alat kawalan jauh dan banyak lagi.

Mungkin ini kelihatan biasa. Namun sebenarnya dia sedang belajar fakta tentang cause and effect di sini. Apabila remote di tekan, channel TV bertukar. Apabila suis dipetik, lampu menyala. Dan begitulah seterusnya..

Semua ini tidaklah dilakukan melalui sesi khas. Semuanya secara tidak langsung, contohnya, jika saya ingin memandikan Rayyan Ariff, saya akan menyuruh tangan kecilnya untuk membuka pintu biliknya sewaktu dia masih di dokongan saya. Saya juga meminta dia menekan suis lampu, seterusnya membuka pintu almari untuk saya mengambil baju dan lampin pakai buangnya.

Secara tidak langsung, stimulasi pada otak berlaku dan proses pembelajaran pun berlaku. Namun banyak juga perkara yang ‘ditangkap’ sendiri oleh Rayyan Ariff. Contohnya, apabila kita mengambil tisu untuk mengelap mulutnya. The next time we were about to do it, dia sendiri yang akan mengambil tisu dari kotaknya dan diletakkan di mulutnya. Walaupun sekadar ‘diletakkan’, ia sebenarnya adalah peniruan ke atas aksi mengelap yang kita lakukan kepadanya.

Pernah hubby menjerit kegembiraan sewaktu kali pertama Rayyan Ariff membuka dan menutup pintu cabinet dapur ketika Rayyan Ariff berada di atas dukungannya. Namun saya hanya tersenyum. Kerana pada saya itu adalah biasa, apabila saya sendiri yang mengajarnya.

Namun apabila Rayyan Ariff membuka dan menutup pintu cabinet file di rumah sepupu saya tempoh hari , saya sangat teruja. Kerana dia sudah melihat ‘cabinet’ sebagai sesuatu yang boleh dibuka dan ditutup. Tidak hanya kabinet di rumah, tapi kabinet di tempat lain juga. Tidak terhad kepada sesuatu tempat sahaja. Inilah yang dinamakan konsistensi. Berjaya meneroka sesuatu perkara adalah bagus, namun apabila berjaya mengaitkan sesuatu perkara dengan perkara yang lain, itu lebih bagus bukan?

Melalui pemerhatian saya, Rayyan Ariff berkembang melalui pendedahan yang diberikan. Kerana itu dalam tempoh 6 bulan saya bercuti, dia berkembang pesat. Kerana saya sering mendedahkan dia dengan banyak perkara. Berbeza sewaktu dengan bibik atau dengan adik dan ibu saya.. Kerana mereka lebih kepada mengurus dan memanjakan sedangkan saya lebih banyak bermain dan mengajar *takkan nak expect bibik n nenek banyak main plak kan?*

Selain daripada itu, dari segi emosi juga lain impaknya apabila seseorang anak itu bersama ibunya. Rayyan Ariff sendiri senang untuk menghamburkan rasa sama ada ketidakpuasan hati ataupun kesedihan. Kalau dengan orang lain, tingkahnya lebih tersusun dan bersopan. Mungkin apabila kita perlu mengawal tingkah laku, perkembangan kita juga akan tersekat. Saya tidak pasti hal ini, namun itulah yang ditunjukkan oleh Rayyan Ariff.

Sejujurnya, saya tidaklah terlalu bersungguh-sungguh dalam semua perkara yang melibatkan pembangunan Rayyan Ariff. Tegas sememangnya ada, namun malas tetap juga berbaur.. Berikut adalah jadual yang saya jadikan sebagai panduan setiap hari. Selesai melakukan satu2 aktiviti, saya akan meletakkan tanda X pada kotak terbabit. Jarang sebenarnya saya mendapat tanda X pada semua kotak tersebut kerana masa yang terhad dan kerja yang tidak pernah berhabisan. .

Gambar tak jelas kan? This is the things-to-do-list:

Ian's daily schedule

1) Mandi + Titik ubat atuk (2x )
2) Minum air penawar & sapu kat belakang (1x)
3) Cranial tapping (2x)
4) Sapu ubat Atuk (malam) (1x)
5) Propriaception (6x)
6) Face massage (2x)
7) Wrapping (6x @ 20min)
8) Flash cards (4x @ 10min)
9) Physio (3x @ 15min)
10) Feeding by himself (2X)
11) Speeh i.e. play, sing and work (at least 4x)
12) Swimming (1x)
13) Teach how to get dress
14) Brush teeth
15) Head shaping
16) Milk (at least 8x)
17) Play with the mirror (1x)

Kalau diikutkan permintaan therapist , segalanya perlu dilakukan berulang-kali dengan jumlah yang bukan sedikit. Namun saya hanya mampu melakukan setakat yang terdaya sahajalah..

Nama pun anak kecil.. Punya mood tidak menentu, perlukan tidur yang cukup dan sebagainya.. Maka, seadanya sahajalah. Yang penting, kita terus berusaha.

Kalau dilihatkan pada jadual, saya melakukan keduanya, cara tradisional dan juga moden.. Bukan konservatif, tetapi sekadar mencuba selagi termampu.. :P

Bekalan ubat tradisional adalah dari atuk Rayyan Ariff sendiri. In fact, sedari dalam kandungan lagi abah memberikan saya beberapa ayat Al-Quran dan Zikrullah untuk diamalkan, terutama selepas mengetahui kondisi anak yang dikandung. Alhamdulillah, dengan izinNya, Rayyan Ariff masih di dalam rahmatNya sehingga kini. Jauh dari segala ramalan yang pernah di buat doktor. =)

Menjadi ibu kepada anak istimewa memang berlainan bukan? Namun saya gembira kerana saya dapat merasai pengalaman ini sendiri..

P/s - Bahasa pada jadual adalah berterabur, nama pun untuk rekod dan reminder kegunaan sendiri sahaja.. :P
=P

Tuesday, March 23, 2010

Seksi itu indah..

Rindu pada budak seksi ini?
.
.
.
.Seperti biasa, dia masih sibuk dengan penerokaannya.. =)
.
Rayyan Ariff gives the perfect definition of cuteness!
.
.
At least, pada saya dan ayahnya lah.. =)

Monday, March 22, 2010

Hati yang terpujuk..

Rayyan Ariff @ Speech therapy; 20.03.2010..
.
Look at his face, the cheekiness is obvious kan? Owh, he loves to make funny faces to the camera nowadays.. =)

Sekental mana pun hati seseorang manusia, tipulah kalau dikatakan tidak pernah terlepas keluhan di hatinya.. Saya juga sama, tidak terkecuali.

Nampakkah tali merah di belakang telinga Rayyan Ariff? Itu adalah paed clip yang dikepilkan pada bajunya sebagai pemegang hearing aid. Sejujurnya, sewaktu di awal makluman bahawa Rayyan Ariff memerlukan alat bantu pendengaran, saya tidak dapat menerima.

Malah, sewaktu berada di kelompok superkids yang lain sewaktu acara bermain bowling satu waktu dulu, hati saya pernah terdetik, "Betapa beruntungnya anak-anak ini kerana tidak memerlukan sebarang alat untuk menghiasi fizikal mereka, tidak seperti Rayyan Ariff.."

Ya, kerana apabila sesuatu itu adalah nyata berbeza, maka ianya akan mengundang banyak mata untuk memandang. Dan apabila mata sudah memandang, mulut juga akan mula bertanya. Bukan hanya malas, namun saya sebetulnya penat untuk menjawab "kenapa" dan "apa" yang terjadi..

Di sesi terapi pertuturan yang lalu, Ms Tey sekali lagi berkata, "He's smart ah.. For someone of his age with such condition, he's consider smart. Well, from our observation here, most of the children with hearing problem are smart.." Senyuman tidak pernah surut dari bibirnya..

Terpujukkah hati dengan kata-katanya itu? Jawapannya tidak. Kerana seboleh mungkin, saya masih mahukan yang terbaik untuk Rayyan Ariff..

Namun sebagai umat islam yang percaya pada jalan takdir yang Allah SWT, hati ini sudah terasuh untuk terus menerima. Tidak perlu sebarang ayat untuk melembutkan kerana pada saya, apa yang Allah SWT tetapkan, itulah yang terbaik.. =)
.
Kalau kita sering melihat kepada sesuatu yang lebih baik, pastinya tidak akan wujud rasa syukur di hati. Inilah yang saya lakukan untuk memujuk hati. Kalau dulu, kata doktor, Rayyan Ariff tidak bisa mendengar. Penilaian yang akan dilakukan apabila Rayyan Ariff semakin besar nanti, akan menentukan sama ada ianya bisa dibantu atau tidak.
.
Kalau kerosakan pendengaran ini adalah kerana ketiadaan sel otak, kita tidak mampu melakukan apa-apa. Namun jika ianya melibatkan telinga itu sendiri, mungkin ianya boleh dibantu dengan koklear implan. Dan saya menanti dengan penuh debaran.
.
Dan terima kasih tuhan, kerana Rayyan Ariff tidak memerlukan kokler implan. Aided hearing assesment menunjukkan bacaan adalah di dalam spektrum pertuturan and it has compensated the degree of the hearing losses.
.
Melihat segala yang dicapainya, seringnya saya mengucapkan rasa kesyukuran kepadaNya kerana diberikan kesihatan yang baik untuk Rayyan Ariff. Dan juga diberikan peluang untuk terus membangun dengan sebaiknya. Alhamdulillah..

Sunday, March 21, 2010

My Superkids' Club Member..

Sudah lama tidak singgah ke blog sendiri kerana kesuntukan waktu. Ok, alasan yang cliche.. Tapi itulah kenyataan.. =)

Semalam, kami sekeluarga berpeluang ke rumah Ina di Bukit Beruntung untuk upacara makan-makan yang sepatutnya diadakan di Tapah. Namun kerana ramai yang tidak dapat turut serta, maka rancangan asal pun bertukar. Majlis ini sebetulnya memberi ruang untuk kami berbincang tentang perancangan percutian ke Teluk Senangin pada 30 April nanti. Namun apalah daya, saya dan keluarga tidak dapat turut serta kerna hubby punya acara lain pada tarikh itu.

*Makcik tak heran! Check entry last year, makcik pun dah tulis, makcik dah agak yg there wont be any special things happening on our anniversary.. busy memanjang!*

Ralat juga saya kerna tidak dapat bergembira bersama dengan 6 keluarga yang lain. Hmmm.. Tengoklah nanti, kalau-kalau masih dapat dipujuk.. :P
.Menunggu untuk dijemput oleh bro Faizal..

Ina with Nabila, Ida with Aiman and me with Ian.. Lupa nak amik gambar ngan Ita.. =P

Pulang bersama car sticker for my superkids' club member.. =)

Walaupun tidak semua keluarga yang dapat hadir, namun malam kami tetap meriah dengan menu yang pelbagai dan juga dengan lawak babah Aiman yang tak pernah kering idea untuk menggamatkan suasana. Berbicara dengan Ina juga bagaikan melepaskan sedikit 'rasa' yang terbuku di hati.

Oh, semalam juga saya berperang dengan tuan kecik kerana dia bersungguh-sungguh menolak nasi. Yang menjadi pilihannya semalam ialah Sosej, satay, dan potato wedges. Berselera sungguh Rayyan Ariff menghabiskan makanannya dan dengan kuantiti yang bukan sedikit.. Fuhh selera mat saleh rupanya!

Pertemuan yang singkat, namun hati pulang dengan rasa gembira yang bukan kepalang.. Anak-anak, Mama Jiey bersyukur kerana kita semua dipertemukan.. =)

Wednesday, March 17, 2010

Pintu syurga saya yang bijaksana!

Pada sesi terapi pertuturan minggu sebelumnya, Ms Tey mengajar satu keadaan tindakbalas yang dinamakan conditioning kepada Rayyan Ariff. Dan untuk sesi pada hari sabtu yang lalu, dia kembali mengulangi proses itu.
.
"Wahhh good ahhh.. In one week he managed to do it already. Very fast he learnt ahhh.. If he continue to progress this way, I dont see the reason why we cannot achieve my goal of wanting him to talk in 6 months time.."
.
Okeh. Kali ini saya mengaku, it's not because of me. He did it by himself. I was too busy coming home late from work that I dont have enough time to spend with him, let alone to teach all of the thing that the therapist asked me to do.
.
But as usual, he never fail to amaze us with his ability..
.
Learning on how to use a straw..
.Playing with bubbles..
.
Semoga kamu terus-terusan dapat berkembang dengan baik nak.. Mama tahu kamu bijak! Good boy..
Maaf kerana mama tidak dapat bersamamu seperti selalunya.

Tuesday, March 16, 2010

Bagaimana kita melihat sesuatu yang ada..

Petang sabtu yang lalu, saya membawa Rayyan Ariff ke taman permainan. Tiada foto yang saya dapat ambil kerana bateri telefon bimbit saya yang sudah lemah. Kami tidak lama di sana kerana banyak masa dihabiskan di dalam perjalanan yang mana saya sibuk mencari taman yang mempunyai buai yang sesuai untuk bayi.

Saya memandu sehingga ke Taman Mawar mengikut arahan Sue, namun hampa kerana padang permainan mini yang ada juga tidak mempunyai buai sedemikian. Lalu saya terus sahaja ke taman permainan di Pandan Indan.

Hanya saya, bibik dan Rayyan Ariff sahaja kerana En.Hubby ke luar daerah. Terbit juga rasa cemburu di hati melihatkan anak-anak lain bersuka-ria dengan ayah mereka. Hmm hati, mengapa mesti terlalu mudah mengundang rasa negatif?

Itulah manusia.

Di taman itu juga, saya melihat seorang ibu bersama anak kembarnya berjalan-jalan di sekitar taman itu. Anak-anak itu sungguh aktif dan asyik memanjat ke sana-sini. Dan tanpa disangka, fikiran jahat menerjah ke minda.

"Sudahlah dua anaknya, dua-dua pun takde masalah!".. Kata-kata yang menerjah ke dasar hati itu terhenti di situ.

Mujur hanya sampai di situ. Kerana apabila saya kembali melabuhkan pandangan pada Rayyan Ariff yang erat memegang tangan saya sambil kakinya tidak henti mengatur langkah kecil, saya terus melafazkan lafaz Alhamdulillah tanda kesyukuran dan beristighfar tanda kekhilafan diri.

Saya terus-terusan dihambat rasa bersalah.

Suatu waktu dulu, saya benar-benar ingin membawa Rayyan Ariff berjalan-jalan di taman permainan.. Dan sekarang ini, dia sememangnya sudah mampu berjalan walaupun tangan saya masih perlu menuntunnya. Alhamdulillah, rahmat tuhan..

Dan seandainya diberikan kami beberapa bulan lagi, mungkin tatkala itu Rayyan Ariff saya juga sudah mampu berlari ke sana sini. InsyaAllah.

Kisah ini mengajar saya agar sentiasa ingat pada rahmatNya. Mengingatkan saya bahawa tidak perlulah memuja kecantikan bulan yang tinggi di awan hingga terlupa pada keindahan rumput yang dipijak.

Syukur kerana saya masih diberikan peluang olehNya untuk meneruskan muhasabah diri. Alhamdulillah..

Monday, March 15, 2010

Kejayaan Rayyan Ariff adalah kejayaan saya!

Merujuk kepada entri sebelum ini, mengapakah tiba-tiba sahaja datang rasa mahu menyambung pelajaran ke peringkat sarjana? Mungkin kerana itulah yang saya tanamkan di dalam diri setelah sekian lama.

Malahan, surat tawaran untuk mengikuti program sarjana dari Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang diterima pada tahun 2007 dahulu pun masih lagi tersimpan kemas. Ada waktu, timbul rasa kesal di hati kerana tidak menerima tawaran itu dengan alasan morning sickness yang teruk. Padahal, masih ramai lagi yang mempunyai masalah yang lebih teruk.

Namun ada juga rasa syukur di hati kerana tidak menerima tawaran itu. Sekiranya tatkala itu saya sedang mengikuti program sains kewangan di UM ataupun applied finance di UKM, bagaimana agaknya saya menghadapi segalanya? Dengan komplikasi pada bayi yang dikandung dan awal kehadiran Rayyan Ariff yang meletakkan saya di dalam situasi turun naik yang memerlukan kekuatan dari segi emosi dan fizikal, mungkin sahaja pelajaran saya akan hanya sampai ke separuh jalan sahaja.

Maka saya akur, jalan yang Allah SWT tetapkan itu adalah yang terbaik.

Namun suatu waktu nanti, saya pasti akan kembali menyambung pelajaran. Kerana ini cita-cita saya dan juga impian ibu saya. Lagipun apa salahnya berusaha untuk meningkatkan keupayaan diri.

Kenapa tiba-tiba sahaja isu ini kembali timbul?

Kerana beberapa hari yang lalu, saya terserempak dengan rakan saya di surau pejabat. Dia sedang mengepam susu sambil di tangannya memegang nota subjek perakaunan. Rupa-rupanya dia baru sahaja mula mengikuti program Sarjana Perakaunan.

Tabik untuknya. Bergelut dengan dua anak kecil yang cuma setahun beza usianya bukanlah sesuatu yang mudah. Tambahan pula, usia anak sulungnya adalah sebaya Rayyan Ariff. Anak keduanya pula, baru pulih dari pembedahan jantung yang dilakukan 7 bulan yang lalu setelah melalui detik2 cemas di awal kelahiran. Lebih ironi, teman saya itu hanya dibantu bibik di sini kerana dia dan suaminya hanyalah weekend husband&wife sedari awal perkahwinan sehinggalah sekarang.

Maka hati saya berkata, andainya dia mampu, pasti saya juga bisa kerana bebanan kerja kami sama sahaja walaupun berada di jabatan yang berlainan.

Setelah mengunjungi UiTM Shah Alam untuk taklimat Bijak Wang, makinlah hati saya meronta-ronta untuk menyambung pelajaran. Terasa hati ini tersangat rindu pada dunia kampus yang sudah 5 tahun saya tinggalkan apabila melihat wajah-wajah muda dan ceria pelajar-pelajar yang mendengar taklimat itu.

Dan kemuncaknya, apabila bebehari yang lalu, bekas teman serumah saya menelefon untuk bertanya pendapat dan meminta pertolongan tentang subjek Current Issues Management. Ahhh! Betapa saya rindukan semua itu.

Saya rindu pada weekly assigments yang perlu disiapkan untuk subjek itu. Saya rindu pada sesi perbentangan berkumpulan yang dilakukan di hadapan bilangan pelajar yang bukan sedikit. Saya rindu wajah senyum ibu saya tatkala saya memaklumkan kepadanya saya mendapat anugerah dekan. Saya rindu kata-kata ibu saya yang menenangkan apabila saya kecewa kerana hanya kekurangan sedikit sahaja point untuk mendapat pointer 4.00. Saya mahu merasai semua itu kembali.

Namun untuk dua atau tiga tahun ini, saya perlu akur dengan keperluan Rayyan Ariff. Kerana kejayaannya adalah kejayaan buat saya juga. Dia adalah matlamat saya kerana dia adalah amanah tuhan yang tak ternilai harganya.

Saya yakin dia mampu berjaya. InsyaAllah seandainya diberi bimbingan yang betul.

Berikan sudu bersama semangkuk bubur untuk anak seusia Rayyan Ariff, pastinya cepat sahaja mereka akan menghabiskannya. Tapi untuk Rayyan Ariff, arahannya lebih panjang.. Rayyan take-Rayyan scoop-Rayyan eat. Dan diakhiri dengan pujian dan kata dorongan.

Secara peribadinya, melihat kejayaan Rayyan Ariff melakukan sesuatu, pasti sama sahaja manisnya dengan menggenggam segulung ijazah. Sekurang-kurangnya, pada waktu ini. =)

InsyaAllah, saya akan kembali meneruskan apa yang saya inginkan suatu masa nanti. Moga pada masa hadapan, saya tidak akan pernah melupakan rasa ini.. =)

Saturday, March 13, 2010

Keinginan di hati..

Sehari dua ini, apa yang bermain di hati saya adalah keinginan untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana. Rasa itu bagaikan membuak-buak. Semangat yang berkobar-kobar itu membuatkan saya kembali melayari laman sesawang beberapa universiti tempatan yang menawarkan kursus sedemikian.

Namun mata saya hanya mampu memandang walau jiwa meronta mahu mengisi borang permohonan.

Ini bukan masa yang sesuai. Kalau seandainya segalanya cukup dari segi kewangan, mahu sahaja saya berhenti kerja untuk dua tahun, menyambung pelajaran dan pastinya memberi tumpuan kepada Rayyan Ariff dahulu. Apabila dia pandai membawa diri nanti, bolehlah saya kembali bekerja..

Inilah keinginan di hati saya. Namun keadaan tidak mengizinkan.

Kalau sahaja saya mahu menyambung pelajaran sekarang, masa bersama Rayyan Ariff pastinya akan menjadi korban. Sedangkan sekarang ini pun agak susah untuk saya meluangkan masa bersamanya, apa lagi andainya saya menyambung pelajaran kelak.

Semalam sahaja, saya tiba di rumah jam 1245 malam. Kerana ada acara untuk pelajar-pelajar UiTM yang mana agensi kami dijemput untuk memberikan ceramah. Di rumah, Rayyan Ariff menangis-nangis tidak mahu tidur kerana sudah terbiasa tidur bersama saya. Kasihan bukan.

Segala tentang saya, terpaksa saya pendamkan sahaja dulu buat masa ini. Meninggalkan Rayyan Ariff seharian untuk bekerja sahaja sudah membalut diri saya dengan rasa bersalah, apalagi kiranya saya masih mahu menyelit sesuatu yang lain pula di dalam sisa masa yang sedikit itu. Biarlah dahulu. Ini namanya pengorbanan.

Semalam, sewaktu dalam perjalanan ke UiTM Shah Alam, saya berbicara bersama adik saya yang kini mengambil alih tugas membawa Rayyan Ariff ke SDMC setelah saya mula bekerja.

"Kalau Yu ada duit, Yu bagi duit Yu pada Kak.. Biar Kak duduk rumah jaga Ian. Yu pun sebenarnya macam tak percaya dengan pencapaian Ian dalam masa 6 bulan ni. Rasa macam ajaib pun ada.."

Saya terharu dengan kata-katanya. Kerana tulus katanya begitu menyentuh hati.

Masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk peningkatan Rayyan Ariff, kerana itulah keinginan untuk terus berjuang untuknya sering hadir di dalam fikiran kami. Malahan, pagi ini juga Rayyan Ariff beberapa kali dipuji semasa sesi terapi pertuturan kerana dia cepat menangkap arahan yang diberikan.

Ian @ Speech therapy ~ SDMC, 13.3.2010

InsyaAllah saya akan terus cuba mencari lebih ruang untuk bersama Rayyan Ariff.

Itulah, apabila menjadi ibu, fokus juga perlu berubah. Anak menjadi prioriti dan kitalah yang perlu banyak membuat pengorbanan. Apalagi untuk anak seistimewa Rayyan Ariff.. Sayang kamu sampai mati wahai pintu syurga yang bijaksana!

P/s - Sekadar tertanya, being in his condition, if he really is a smart boy as claimed by his therapists, could it be because his name is Ariff?? Nama kan ibarat satu doa? =)

P/s (2) - Sape baca paper pasal anak CP (Cerebral Palsy @ Kelumpuhan otak) scored 1A in SPM and obtained B, C & D (without F) for the rest of the subjects? Nahhh kawan2, ini penyuntik semangat buat kita! And guess what, the mother who's working as a nurse took unpaid leave for 9 months to focus on the child.. Hebat kan? Moga kita juga sehebat ibu itu.. =)

Friday, March 12, 2010

Emosi mendak hancurkan hari jumaat saya!! *Dem*

~Emosi mendak adalah cilok dari label Jiji~

Serious!! I feel like kicking someone on his butt!!

Benci emosi mendak! Benci emosi mendakkkkk!! (Jiji, aku tatau pun menatang ape emosi mendak ni.. Tapi rasa cam best jer bila ulang2 sebut)
.
I'm working not because I want to work.. But because I have too!!
.
Aku tau la ulat dalam batu pun boleh makan, but I love the privilege of going to private hospitals, I love buying things for my little one (ingat all the things murah ke?), I love the fact that I dont have to depend on others for money.. And the most important part is, I love the part where I'm helping out my other half to pay for some of the bills!!
.
Bila aku kata aku nak carik sekolah untuk anak aku, aku bukan nak buang tanggungjawab aku terhadap anak aku. Aku cuma mahu yang lebih baik untuk dia!!
.
Seriously, are you kidding me??? If I'm discharging my responsibility, might as well I just abort him during my 22nd weeks of pregnancy!! Habis cerita!!
.
Takdak pun KernaKasihKita.
.
Emo. Bodoh. Emo.
.
Ok. Cool down.
.
Mungkin kamu tak bermaksud untuk menyakitkan kami. Mungkin kamu tidak tahu kisah kami. Mungkin kamu hanya ingin memberi nasihat. Mungkin kerana kamu rasa kamu berada di dalam bidang yang hebat, maka kamu memperlekehkan pengetahuan yang kami ada.
.
Apa hebatnya kamu kalau cuma satu perkataan pun perlu kamu google. Might as well kamu cuma jadi org keje badan berkanun macam saya. Tak perlulah kamu berada di dalam bidang kamu sekarang.
.
Cakap kamu macam bagus. Cakap kamu menyakitkan. *Damnnnn*
.
Hari ini, saya melahirkan rasa marah bagi pihak ibubapa untuk anak-anak istimewa kepada orang seperti kamu! Kerana orang seperti kamu hanya tahu menghukum!!
.
Kami keluar bekerja bukan kerana suka-suka. Tapi atas nama keselesaan. Kalau laki aku duit berkoyan, aku pun tak hengen tahan telinga kat boss!! **Dammnnnn lagiiii**
.
~@ Kalau ko bg aku RM100k, for sure aku sanggup dok umah sampai lebam! @~
.
Kalau kamu tahu.. Kalau kamu tahu apa yang telah dan sanggup kami buat untuk anak ini, kamu tidak akan cuba berlagak pandai!
.
So typical!! Buang tanggungjawab?? Apa kes?? Seriously, Rayyan Ariff is the best thing that ever happened to me!!
.
Ok. Emosi mendak sudah habis.
.
Astaghfirullahalazim..
.
Selamat hari jumaat!
.
P/s - Kak Reenaz, nk jadik housewife gak!! =(

Thursday, March 11, 2010

Saya benci rasa itu!! Rasa yang sering menghantui..

Semalam, saya tiba di rumah tatkala jarum jam sudah menjejak ke angka 10.15 malam. Satu hari yang panjang dan memenatkan.. Setibanya saya di rumah, Rayyan Ariff sedang berada di dalam walkernya.. Sibuk mengelilingi stand fan yang sedang berpusing..

Tatkala melihat sahaja wajah saya, Rayyan Ariff tersenyum manis dan berjalan ke arah saya.. Dia bersuara kegirangan sambil menghulur tangan mohon diangkat.. Saya hanya tersenyum sambil memberitahu bahawa saya perlu mandi terlebih dahulu..

Saya menuju ke bilik tidur dan sebaik sahaja pintu bilik tidur di buka, Rayyan Ariff meluncur laju dengan walkernya.. Saya Cuma tersenyum dan memaklumkan bahawa saya perlu mandi dahulu sebelum mengambilnya. Lantas saya menolak walkernya keluar dan menutup pintu.

Dari dalam, kedengaran hentaman berkali-kali pada pintu bilik. Saya tahu, itu adalah bunyi walker Rayyan Ariff yang ‘menyentuh’ pintu apabila dia cuba merempuh masuk. Setelah beberapa kali cubaannya gagal, suara tangisan syahdu memohon simpati mula kedengaran. Dan diikuti oleh suara bibik yang memujuk.

Usai mandi dan bersiap-siap, terus sahaja saya keluar dari bilik tidur dan mengambil Rayyan Ariff dari pangkuan bibik. Saya ke dapur untuk mengeluarkan ikan dan sayur-sayuran yang akan digunakan keesokannya harinya. Sudah menjadi kebiasaan saya untuk memotong dan menyediakan segala keperluan makanan Rayyan Ariff pada malam hari kerana paginya, saya hanya perlu terus memasak kerana bahan-bahannya sudah tersedia ada.

Rayyan Ariff yang masih di dalam dukungan saya pula sibuk merengek kerana mahu membuka dan menutup pintu peti sejuk. Setelah kemahuannya saya turuti, dia masih lagi merengek sambil menunjuk-nunjuk kepada tin susu Pediasure di atas cabinet dapur.

Oh, mahu susu rupanya. Selesai membuat susu, saya membawa Rayyan Ariff ke ruang hadapan dan memberikan tubuh kecil itu kepada ayahnya. Dan seterusnya, menghulurkan sebotol susu kepada Rayyan Ariff. Dia ketawa kecil sewaktu menyambut botol susu itu dari tangan saya. Comel.

Saya terus ke dapur dan menyiapkan dua keping roti untuk mengisi perut yang berbunyi sedari tadi dan kembali ke ruang hadapan. Melihatkan saya, Rayyan Ariff kembali meminta untuk diangkat. Sewaktu diribaan saya, dia menolak susunya ke tepi dan menarik tangan saya sambil meminta makanan yang berada di tangan saya.

Saya memberikan cebisan demi cebisan kecil roti kepadanya dan setelah kehabisan, dia beberapa kali melihat pada tapak tangan saya dan membelek-belek di bahagian belakang tangan juga. Mencari roti. Comel lagi.

Setelah itu, saya mula mencapai hearing aid untuk dipasang kepadanya. Belum pun sempat saya memasang alat itu, dia sudah menggaru-garu kepala tanda mengantuk. Lantas tubuh kecil itu saya angkat ke bilik tidur. Sewaktu di bilik tidur, dia merengek-rengek sambil menolak-nolak mulut saya. Saya faham, itu tandanya dia mahu dinyanyikan dengan lagu kesukaannya, namun tubuh yang terlalu penat dan mata yang sudah mengantuk membuatkan saya tidak mampu menunaikan permintaannya.

Lantas saya berikan sebotol susu lagi kepadanya dan entah bila, saya terlelap. Saya hanya sedar apabila sang suami memasuki bilik tidur dan saya lihat, Rayyan Ariff juga sudah berada di dalam lena yang dalam. Kasihan bukan??

Dan hari ini, dalam kekalutan kerana terbangun lewat, saya tidak sempat menyediakan bubur Rayyan Ariff. Bukan sahaja itu, campuran ubat dan vitamin-vitaminnya juga tidak sempat saya sediakan. Hanya meninggalkan pesanan kepada adik saya dan bibik sahaja.

Sungguh saya benci rasa ini. Rasa bersalah kerana tidak dapat meluangkan banyak masa dengannya. Terkadang, serasa ingin sahaja saya memulakan pencarian kerja baru yang tidak memerlukan saya mengorbankan sebegini banyak masa. Namun pastinya sukar apabila difikirkan dari segi perks n benefits yang ditawarkan oleh tempat kerja sekarang. Hmmm.. siapa sangka bekerja di agensi kerajaan akan menjadi serumit ini bukan? *sigh*

Selamanya mama mahu menjadi sebahagian daripada penyumbang kemajuan mu anak!

Selama saya bekerja di sini, selama itulah saya akan dihantui rasa bersalah kepada Rayyan Ariff. Yang paling saya takutkan adalah sekiranya perkembangan pesatnya akan terhenti atau pun menjadi perlahan kerana saya tidak mampu meluangkan banyak masa dengan cinta hati saya. Benci. =(

Monday, March 8, 2010

Masih berhadapan dengan obsesi yang sama!

Rayyan Ariff's obsession towards fan seems endless!! So, we took out one table fan from our old house which has not been used for quite some times.
.
To add some 'learning element' to it, this is what I did;
.Hehhehe.. Nasib baik bilah kipas ni cuma ada 3, kalau ada 5, mau mama letak A sampai Z! :P

Menjadi ibu punya keperluan selari dengan menjadi seorang yang kreatif! :P

Sunday, March 7, 2010

Rayyan Ariff yang istimewa dari kacamata saya..

Kali ini, saya menulis bukan dari kacamata seorang ibu.. Katakan sahaja saya sebagai pemerhati bebas yang mengagumi kehebatan ciptaanNya.

"He's good ahh.. He's doing pretty good and he's not even 2 years old yet right? Maybe because he's just hydrocephalic, nothing else right?." Tanya Miss Tey, speech therapist Rayyan Ariff.

"No. He's real diagnosis is Alobar Holoprosencephaly which led to hydrocephalus. when he was born, there were almost no brain tissues. It was very thin..." Dan saya membalas sambil terus bercerita serba sedikit tentang Rayyan Ariff di awal kehadirannya.

Tidak cukup dengan itu, saya tunjukkan imej CT Scan yang dilakukan sewaktu 3 hari usia Rayyan Ariff. Gambar yang senantiasa ada di dalam handphone saya.

"Hmm.. Almost no brain cells.. He also doesnt have some brain components. Amazing haa.." Ms Tey kembali membalas.

Yea betul, pada otaknya, absence of Septum Pellucidum. Agenesis of Corpus Callosum.

Kami terus bercerita sebelum sesi terapi pertuturan berakhir.

Peristiwa ini membuat saya berfikir dan ingin berkongsi. Saya bukanlah seorang doktor. Maka secara amnya, saya tidak pandai untuk berkongsi secara total kerana bimbang andai tersalah ayat atau perkataan sehingga cerita yang ingin disampaikan bagai tidak kena.

Hadirnya Rayyan Ariff di dalam hidup saya membuat saya banyak belajar. Banyak terma perubatan yang asing dan berbelit lidah untuk disebut mula menjadi mainan dibibir saya. Namun semakin banyak yang saya cuba pelajari, makin banyak yang saya tidak tahu. Makanya, saya memilih untuk tidak bercerita secara terbuka. Bimbang andai ada banyak fakta yang salah.

Sewaktu mula dimaklumkan bahawa prognosis bayi yang saya kandung adalah "poor", banyak soalan yang saya hamburkan kepada gynecologist saya. Cuba memahami, cuba mendengar walaupun kebanyakannya, bagaikan mendengar drama berbahasa sepanyol di radio. Segalanya asing.

"The prognosis of the baby is poor. Most probably he will not be able to make it. Even if he survive, most probbably, he'll be no less than a vegetable."

"The brain damages is too bad. But we will assess the baby once he's born. For a human to survive, we need the lower part of the brain, but for a human to be intelligent, we need to have the upper part of the brain because that's where the thinking, rationalizing and other things that relates to intelligence comes from."

Dan untuk pertama kalinya, saya kongsikan di sini imej CT Scan pertama Rayyan Ariff seawal usianya. Rayyan Ariff, maafkan mama seandainya kamu rasakan tindakan ini adalah untuk memalukan kamu. Sama sekali tidak! Kerana keajaiban yang ada pada kejadian kamu membuatkan mama rasa betapa mama perlu berkongsi. Agar semua tahu betapa istimewanya kamu. Teristimewa!
.
Bahagian berwarna putih adalah sel otak. Dan selebihnya, kosong..

Kerana keadaan Rayyan Ariff yang istimewa, dia dikatakan tidak dapat melihat, tidak dapat mendengar, akan punya masalah dari segi pergerakan dan paling besar, tidak dapat berfikir.

Ini kata-kata mereka berdasarkan penilaian awal mereka terhadap dirimu. Tapi lihatlah di mana kamu sekarang.. Besar sekali anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada kamu wahai anak.

Kalau ada yang melihat keadaan anak kecil ini dan meminta saya bersabar di atas dugaan Allah SWT, saya pula melihatnya dari sudut yang berbeza. Inilah kebesaran Allah SWT..

Dengan kurniaan yang sedikit ini, dia sudah menunjukkan tahap kepandaian yang tidak pernah sesiapa pun menjangka. Hanya dengan sedikit kurniaan. Sedangkan kita, punya segalanya yang diperlukan.

Bukankah itu menjadi bukti bahawa Rayyan Ariff adalah anak yang bijak? Pada saya, he's brilliant. Melakukan segala yang dilakukannya dengan keterbatasan yang bukan sedikit. Sungguh dia kuat!!

Saya tidak tahu ke mana masa akan membawa Rayyan Ariff pada masa hadapan. Terlalu jauh untuk meletakkan dia untuk menjadi seorang jurutera, eksekutif, mekanik jurujual atau operator pengeluaran sekalipun. Saya tidak meletakkan sebarang sasaran untuknya. Terokailah hidup seadanya Rayyan Ariff! Kerana untuk kamu tiba ke saat entri ini ditulis, sudah merupakan satu rahmat dan nikmat yang bukan sedikit untuk kami.. Alhamdulillah..

Ini bukan entri perasan bahawa anak saya bagus. Seperti yang saya katakan, saya melihat asal kejadian Rayyan Ariff sebagai keajaiban ciptaan Allah SWT. Entri ini adalah dari sudut seorang hamba yang melihat kebesaran Yang Maha Mencipta. Tidak lebih tidak kurang.

Developmentally delay.
Hydrocephalus.
Dorsal Cyst.
Seizures.
Athetosis.
Autism traits.
Hearing impairment.
Flat footed.
Over-Pronation of Feet.

Antara kekurangan dan kelainan yang ada pada Rayyan Ariff. Banyak kekurangan tapi tidak pernah kurang apabila mengira rahmatNya. Rayyan Ariff.

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan semesta alam sejajar dengan kekuasaanNya..

Selebihnya, andai nilaikanlah sendiri.

Thursday, March 4, 2010

Mencari masa yang sesuai untuk segalanya..

Saya kembali menjadi sebahagian dari warga kota yang sibuk membelah kedinginan pagi, menyusur kaki lima stesen LRT Masjid Jamek sebagai laluan ke pejabat.. Saya kembali meninggalkan anak di bawah jagaan orang lain kerana mengejar keselesaan hidup. Penat.

Memandu ke pejabat juga lebih kurang sama sahaja lelahnya. Kesesakan lalulintas di mana-mana. Kaki penat menekan pedal brek dan tangan lenguh menukar gear.

Tapi itulah rutin. Segalanya kembali menjadi rutin harian.

Setelah sekian lama bercuti, 'sambutan' dari teman-teman sepejabat adalah pelbagai. Namun yang paling tajam adalah soalan yang tidak berlapik, "Sudah pandai apa Rayyan? Sudah boleh buat apa Rayyan?"

"Alhamdulillah banyak perubahannya. He's on his way to walking.."

Ringkas. Tidak mahu mengulas panjang kerana saya kurang selesa. Lagipun, walau ada yang ikhlas bertanya, pasti juga ada yang punya maksud tersirat bukan. =)

Peningkatan yang ditunjukkan Rayyan Ariff tidak seharusnya menjadi ukuran keberkesanan cuti saya selama enam bulan. Alhamdulillah kerana sudah menjadi rezeki kami, Rayyan Ariff menunjukkan peningkatan yang bukan sedikit. Tapi seandainya dia tidak menunjukkan peningkatan sebegini rupa, bolehkah cuti 6 bulan saya dikategorikan sebagai membazir??

There's no such things. Meluangkan masa bersamanya adalah momen yang paling indah. Selebihnya, satu anugerah..


Kini, saya tidak punya kelebihan itu lagi. Masa untuk Rayyan Ariff hanyalah pada waktu malam yang singkat kerana dia sudah mengantuk dan badan saya sendiri pun sudah penat. Saya terpaksa bergelut dengan tempoh waktu yang tidak akan pernah cukup dalam masa sehari..

Saya juga mencari masa yang sesuai untuk menghadap blog namun hampa. FB juga sudah tidak dijenguk lagi. Apa yang anda tatap untuk hari-hari sebelum ini adalah scheduled entry. Terima kasih di atas comments dan cadangan yang diberi. Sangat-sangat saya hargai. InsyaAllah saya akan cuba mencari waktu yang kelapangan pada hujung minggu nanti untuk membalasnya.

Harus berhenti, Rayyan Ariff sudah memanggil-manggil. =)

Wednesday, March 3, 2010

Rayyan Ariff Aaaauuuuuu

Rasanya, salah satu perkara biasa yang mungkin menjadi pertanyaan doktor apabila si ibu membawa anaknya ke pemeriksaan bulanan ialah sama ada anak itu mengenal namanya sendiri ataupun tidak.

Alhamdulillah, Rayyan Ariff tahu bahawa nama ini miliknya. Dan dia memberi tindakbalas setiap kali namanya dipanggil. Bezanya, kalau anak lain pastinya menjawab dengan sebutan 'saya' ataupun 'ya', namun tidak untuk Rayyan Ariff. Dia biasanya menjawab dengan sebutan 'Aauuu' seperti di dalam rakaman ini.


Thanks to ayah yang mengajarnya "Rayyan Ariff, Aauuu.." Heh.

Rakaman ini dibuat pada bulan Disember tahun lalu. Dan ia pastinya bukan dengan penggunaan hearing aid. =)

Bunyi yang biasa, tidak kuat sama sekali. Namun dia memberikan tindakbalas. Jadi apa perlunya dia menggunakan hearing aid?

Di sinilah istimewanya Rayyan Ariff. Dengan kebolehan mendengar antara moderate to severe dan severe to profound, Rayyan Ariff masih boleh mendengar bunyi. Sebab itulah dia mampu bertepuk tangan apabila mendengar lagu kegemarannya. Sebab itulah dia mampu mengulangi apa yang kita sebutkan seperti di dalam entri INI. Sebutannya juga jelas.

Dan semalam, lagi best.. Sewaktu sesi fisioterapinya, Sarjit meminta Rayyan Ariff menolak badannya sendiri untuk bangun. "Up, Rayyan up!".. To our surprise, Rayyan repeated the word up.. Not exactly the same, but it sounds very similar to "UP", and with the same intonation. All without the help of the hearing aid!

Sebetulnya, Rayyan Ariff memerlukan hearing aid untuk membantu pertuturannya kelak. Kerana ada waktunya, apabila dia mendengar bunyi, ia tidak dapat diproses menjadi perkataan. Melainkan perkataan itu adalah perkataan yang biasa di dengarnya. This is what I've been told by the audiologist.

Susah juga apabila saya mahu menerangkan perkara ini pada bibik. Kerana katanya, kalau bisa mendengar, tidak perlulah membazir dengan membeli alat itu. Ada juga rasa ragu di hati saya, kerana beberapa hari ini, setelah saya tingkatkan penggunaan alat itu ke atas Rayyan Ariff, bagaikan sama sahaja tindakbalasnya. Tiada beza.

Tapi semalam, he reacted very differently. He rejected the hearing aid as if it was hurting his ears. Memang. Dari jauh sahaja saya sudah dapat mendengar bunyi dan yang terhasil dari alat itu. Cukup memeritkan. Saya jadi takut untuk memakaikannya pada Rayyan Ariff.

Hmm..Tunggu sahajalah 9 Mac untuk melakukan ujian pendengaran sekali lagi. Kali ini, aided pula. Tengoklah bagaimana jawapan audiologist nanti..

Mana-mana la.. Janji ini yang terbaik untuk kamu, Rayyan Ariff Aauuuuu.... :P

Tuesday, March 2, 2010

Salah satu usaha untuk meningkatkan daya keseimbangan badan..

Saya perlukan buaian untuk Rayyan Ariff. Untuk membantunya meningkatkan daya keseimbangan badan. Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam entry INI, En. Ian Ariff memang takut dengan buaian. Gayat mungkin.

Saya tahu, boleh sahaja di bawa ke taman. Tapi kalau mahu ke taman setiap petang susah juga. Kena adjust waktu tidur Rayyan Ariff. Sekarang ini, walau jam sudah menunjukkan waktu 5.30 petang, cuaca masih panas kerana matahari masih gagah menyinar. Bila tiba jam 6 petang, Rayyan Ariff sudah terlena. Dan saya memang tidak pernah sanggup mengejutkan dia dari lenanya. Lagi pula, kalau dikejutkan sekalipun, mood anak kecil ini pasti ke laut.. :P

Makanya, saya mahu mencari buaian seumpama ini:

Actually, this type of swing can be found at KLCC Park playground. Tapi takkanlah nak gi sana everyday.. Swing kat our place ni jenis yang sesuai untuk budak yang dah besar tu.. Takde tempat sandar..

Tapi yang saya cari, adalah yang tidak terlalu besar dan boleh diletakkan di dalam rumah. Adakah di antara kawan2 tahu di mana kami boleh mendapatkannya?
Kalau yang ini, for babies.. Takut rendah pula bila Ian nak naik.. Ian kan dah toddler.. So kalau bleh biar tinggi sket and less support for the upper body.. Biar Ian 'kerja' lebih.. :P

Pic source: Google Images.

Mana nak cari neh?? =(

Monday, March 1, 2010

Rindu senyumannya..Rindu rengekan manjanya..

Hari pertama bekerja setelah sekian lama..
Serius rindu!!
Setengah tahun berkepit dengan nyawa kecil ini, buat saya ketagih padanya!!


Waktu, cepatlah berlalu..
Kamu memisahkan seorang ibu dengan anaknya..
Saya tidak menyangka ianya akan menjadi seteruk ini.
=(

Apa yang sedang dia buat di rumah?
Bagaimana dia dengan sepanjang ketiadaan saya?

Honestly, I think he's doing better than me..
*Nak, jangan lupa mak nak.. *

P/s - Office sekarang ini adalah sangat strict. Penggunaan internet sedang dipantau. Tsk.. tsk.. tsk.. No more bloghoping.. Balik umah kang berebut lappie ngan Cik Su Ian.. =P