Showing posts with label Vision. Show all posts
Showing posts with label Vision. Show all posts

Wednesday, December 12, 2012

Dua jiwa yang melengkapkan cinta~

Sudah lama rasanya saya tidak bercerita tentang 'keadaan' dan 'pertumbuhan' anak-anak secara terperinci rasanya. Berbanding dahulu, segalanya tentang Rayyan Ariff menjadi topik utama hatta sebesar zarah sekali pun. Klise, tapi masa menjadi penyebab. Kalau saya bercerita tentang dia seperti dahulu, cerita tentang kehidupan harian jadi tercicir.. Maka saya terpaksa memilih dan bercerita secara sekali harung sahaja. Tiada titik fokus.
;-)

Rayyan Ariff, bagaimana dia? Alhamdulillah, sihat-sihat sahaja selain daripada diserang batuk yang agak berat. Lagi pun, sekarang ini kan cuti sekolah. Maka di rumah sahajalah dia.

Sudah lama saya tidak bercerita tentang kisah keajaiban, harapan dan kekecewaan di hati melibatkan dia bukan? Bukan tidak ada, bukan pula jiwa saya sudah kebal secara total dari segala pancaroba. Namun boleh saya katakan, hati sudah bisa seimbang kini. Pada satu saat hati bermuram durja mengenangkan Rayyan Ariff, saat yang sama, hati menari bahagia kerana adanya Rifa Aleesya. Pada ketika hati penat melayan kerenah Rifa Aleesya, hati bisa juga berdansa gembira kerana keletah Rayyan Ariff.

Kerna itu saya katakan, dua jiwa ini melengkapkan cinta di hati kami. Ya Allah, terima kasih di atas kurniaanMu ini. Terima kasih untuk Tuan Rayyan Ariff. Terima kasih untuk Puteri Rifa Aleesya.

Banyak juga permintaan temuramah yang saya terima untuk berkongsi kisah Rayyan Ariff di media massa dengan memegang nama keajaiban, juga sebagai pemangkin semangat untuk insan lain yang mungkin di dalam kasut yang sama seperti kami. Ialah, seorang anak yang lahirnya di dalam keadaan yang hampir tiada sel otak, yang dikatakan tidak akan panjang umur, yang dikatakan tidak dapat melihat, mendengar dan bergerak, sudah sampai sejauh ini atas usaha kami dengan keizinanNya.

Namun sehingga kini, saya masih tidak dapat menerima. Bukan sombong, bukan kedekut. Namun saya punya alasan saya yang tersendiri. Paling utama, saya punya target yang masih belum tercapai untuk anak itu. Saya mahu dua perkara untuk dia, berjalan sendiri tanpa bantuan dan bertutur dengan baik serta memahami setiap yang ada di sekelilingnya.

Terlalu besarkah impian saya? Wallahualam. Saya tahu, dunia melihat itu sebagai sesuatu yang mustahil. Namun saya akan terus memegang kalimah In Shaa Allah dan berusaha lebih keras untuknya. Saya tahu, seandainya saya terlalu berharap pada sesuatu yang sukar untuk dicapai, saya mendedahkan diri sendiri kepada kemungkinan untuk berdepan dengan kekecewaan. Namun hanya ini yang saya mampu dan ada. Harapan selembut impian.

Anak mama yang terror memanjat, pasti boleh berlari dengan gagah suatu masa nanti kan??.. ;-)

Kesukaran yang terhasil dari setiap satunya kekurangan Rayyan Ariff, seringnya menyulitkan semua pihak termasuk anak kecil itu sendiri. Namun saya hanya mampu mengingatkan diri bahawa perjalanan mengejar syurga Allah SWT walaupun berliku, pasti diberi ganjaran yang tak ternilai.

Untuk memberi jawapan kepada setiap persoalan tentang Rayyan Ariff adalah sukar. Kami hanya bisa meneka, selebihnya hanya Dia yang maha mengetahui. Kenapa tantrum Rayyan Ariff menjadi-jadi? Mungkin kerana jurang komunikasi yang mewujudkan rasa amarah dan ketidakpuasan di hatinya.

Kenapa Rayyan Ariff masih tidak bertutur sebaiknya? Mungkin kerana pendengarannya yang kurang. Kenapa Rayyan Ariff masih belum bisa berjalan sendiri walau sudah lama dia menapak? Hasil perbincangan saya dan Sarjit, therapistnya, mungkin kerana dia tidak merasa keperluan melakukan semua itu walaupun dia sudah mampu berdiri tanpa berpegang kepada sesuatu apa. Tiada inner drive untuk mencuba kata Occupational Therapist. Atau mungkin juga kerana penglihatannya yang terhad maka dia takut untuk melangkah. Banyak kemungkinan.

Kesempurnaan dan kecantikan pada wajahnya yang terselindung di sebalik kaca mata..

Saya tahu saya perlu lebih menekankan penggunaan cermin mata dan alat bantu pendengaran pada Rayyan Ariff, tapi ianya terlalu sukar. Pemberontakannya bukan sedikit. Hanya di sekolah sahaja dia memberikan kerjasama. Susah sebenarnya. Namun seperti seringnya, istilah mengalah tiada di dalam jiwa walau sesekali dan saya di dalam rangka usaha mencuba sesuatu yang baru buat Rayyan Ariff. Semoga semuanya berjalan lancar dan membuahkan hasil. Aminnnn..

Sejujurnya, saya tidak mahu terlalu fokus kepada kekurangan Rayyan Ariff lantas terlupa untuk melihat pencapaiannya yang lain. Seperti kata bibik, "Wahhh.. Baru 10 bulan tidak ketemu, udah bermacam-macam perkembangan Rayyan Ariff." Ya, bermacam yang tidak mampu saya terangkan melainkan mereka yang mengenalinya dan melihat sendiri. ;-)

Seterusnya, membesarkan Rifa Aleesya juga ada likunya yang tersendiri. Keletahnya terlalu tipikal dan menawan. Charming. Dia sememangnya diva kecil kami. Tatkala mulut comel itu memanggil ayah dan mama, bahagia tak terungkap.. Ke mana sahaja dia pergi, dia punya aura tersendiri yang menarik orang untuk menegurnya.

Pengarang jantung. Yang membawa bahagia.. ;-)

Namun mengimbangi kehendak dan pemberontakannya juga adalah mencabar. Sebelum adanya dia, saya tidak tahu bahawa anak kecil seusia 13 bulan boleh memberontak dengan hebat apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Sungguh saya tidak tahu bahawa anak sebesar itu sudah tahu menghempaskan badannya apabila kemahuannya tidak dituruti. Semalam, lebih menarik, dia memukul saya kerana tidak membenarkan dia bermain dengan telefon bimbit saya sesudah beberapa panggilan yang dibuatnya. Terlebih sudah. Well, you definitely deserves the silent treatment and the time-out that you got last night, my dear princess. Tiada istilah masih kecil.

Drama queen.. tadi tersenyum besar, tiba-tiba sahaja menangis apabila kehendaknya tidak dipenuhi. Diva kecil Mama dan Ayah.

Berbaur pancaroba dan kemanisan kan di dalam bergelar ibubapa?
;-)

Sering saya mengingatkan hati, agar melayan Rayyan Ariff seperti 'manusia' walau bagaimana sekalipun cabaran yang dia lontarkan kepada saya. Anak itu istimewa maka cabaran yang dia hadiahkan untuk kami juga istimewa. Anak syurga.

Sering juga saya mengingatkan minda, agar mendidik Rifa Aleesya sebaik mungkin. Sebagai anak tipikal, cabaran dan dugaannya lain dan ketakutan saya untuk dia juga lain. Semoga dia membesar menjadi insan yang solehah dan terus membahagiakan.

Semoga saya dan hubby dapat menjadi ibubapa terbaik buat kedua-dua anak ini dan mendidik mereka sebaiknya dan semampunya kami.
Amin.

Thursday, April 19, 2012

Kasih segunung intan..

Terlalu mengejar waktu sehinggakan tidak punya banyak ruang untuk kembali ke ruangan ini. Banyak perkara yang kami perolehi tentang Rayyan Ariff melalui 3 temujanji yang ditetapkan pada hari Selasa yang lalu. Setiap satunya membawa cerita yang tersendiri. Setiap satunya membawa harapan yang tersendiri.

Dalam setiap langkah yang kelihatan berat, kami cuma mampu memohon agar setiap ruang kekuatan dan limpahan rezekiNya sentiasa ada untuk anak yang cukup istimewa ini. Anak yang banyak mengajar kami tentang erti keinsafan dan kekuasaan Allah SWT.

Tentang penglihatan, secara keseluruhannya baik. Namun dia mungkin memerlukan kacamata dengan tahap penglihatan 6/18. Reasonable. Satu perkataan yang tercatat kemas pada laporan penilaian.

Hati lantas terpujuk, apalah sangat erti pemakaian kacamata andai mahu dibandingkan dengan nikmat sebuah penglihatan untuk seorang anak yang pernah dikatakan tidak dapat melihat ini. Redha datang lagi. Itulah kitaran kehidupan untuk kami apabila bercerita tentang Rayyan Ariff. Sering sahaja ada penemuan baru tentang dia dan sering itu jugalah hati belajar untuk menerima dengan ikhlas.

Matanya yang juling boleh dibaiki dengan membetulkan otot-otot tertentu. Namun ianya pembedahan kosmetik semata-mata dan tidak dapat membaiki cara dan tahap penglihatannya. Kerana otaknya hanya dapat mengarahkan satu mata sahaja untuk bekerja pada satu-satu masa.

Apabila mata kiri melihat, mata kanan pegun. Apabila mata kanan melihat, mata kiri pegun. Tiada istilah penglihatan binokular untuk anak ini. Tiada imej 3D yang dapat ditangkap matanya. Keadaan ini bukan satu ancaman untuk dia kerana matanya berfungsi dengan baik, cuma fungsinya bukan serentak. Imej yang tertangkap di otaknya tidak bertindih walaupun koordinasi kedua mata tidak selari. Itulah uniknya Rayyan Ariff. Istimewa dan unik..

Putus asa dan hanya menerima? InsyaAllah tidak. Kami akan cuba melatih mata dan otak Rayyan Ariff bagi membaiki penglihatannya. Semoga ada perkembangan yang baik menanti anak ini..

Kami juga menolak untuk melakukan pembedahan pada matanya. Kerana ianya bersifat kosmetik semata. Ian, mungkin suatu waktu kamu akan tidak berpuas hati dengan keputusan kami dan mempersoalkan kenapa tidak dibaiki mata kamu agar kamu boleh tampil lebih kacak.

Marahlah nak. Sesungguhnya, kamu sudah cukup tampan di mata kami. Comel di jiwa kami. Pada kami, kamu tidak perlukan sebarang pembedahan kosmetik untuk kelihatan menawan. Paling besar, kami tidak sanggup melihat kesakitanmu.. Sekiranya satu waktu nanti kamu memilih untuk melakukannya, let it be your call.. Fullstop.

Untuk sementara waktu, kita teruskan dengan stimulasi dan rangsangan yang sesuai. 

Anak comel kami. Sampai terangkat hidung taknak bagi glasses jatuh. Super comel!!

Kerna kasih yang menggunung tinggi, InsyaAllah kita akan terus bersama mengatur langkah. Hingga hujung nyawa. :-)