Banyak yang berlaku tentang pembantu rumah saya namun di atas dasar menganggap dia sebagai ahli keluarga, saya hanya berkongsi dengan sesetengah teman sahaja. Namun kali ini, hati terbuka untuk bercerita tentang pembantu rumah aka bibik setelah membaca coretan Mummy Nadime Alanna.
.
Tidak pernah saya bayangkan bahawa saya akan mengambil orang asing untuk tinggal bersama keluarga saya, apatah lagi menjaga anak yang masih bayi. Sewaktu saya masih mengandungkan Rayyan Ariff, kami telah berbincang dan mengkaji pilihan yang ada, lantas bersetuju untuk menghantar anak yang bakal lahir nanti ke rumah pengasuh yang juga merupakan jiran sebelah rumah kami.
.
Namun tuhan mempunyai perancangan yang berlainan untuk kami. Dengan keadaan Rayyan Ariff, kami terpaksa membuat rombakan ke atas keputusan yang telah diambil sebelum ini. Setelah dibenarkan keluar daripada NICU pada usia 45 hari, saya menyambung cuti dan memilih untuk menjaga Rayyan Ariff sendiri. Mencapai usianya 3 bulan, ibu saya pula dating dari kampung untuk mengambilalih tugas menjaga Rayyan Ariff sehinggalah ke usianya mencapai 4 bulan.
.
Untuk tempoh waktu itu, ibu saya hanya menjaga Rayyan Ariff pada waktu siang sahaja kerana setibanya saya di rumah, Rayyan Ariff akan berada bersama saya sepenuhnya. Saya cukup takut ibu saya tidak mendapat rehat yang secukupnya lantas saya memang tidak membenarkan dia ‘memegang’ Rayyan Ariff pada waktu malam.
.
Memasuki bulan Ramadhan, ibu saya punya kesukaran untuk terus menjaga Rayyan Ariff kerana memikirkan ayah di kampung yang pastinya susah untuk bersahur sendiri. Setelah berbincang, kami sepakat untuk membenarkan Rayyan Ariff dibawa pulang ke kampung agar ibu saya boleh terus menjaga Rayyan Ariff sepanjang bulan Ramadhan tersebut. Sungguh saya tidak percaya pada orang lain melainkan ibu saya yang sudah ‘terbiasa’ dengan Rayyan Ariff.
.
Saat itu, setiap minggu saya dan suami akan pulang ke kampung untuk menjenguk ‘jiwa’ kami di sana.
.
Setelah Aidil Fitri berlalu, kami membawa Rayyan Ariff pulang dan di atas permintaan ibu mertua, Rayyan Ariff kami titipkan di bawah jagaan beliau sementara kami ke tempat kerja. Berulang aliklah kami setiap hari dari rumah mertua di Rawang.
.
Genap 2 minggu di sana, ibu saya dating lagi ke rumah kami untuk menjaga Rayyan Ariff. Waktu itu, Rayyan Ariff sudah berusia 7 bulan. Setelah sebulan lebih di bawah jagaan ibu saya. Adik perempuan saya yang sedang bercuti sekolah pula datang bertugas untuk menjaga Rayyan Ariff selama sebulan. Menjelang usianya 9 bulan, kami mulai yakin untuk menghantar Rayyan Ariff ke rumah pengasuh.
.
Pengasuh yang sebelum ini yang sudah bersetuju untuk menjaga Rayyan Ariff sewaktu saya bertanya di saat usia kehamilan mencecah 5 bulan tidak dapat menjaga Rayyan Ariff kerana waktu itu, dia sudah punya 2 anak kecil dan bayi di bawah jagaannya. Lantas kami memulakan pencarian sekali lagi.
.
Pada mulanya, kami mendapat maklumat tentang seorang wanita yang sudah punya dua anak. Anak-anaknya sudah besar dan kerana bosan, dia teringin untuk menjaga bayi. Kerana kebosanan, anak India di depan rumahnya pun sanggup dijaga sekiranya diberi peluang. Kami kenal wanita ini. Atas dasar ‘kenal’, saya menghubungi wanita ini untuk bertanya sama ada dia sudi menjaga Rayyan Ariff atau pun tidak.
.
Pada mulanya, riaknya biasa sahaja. Sudi tanpa bersyarat. Namun setelah mengetahui Rayyan Ariff adalah anak istimewa, mulalah nadanya lari.. 2 atau 3 hari kemudiannya, dia mula bertanya tentang keadaaan Rayyan Ariff. Apa penjagaan istimewa yang dia perlu? Apa perhatian khusus yang dia perlu? Saya jawab tidak ada. Kerna menjaga Rayyan Ariff sama sahaja dengan menjaga anak-anak lain. Malahan, anak ini tidak pernah demam hinggalah dia menjejak ke usia 9 bulan!
.
Syarat daripada wanita itu mula bertambah. Katanya, harga tidak kurang daripada RM300 sebulan dan kami tidak boleh lewat mengambil Rayyan Ariff sekiranya tidak mahu dikenakan caj tambahan. Toiletteries juga perlu disediakan dan tidak boleh menggunakan barangan selain daripada jenama Johnson n Johnson. Dan beberapa perkara lagi.. Namun yang pasti, setiap kali pengakhiran SMSnya, pasti akan ada satu ayat berbunyi, “Saya hanya menolong kamu, taka de niat lain. Kalau kamu jumpa ada orang lain yang mahu menjaga anak kamu, pergilah kepada orang itu.”
.
Itulah ayatnya yang sering diulang-ulang. Pada saya, jelas sekali dia tidak mahu menjaga Rayyan Ariff bukan? Hati saya sedikit tercalar. Namun saya redha. Kalau orang tidak sudi, mengapa perlu diharapkan lagi.
.
Setelah itu, kami meletakkan Rayyan Ariff di rumah seorang makcik di taman berdekatan. Senyumannya bagai dipaksa setiap kali kami menghantar Rayyan Ariff. Setiap kali kami menjemput Rayyan Ariff bukan dia yang memberikan Rayyan Ariff kepada kami. Begitu juga setiap kali kami menghantar Rayyan Ariff, bukan dia yang menyambut anak kami. Sama ada suaminya atau pun anaknya. Dia sentiasa tidak ada, atau sibuk di dapur dan juga di bilik air.
.
Beberapa perkara lagi yang tidak perlu saya kongsikan di sini mendorong kami untuk tidak menghantar Rayyan Ariff ke sana. Agak kurang ajar kerana kami tidak memaklumkan kepadanya tentang keputusan kami. Terus membawa Rayyan Ariff pergi begitu sahaja tanpa sepatah kata. Mungkin kerana hati sedikit terguris. Walaupun hanya 2 minggu Rayyan Ariff di sana dan banyak waktu bukanlah seharian, saya tetap memberikan RM200 sebagai bayaran di atas perkhidmatannya.
.
Saat itu, kami sudah punya bibik. Di awal kehadiran bibik, segalanya cemerlang. Dari tugas menjaga Rayyan sehinggalah ke acara mengemas rumah. Baju kerja sudah siap bergosok untuk tempoh berbulan.. Hati siapa yang tidak senangkan?
.
Kini, sudah bertahun pembantu yang sama bersama kami. Ada pasang, ada surutnya. Jangan diminta dia memasak untuk kami kerna lauknya hanyalah ayam goreng dan kacang buncis goreng sahaja. Bekalan baju ke pejabat, hanya digosok apabila perlu. Setelah saya meminta dia menggosok banyak baju sekaligus agar senang saya membuat pilihan, barulah dia buat. Itu pun ada juga waktu yang mana dia tidak mengikut arahan saya.
.
Setiap bulan, dia akan bercuti selama dua hari untuk ke rumah suaminya yang dikahwini hujung tahun yang lalu tanpa pengetahuan kami. Katanya ke rumah kakak angkatnya dan hanya beberapa ketika yang lalu barulah dia mengaku. Itu belum di kira lagi dengan mahu naik gaji, mahu pulang ke Indonesia setiap tahun, sibuk menonton sinetron dan berbual di luar rumah bersama security guard. Belum lagi diceritakan perihal dia yang konon-kononnya hamil pada saat yang sama dengan kehamilan saya kali ini. Macam-macam hal kalau mahu diperincikan.
.
Namun sesuatu yang membuatkan saya terus mengambil dia bekerja adalah kerana kasihnya pada Rayyan Ariff. Dengan dia, Rayyan Ariff besar kepala. Dipukul dan dicubitnya bibik sesuka hati kerana wanita itu tidak pernah marah padanya. Setiap kali Rayyan Ariff jatuh sakit, dialah yang akan turut menangis bersama saya. Adakalanya, lebih emosi daripada saya!
.
Pada saya, biarlah kami yang menahan rasa selagi Rayyan Ariff dapat menumpang kasih sayang daripada orang asing sementara saya tiada di rumah. Tidak dapat saya nafikan, waktu paling gembira untuk dikenang adalah di saat saya bercuti tanpa gaji dan hanya ada saya, hubby dan Rayyan Ariff di rumah. Tenang dan membahagiakan. Namun apalah saya..
.
Hanya padaNya saya memohon agar Rayyan Ariff terus di dalam lingkungan rahmatNya tidak kira siapa yang menjadi penjaganya, di rumah atau di sekolah.. Aminnn
Di awal kedatangan bibik..
.
Dia membesar di tangan bibik..
.
Lihat pandangan kasih itu.. :-)