Friday, October 12, 2012

Sumpah, kesakitan itu menghibakan!!

Jumaat, 5 Oktober 2012, walau terpaksa bergelut dengan kerja pejabat yang memeningkan, fikiran sesekali terganggu memikirkan Rayyan Ariff. Cuba untuk keluar seawal mungkin, namun saya hanya berjaya keluar dari pejabat pada jam 730pm. Dengan hujan yang lebat mencurah sebelumnya, lalulintas di lembah Kelang pastinya sesak.. Jam 845 barulah saya tiba di rumah.

Pihak hospital sudah menelefon bertanya, adakah kami akan datang. Tentu sahaja. Cuma pastinya agak lewat sedikit. Setelah membersihkan diri dan bersiap, kami bergerak ke hospital.. 

SDMC @ Wad 453A.. 5 Oktober 2012

6 Oktober 2012

Sepanjang masa, Rayyan Ariff gembira sahaja. Mungkin kerana sudah tiada demam. Tambahan pula, Atuk turun dari Kota Bharu semata-mata untuk menemani cucu tersayang. Gembira bukan kepalanglah anak kecil ini. Bernyanyi dan bergelak ketawa sepanjang waktu... 

Budak yang berpuasa sedari malam. Ditolak ke dewan pembedahan pada jam 930am

Usai segalanya, Rayyan Ariff ditolak kembali ke wad. Masih mengantuk kesan daripada ubat bius yang diberikan.  

Lebih kurang jam 3pm, dia sudah bangun dan mula memberikan reaksi. Pertama kalinya dia memalingkan wajahnya kepada kami, inilah wajah yang kami terpaksa tatap..
.
Sumpah, melihat dirinya yang berlumuran darah dan bibirnya yang bengkak, adalah sangat menghibakan! Sangat2! Sekuat mungkin, saya menahan air mata ini dari jatuh.

Secara total, 8 batang gigi dicabut, beberapa ditampal dan seterusnya keseluruhan bahagian dalam mulut di cuci. Kita yang sudah tua ini pun, sakit yang amat walau hanya mencabut sebatang gigi, apalagi dengan jumlah yang terpaksa dia hadapi!

Petangnya, melihatkan Rayyan Ariff tidak menunjukkan kesan sampingan daripada sedatif dan prosedur yang dilakukan, kami dibenarkan pulang walau pada perancangannya Doktor mahukan kami di sana untuk satu malam lagi bagi tujuan pengawasan.

Di rumah, ianya lebih kepada proses pemulihan untuk Rayyan Ariff. Banyak tidur kesan dari sedatif. Apabila kesat bius semakin hilang, dia mula menangis kesakitan. Sekali lagi, saya menolak hiba di hati sejauh yang mungkin. Demi dia, demi anak. Hadap sahaja segalanya..

Setelah diberikan ubat penahan sakit, dia kelihatan lebih relaks walau sesekali akan memegang pipinya tanda sakit..

Masih tidak ceria..

Masa hanya dihabiskan dengan tidur dan berehat..

Mujur ada Atuk yang setia menenangkan tatkala dia menangis kesakitan.. Kuranglah manjanya bila Atuk ada. Lebih gagah

Malamnya Rayyan Ariff sudah melasak. Begitu juga keesokan harinya. Merangkak ke sana ke mari bagai tiada kesakitan. 

Kami hanya memberikan bubur lembut untuknya sepanjang tempoh itu. Ada sekali, dia minta untuk memakan pisang, sebaik suapan yang ketiga, dia mula menepis tangan ayahnya dan memegang pipinya. Sakit.

Tapi sesuatu yang pasti, tuhan sememangnya memberikan kekuatan yang luar biasa untuk anak-anak syurga ini.. Melihat dia yang mula bermain pada keesokan harinya, membuatkan kami bagai tidak percaya menyaksikannya..

Rayyan Ariff 10.10. 2012

Kalau ditanya hati dan minda, saya mahu biarlah kesakitan ini menjadi siri kesakitan yang terakhir untuknya. Namun apalah yang kami ada melainkan doa dan usaha. Sekiranya sekali atau berkali-kali lagi kami perlu menghadapi situasi sebegini, iaitu menyaksikan kesakitan si anak, satu yang saya pohon dariNya, semoga hati terus kuat dan tabah.

InsyaAllah. 

Thursday, October 11, 2012

3.0 series.

11 October 2012.
30 years of age.
3.0.
3 series.
Blessed with ups and downs.
Blessed with maturity and of course, stupidity..
Alhamdulillah..
Content no matter what.
:-)
Say Aaaaaa...!!!!

Wednesday, October 10, 2012

Tentang seribu satu kepenatan..

Penat jasmani, penat rohani..
Mungkin bukan saya seorang yang merasakan ini, namun tatkala ini, dunia pekerjaan begitu menekan. Kehidupan peribadi juga kelam kabut.

Apabila di dalam kesusahan, lafazkan sahaja:-
Innalillahiwainnailaihirojiun..
Ya Allah, aku redha..
Ya Allha, permudahkan urusan aku dan keluargaku dari segi penjagaan dan kesihatan.. Dari segi pekerjaan dalam kami mencari rezekiMu ya Allah..

Maaf kerana tidak kembali ke laman ini lebih awal.

Pertemuan dengan pakar kanak-kanak minggu lalu, membawa kepada penemuan baru.
Terlebih dahulu, Rayyan Ariff diberikan suntikan antibiotik kerana demamnya sudah lama berlanjutan. Setelah itu, sampel darah dan air kencing di ambil.
Sumpah, dia adalah antara makhluk tuhan yang paling kuat pernah saya jumpa.
Dicucuk, diambil darah, tidak menangis..
Ditampal, dilekatkan urine bag untuk mengambil sample air kencing juga tidak menangis.
Disuntik, diberi antibiotik, juga tidak menangis.
Badan tersentak tatkala jarum dicucuk, tanda terkejut.
Dahi berkerut tatkala jarum ditarik, tanda menahan sakit.
Tiada raungan, tiada air mata..

Anak kuat mama.
Anak syurga mama.

Dia. Rabu, 3.10.2012. Menunggu giliran untuk bertemu Dr. Sofiah
.
Recharging with a bottle of milk.. My big baby..

Pakar kanak-kanak mengatakan gusi Rayyan Ariff bengkak dan kemerahan. Seakannya terkena jangkitan kuman. Lantas kami dirujukkan kepada Dr. Mohd Noor, Oral and Maxillofacial Surgeon.

Petangnya, saya menerima panggilan telefon daripada klinik Dr. Sofiah, keputusan ujian darah dan air kencing adalah normal. Jadi pastinya ianya jangkitan kuman. Selain daripada suntikan antibiotik, Rayyan Ariff juga diberi antibiotik untuk diambil selama 3 hari.

Khamis, 4.10.2012. Khusyuk memerhati kanak-kanak di kerusi hadapan bermain dengan iPad. Pelipat tangan masih bertampal plaster kesan daripada prosedur pengambilan darah

Hasil pertemuan dengan Dr. Mohd Noor, dia mencadangkan untuk dilakukan prosedur ke atas Rayyan Ariff. Pastinya di bawah bius penuh aka GA sedation yang mana mereka akn mencuci bahagian mulut yang infected, mencabut mana-mana gigi yang rosak, menampal dan membaiki mana-mana gigi yang perlu.

Selesai proses pre-kemasukan ke wad untuk prosedur yang dijadualkan pada hari Sabtu, 6.10.2012, kami pulang ke rumah dan akan kembali ke hospital keesokan harinya untuk proses admission sebenar. Awal-awal lagi saya sudah menempah single room agar senang kami  berkampung. Kerana yang pasti, setiap kali Rayyan Ariff dimasukkan ke wad, Atuknya akan setia menemani. Susahlah mahu menunggu andai berkongsi bilik.

To be continued.

Monday, October 8, 2012

Terkesan dengan sebuah kehilangan~

Kekangan masa benar-benar menghalang saya untuk lebih kerap ke laman ini. Terlalu banyak yang berlaku sehingga hidup bagai berlari-lari, nafas bagai tercungap-cungap.

Andai sahaja ada wang berjuta, sudah pasti hari ini juga saya hantar notis berhenti kerja 24 jam. Duduk sahaja di rumah. Jaga, didik dan asuh anak sendiri. Penat pastinya penat, namun itu penat lelah yang membahagiakan.

Sukar benar kehidupan tatkala ini. Semoga Dia meringankan setiap yang payah dan memudahkan setiap yang susah. Aminnn..

Kenapa saya katakan terkesan dengan sebuah kehilangan? Kerna itulah realitinya. Sehingga ke saat ini, hati ini benar-benar terkesan dengan pemergian anakanda Aiman..

Kalau dulunya, apabila dikhabarkan bahawa anak-anak seperti Rayyan Ariff tidak panjang umurnya, sering saya bayangkan penyakit mereka itu yang akan memudaratkan mereka. Lantas apabila segalanya terkawal, saya tidak perlu gusar lagi.. Namun melihatkan anakanda Aiman dan beberapa kisah teman Rayyan Ariff yang sebelumnya, tahulah saya bahawa banyak yang menjadi penyebabnya. Bukan hanya tertakluk pada penyakit mereka semata. Lazimnya, keadaan kesihatan semasa yang menjadi penyebab.

Sewaktu Aiman di ICU, sempat saya kongsikan kegusaran saya tentang keadaan kesihatan Rayyan Ariff kepada Mama Aiman. Bercerita dan berkongsi.

Seperti yang pernah saya nyatakan di dalam entri-entri yang lalu, secara keseluruhannya, keadaan kesihatan Rayyan Ariff tidak begitu memuaskan sepanjang tahun ini. Turun naik. Ada waktunya baik-baik sahaja, pada waktu yang lain, terlalu sukar melihat kesakitannya yang bukan sedikit.

Yang terbaru, dari 21 September 2012 sehinggalah ke minggu lepas, Rayyan Ariff sekali lagi teruji dengan kesakitan.. Sekejap baik, sekejapan yang lain, suhunya mencanak sehingga badannya menggigil-gigil. Sawan juga mula hadir tatkala suhunya mencanak tinggi..
.
21.9.2012 : Anak kuat saya masih cuba bermain walaupun sudah tiada daya..

24.9.2012 : Tidur siang sehingga 2 kali sehari hanya bisa didapati apabila badannya tidak sihat sahaja..

27.9.2012 : Malam sebelumnya elok sahaja, keesokan harinya, sewaktu mahu ke sekolah, badan panas sehingga menggigil..

30.9.2012 : Adik yang setia menemani si Abang..

2.10.2012 : Masih Sakit..

Bila melihat tubuhnya yang kesakitan, hati seorang ibu bagaikan mahu pecah. Setiap kali melihat dia yang tidak berdaya, sering membuatkan kami memanjat doa kepadaNya agar dipinjamkan anak ini selama yang mungkin. Walau maklum anak ini hanyalah satu pinjaman, namun dialah cinta, dialah jiwa, dialah separuh nyawa kami. Betapa besar impak kehadirannya di dalam kehidupan kami.
.
Lantas keesokan harinya, terus sahaja kami bertemujanji dengan pakar kanak-kanak yang juga merangkap neurologist Rayyan Ariff.

To be continued.

Friday, October 5, 2012

Banyak perkara..

Banyak. Terlalu banyak.
Sehingga susah untuk dihadam minda dan jasad.
Hal di rumah banyak.
Hal di pejabat berlambak.

Petang karang, this handsome boy will be admitted.
Ok, later..
Bye.

Sunday, September 30, 2012

Belasungkawa buat putera dari syurga..

Kami memulakan hari Sabtu seperti biasa. Merangka jadual untuk satu aktiviti lazim. Sang suami akan membawa si anak bujang berterapi, manakala sang isteri di rumah bersama anak perempuan. Berada di rumah untuk upcara mengemas, mengemop, membasuh, menukar cadar, membasuh bilik air dan yang sewaktu dengannya. 
.
Namun satu panggilan telefon telah mengubah hari kami. Telah meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwa dan hati kami..
.
"Kak Jiey, tahu tak Aiman kat ICU? Dr kata harapan tipis.." Suara Zura yang tenggelam timbul di hujung talian benar-benar mengundang rasa yang pelbagai. 

Sebaik talian dimatikan, saya mula bercerita pada yang lain. Air mata mula menitis seiring dengan perkhabaran yang diucapkan. Saya tidak tahu mengapa, namun kali ini, air mata ini terlalu murah. 

Mungkin selepas Alanna Qish, saya tidak menyangka akan kehilangan seorang lagi anak syurga daripada keluarga superkids kami.. Sungguh. 

Terus kami bergegas ke wad ICU Hospital Serdang. Dari pagi, hanya setelah jam berada di angka 5 ptg barulah kami dapat menatap wajah anakanda Aiman. Aiman dimasukkan ke wad kerana kesukaran bernafas akibat lemas. Keadaannya sudah teruk sewaktu di bawa ke hospital..

Organ dalaman mulai berhenti berfungsi sedikit demi sedikit. Hati ayahbonda semakin dipagut kepiluan.. Tatkala saya menatap wajah syurga milik Aiman, saya mengerti apabila ibunya berkata dia tidak mahu Aiman terus menanggung kesakitan, namun tidak sanggup pula melepaskannya..

Di luar wad ICU, kami berpelukan sambil menangis, "Macamana Kak Jiey?" Suara serak menahan tangis itu masih terngiang-ngiang. 

"Akak faham bila Ida kata takmau Aiman sakit. Akak pun tak sanggup tengok dia macam tu. Tak mampu. Tapi untuk hilang dia pun tak sanggup. Pergi maksudnya tak ada. Tak ada di mana-mana. Tak boleh peluk. Tak boleh cium. Tak ada lagi.. Seperti kata Ayu.."

Subhanallah. Kesedihan dan kesakitan itu masih jelas tergambar. 

Pagi ini, Aiman atau Muhammad Amar Nazheef, kembali menemui penciptaNya. Pergi yang tidak akan kembali.. Innalillahhiwainnailaihirojiun..

Al-Fatihah buatmu wahai putera syurga. 

Pada sebuah pentas duniawi, banyak kekurangan pada jasadmu. Di usia 4 tahun, kamu masih belum mampu merangkak atau berjalan. Kamu masih belum bisa bercakap atau bermain seperti anak-anak lain. Namun kini, kamu dimuliakan dengan sebuah syurga tanpa sebarang kepayahan. Di sana, pastinya kamu sedang bergembira menikmati indahnya taman firdausi.. 

Berlarilah semahumu anakku, bermainlah seinginmu anakku.. Doakan untuk babah, mama dan adikmu semoga mereka akan dapat bersua denganmu di sana. Di syurgaNya..


Aiman dipangkuan Babah dan Mamanya..

Sering teringat di minda, satu ayat yang pernah diungkapkan oleh Babah Aiman, yang tidak dapat saya lafazkan tanpa titisan air mata dan sebak merajai hati, "Andai airmata seorang ayah mampu menghilangkan segala kesakitan seorang anak, pasti aku akan menangis, walaupun sehingga aku buta.."

Setiap kali mengulangi ayat ini, pasti rasa sebak memenuhi rongga jiwa. 

Kasih tak bersyarat. 
Agung. 
Kasih kerana Allah.