Wednesday, January 29, 2014

Tidak pernah tidak ada.

Dalam satu hari, tidak pernah tidak ada waktu yang aku tidak terkenangkan abah. Abah adalah kehilangan pertama yang aku rasakan bagi orang yang sangat rapat dengan aku. Tak pernah aku gambarkan sakitnya setinggi ini. Tidak pernah aku bayangkan angaunya sekuat ini.
 
Dalam satu hari, walau sesibuk mana, akan ada sedetik yang membawa ingatan aku padanya. Baunya. Suaranya. Pergerakannya. Apa sahaja tentang dia.
 
Inilah rindu.
 
Bezanya, aku sudah tidak serapuh dulu. Sudah tiada esakan tangis walau masih ada air mata yang bersisa. Ingatan yang mendalam, biasanya aku lampiaskan dengan doa dan kiriman buatnya. Selayaknya seorang anak. Sewaktu memandu, sewaktu mengemas, sewaktu bekerja, bila-bila masa sahaja walau sekadar Al-Fatihah.



Hidup kelihatan biasa. Bekerja, menghabiskan masa bersama keluarga, bercuti, beriadah, namun tempoh 24 jam 7 hari seminggu tidak pernah gagal mengundang Abah di ingatan.
 
Baru aku tahu, sakitnya sebuah kehilangan. Al-Fatihah Abah. Semoga syurga tanpa hisab milik Abah. Terima kasih di atas perlindungan, terima kasih di atas pendidikan, terima kasih di atas bimbingan.

Hilang sudah seorang pelindung keluarga. Namun pada aku, ada dirinya.
Al-Fatihah.

No comments: