Sunday, April 11, 2010

Hamburan air mata ibu..

Hujung minggu ini, untuk kesekian kalinya hubby bepergian lagi. Maka saya meminta jasa baik sahabat saya untuk menemani saya dan Rayyan Ariff. Bibik mahu cuti, adik perempuan saya pula kembali ke kampung untuk menghadiri temuduga. Agak risau kalau hanya saya dan Rayyan Ariff sahaja di rumah memandangkan Rayyan Ariff kelihatannya masih belum pulih sepenuhnya.
.
Pagi sabtu, kami sepatutnya ke SDMC untuk sesi terapi pertuturan Rayyan Ariff. Namun tidak sampai separuh jalan, kami berpatah balik kerana kepala saya yang teramat sakit. Menyesal juga kerana berkeras memandu, padahal seawal pagi lagi kepala ini terasa berat. Kerana sakit yang tidak tertanggung ini juga membuatkan saya hanya tidur sahaja. Mujurlah menjelang petang, sakit ini mula reda..
.
Kerana tidak sempat menyertai mini-gathering superkids di rumah Ina, kami terus sahaja ke Hospital Sungai Buloh untuk melawat Alanna Qish. Sungguh, sedari kali pertama saya melawatnya, wajah comel anak itu tidak pernah luntur dari kotak memori saya. Hati ini tidak tenang apabila mengingatkan dirinya. Maka saya mengambil keputusan ke sana lagi.
.
Berbekalkan buah tangan yang tidak seberapa untuk puteri tercinta, saya dan sahabat saya; Biey, bergerak ke wad yang menempatkan katil Alanna Qish. Rayyan Ariff ditinggalkan di kereta bersama bibik. Sampai sahaja di sana, hati gembira apabila melihat sebahagian daripada keluarga besar saya ada di sana. Ita, Ina, Kak Nonie, Ieyda dan disertai oleh Zuera yang datang kemudiannya.
.
Kami bertanya khabar. Berkongsi cerita dan berbicara. Mungkin Ayu, mummy Alanna Qish adalah ahli baru dalam keluarga besar kami, namun keserasian sudah terpupuk semenjak kali pertama bertemu. Banyak yang kami bincangkan sehingga riuh rendah wad dibuatnya.
.
Dan untuk seketika, kami berkongsi tangis.. Semuanya apabila Ayu mula berbicara tentang persahabatan. Dan saat yang paling saya tidak dapat menahan titis air mata apabila Ayu berbicara di dalam tangisnya..
.
"Anak yang di katil hadapan itu sudah lapan bulan usianya. Sebaya Alanna. Dia aktif. Asyik melompat-lompat. Bila Ayu tengok dia, baru Ayu terfikir, sudah besar rupanya Alanna. Kalau Alanna sihat, dia juga akan seperti anak itu. Bilalah Ayu akan mendapat peluang melihat Alanna melompat-lompat seperti itu?" Ratap hati sang ibu.
.
Tatkala mendengar ucapan itu, sungguh kami tewas! Kami tewas untuk membendung titis air mata. Kami tewas untuk menjadi kuat di hadapan Ayu dan Alanna Qish. Maaf Ayu, kami tewas kerana kami memahami rasa itu. Kerana kami pernah, dan masih punya rasa itu tersimpan jauh di sudut hati ini! Namun yang pasti, kemanisan menunggu itu pasti akan terasa apabila waktunya tiba nanti.. InsyaAllah, anak-anak kita adalah insan yang terpilih dan mereka punya semangat juang yang tinggi. Pasti boleh.
.Saat pertama kali Rayyan Ariff memanggil saya Mama, hati berbunga riang.. Saat pertama kali Rayyan Ariff mengatur langkah, hati berlagu cinta.. Kerana masanya tiba agak lewat berbanding anak-anak lain seusianya, kemanisan menunggu itu lebih bermakna!
.
Mujur ada Ita yang lebih kental jiwanya. "Ayu, jangan menangis depan Alanna. Ayu perlu kuat untuk Alanna. Pasti dia akan dapat merasai kesedihan ibunya." Kata-kata itu meredakan tangisan kami.
.
Paling terkesan di hati ini, apabila Ayu melepaskan rasa kekecewaannya. Dan saya akui, hanya di saat kesusahan sahajalah kita bisa menilai, siapa teman dan siapa lawan!
.
Itulah permainan dunia. Kerana itu, sepanjang perjalanan ke kereta, saya menggenggam erat tangan Biey sambil mulut ini tidak henti-henti mengucapkan rasa terima kasih dan kesyukuran yang tak terhingga di atas persahabatan yang terjalin ini!
.
Buat keluarga superkids juga, terima kasih di atas segalanya. Sakit satu di antara kita, adalah sakit kita semua..
.
Dan Kak Reenaz, it's very true.. enjoy your child no matter what!
.
Buat teman-teman yang bertanya siapa itu Alanna Qish, temui puteri hebat ini di SINI.

5 comments:

A.I said...

:(

sedey dgr cerita ayu ni..semoga dia tabah + kuat utk alanna

Intan and The Boys said...

Ya Allah jiey....sungguh bergenang2 air mata ni. tinggal tunggunak menitik je ha.

memang korang supermoms ni sangat2 tabah tau. kite betul2 kagum dengan ketabahan dan kekuatan emosi dan fizikal korang. teruskan berdoa dan percayalah, kami di sekeliling kamu sentiasa doakan kalian.
:)

semoga Ian cepat2 sembuh dan baby Alanna cepat2 sehat.

kak zue said...

perkara2 mcm nilah yg membuatkan akak tak boleh bekerja di paeds ward,,melihat mereka sihat mmg seronok..tp bila melihat mereka sakit...no words can describe it..
moga alana cepat sembuh.

kamalnzura said...

baca entry ni..aduhhh...menitik air mata...Allah uji utk insan2 yg hebat ini...

yatie chomeyl said...

speechless, tp ore nok jiey tahu yg i'll always pray for rayyan arif's health :0