Monday, April 12, 2010

Kirimkan jutaan doa buat Alanna Qish, puteri comel yang sedang berjuang!!

Awalnya, saya mahu mencoretkan catatan perkembangan terbaru Rayyan Ariff. Gelagatnya dan kenakalannya. Namun niat di hati bagaikan terhenti apabila mengenangkan di satu sudut, seorang ibu sedang gundah gulana memikirkan untung nasib puteri tercinta.
.
Petang tadi, asalnya saya mahu mengunjungi Alanna Qish lagi. Untuk melepaskan rindu dan menghilangkan gusar di hati. Perkara yang sama saya lakukan sewaktu Rayyan Ariff di NICU dulu. Mengunjunginya seberapa kerap untuk mendapatkan ketenteraman di jiwa. Dan kali ini, ketenangan itu saya perolehi apabila melihat wajah mulus Alanna Qish. Namun saya hanya merancang. Kaka, kereta kecil saya meminta untuk diservis setelah beberapa lama terabai. Maka segala niat di hati terbantut.
.
Sinar mata yang cukup membahagiakan!
.
Alanna Qish sudah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur. Tadi, saya berkesempatan berbicara dengan mummy Alanna Qish, Ayu.. Menurut Ayu, keadaan Alanna Qish tidak begitu stabil. Maka dia dipindahkan ke ICU. Hanya mummy dan daddy nya sahaja yang bisa mengunjungi tubuh kecil itu.
.
Yang menyedihkan, diagnosis penyakit Alanna Qish yang dibuat oleh doktor di HKL agak berbeza dengan pengesahan dari doktor di hospital sebelumnya. Satu diagnosis yang pernah kami bincangkan sebelum ini. Satu percanggahan yang pernah kami pertikaikan sebelum ini. Walaupun kami bukan doktor, sedayanya kami cuba belajar melalui pemerhatian ke atas anak-anak kami. Maka itulah kami mempertikaikan diagnosis doktor sebelum ini. Nahhh lihatlah sekarang, doktor di HKL sependapat dengan kami!
.
Hmm.. Yang lalu biarlah berlalu. Yang penting, usaha memulihkan Alanna Qish.
.
Doktor akan menghantar sampel kulit dan darah Alanna Qish untuk beberapa ujian. Perancangan awalnya, mungkin minggu hadapan. Namun segalanya berubah. Ujian akan dilakukan di dalam minggu ini juga kerana "takut tidak sempat".
.
Kata-kata ini benar-benar membuat hati saya hancur luluh. Apa lagi hati Ayu dan Syarul! Kali pertama saya mendengar ucapan bahawa anak yang saya kandung tidak akan panjang umurnya, jiwa saya pecah. Hati saya kelam. Walhal, saya belum pernah menatap sinar mata anak yang saya kandung itu. Saya masih belum mendengar hilai tawanya. Namun kasih sayang yang ada memenuhkan seisi kalbu dengan kesedihan dan keperitan walaupun saya belum mengenali Rayyan Ariff.. Inikan pula Ayu dan Syarul yang telah menatang Alanna Qish selama 8 bulan..
.
Masih terbayang-bayang di minda ini saat-saat di mana Syarul menenangkan puterinya di saat -saat Alanna Qish menangis kesakitan. Pilu.
.
Alanna, tiada apa yang Mama Jiey dapat lakukan untuk Alanna melainkan titipan doa buatmu sayang. Ya Allah, kurniakanlah keajaibanMu kepada anak ini Ya Allah.. Sebagaimana Engkau titipkan keajaibanMu sewaktu awal kelahiran Rayyan Ariff Ya Allah. Berikanlah nikmat yang sama kepada ibu dan ayah Alanna Qish ya Allah.. Sembuhkanlah anak ini Ya Allah..
.

Ya Allah, Maha Suci Zat yg menghilangkan segala kehinaan, Maha Suci Zat yg menghilangkan segala kedukaan, Maha Suci Zat yg memerintahkan, Wahai Zat yg menghilangkan dukacita, Wahai Zat yg tersembunyi segala kelembutan-MU Wahai Zat yg menjadikan lautan dan mata air, wahai zat yg telah menjadikan khazanah antara huruf 'kaf' dan 'nun' dan yg mengetahui sesuatu yang ada dari sebelumnya hilangkanlah kami dari kesusahan dan dukacita ..

.
Teman-teman, pastinya ramai yang telah sampai ke blog "Doa Buat Alanna", di sini, saya memohon jasa baik semua, titipkanlah doa kalian buat Alanna Qish Bt. Syarulniza.. Semoga jodoh kita dan anak ini kekal berpanjangan.. Aminnn..
.
Dan maaf andai permintaan ini dikira agak keterlaluan, seandainya teman-teman sudi, mungkin boleh melakukan solat hajat buat Alanna Qish. InsyaAllah, kami ibubapanya tidak akan henti-henti mengutuskan doa buatnya.. Namun sekiranya teman-teman juga berbuat perkara yang sama, tentu lebih bagus kan? Lebih ramai.

6 comments:

Jiji said...

Insyallah Jiey.

... kadang kan Jiey, aku tak tahu perkataan apa yg sesuai nak luahkan rasa hati aku ni...

A.I said...

:( Allahuakhbar...

Semoga Allah permudahkan segala urusannya. Ya Allah, kau ringankan la sakit anak ini. Kau sembuhkan la dia Ya Allah...

Intan and The Boys said...

InsyaAllah kite akakn lakukan apa yang terdaya.
berdoa, berdoa dan berdoa. serta solat hajat.

buat mama dan papa alanna, sesungguhnya kalian sangat tabah.

Pnut said...

Ya Allah, Maha Suci Zat yg menghilangkan segala kehinaan, Maha Suci Zat yg menghilangkan segala kedukaan, Maha Suci Zat yg memerintahkan, Wahai Zat yg menghilangkan dukacita, Wahai Zat yg tersembunyi segala kelembutan-MU Wahai Zat yg menjadikan lautan dan mata air, wahai zat yg telah menjadikan khazanah antara huruf 'kaf' dan 'nun' dan yg mengetahui sesuatu yang ada dari sebelumnya hilangkanlah kami dari kesusahan dan dukacita ..

aminnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnnn..
speechless

Being Me! said...

Salam dear

Only few days ago, I hv read pasal Alanna and her family, bagaimana they 'berjuang' untuk anak kecil ini. I disini cuma mampu berdoa dan berharap agar kedua ibubapanya diberikan kesabaran dan semangat yang kuat untuk menempuhi apa jua rintangan dan dugaan, dan Alanna akan pulih dan dipanjangkan umurnya, InsyaAllah.

Be with her mother if you can, when I lost my son, kehadiran rakan-rakan memang banyak membantu dalam mengharungi saat-saat kesedihan. At least there is shoulder to cry on.

InsyaAllah.

CT Umaimah said...

Baby Alanna seusia dengan anak saya.
Ya Allah ya Tuhanku, berikanlah kesembuhan untuk Baby Alanna.

P/s Jiey, sebagai seorang ibu, permintaan anda tidaklah dianggap keterlaluan