Friday, September 3, 2010

Rasa takut pada anak istimewa dan rezeki untuk setiap anak itu pasti..

Kebelakangan ini, jadual kehidupan senantiasa penuh dan sibuk. Mungkin kerana bakal bercuti panjang bermula esok dan menguruskan beberapa keperluan lain sekaligus. Hari ini, perlu ke Sepang untuk menghantar bibik yang akan pulang beraya di Indonesia.
.
Niat di hati mahu membalas satu persatu komen di entri semalam namun kekangan masa menghalang. Semalam kami terpaksa ke Kedutaan Indonesia kerana beberapa urusan yang perlu diselesaikan sebelum kepulangan bibik. Belum lagi dikira dengan proses penukaran wang dan sebagainya. Syukurlah segalanya selesai. Harapnya tiadalah apa-apa kekecohan yang timbul di kemudian hari.
.
Berbalik kepada tajuk entri, salah satu komen yang saya terima semalam adalah ini:
.
"hmm..mgkin kerana rayyan ariff begitu, sampai macam tu sekali penerimaan jiey terhadap 'penerimaan' org lain..anak2 sy keduanya normal..tetapi mereka mmg sekali sekala menerima ole2 atau 'note' daripada org lain samada tak dikenali atau baru dikenali..anak2 kita ni ada daya penariknya..anak2 kita ni tak semestinya istimewa kerana kebijakan, kepintaran, kecantikan tetatpi juga apa2 kekurangan fizikal dan dalaman nya..mereka masing2 ada keistimewaan tersendiri..samada disedari oleh ibu bapa atau org lain.."
.
Betul. Tepat sekali. Setiap anak punya keistimewaan yang tersendiri. Sama ada anak-anak istimewa ataupun anak-anak tipikal. Kalau begitu, kenapa saya begitu terkesan dengan penerimaan yang diberikan kepada Rayyan Ariff?? Kerna 'perjalanan jauh' yang kami terima untuk sampai ke tempat kami sekarang..
.
Tahukah semua, diwaktu awal kepulangan Rayyan Ariff ke rumah selepas kelahiran dan berada di NICU selama 45 hari, tidak semua yang 'berani' memegang Rayyan Ariff. Katanya, takut Rayyan Ariff sakit. Sehinggakan dengan Mak Longnya sendiri pun saya yang terpaksa memujuk, "Takpe, ribalah.. Dia tak sakit.. Jiey pegang dia pun macam pegang bayi-bayi lain.."
.
Ini hanya satu contoh. Banyak lagi kejadian lain yang berlaku namun tidak perlulah saya nyatakan di sini. Rasa saya, kalau ditanya pada rata-rata ibu anak-anak istimewa yang lain (bukan semua), pasti mereka juga pernah mengalami insiden di mana anak-anak istimewa ini takut untuk dipegang.. Itu tidak termasuk dengan mata-mata liar yang memandang.
.
Kecil tidak bererti sakit..
.
Bagaimana pula dengan kata hina caci yang pernah saya terima daripada manusia-manusia yang bijak pandai dalam membuat kesimpulan berkenaan dengan kelahiran Rayyan Ariff?
.
"Ko ni mesti ada dosa ngan mak bapak ko ni.. Tu yang ko dapat anak macam tu. Ko tak pernah mintak maaf ke?" Tanya tukang urut yang mengurut saya di dalam pantang suatu waktu dahulu.
"Abang tengok awak ni lembut jer.. Kalau bukan awak, mesti ada sesiapa dalam keluarga awak yang buat dosa. Tok nenek budak ni ke.. Tu yang tuhan balas tu.." Ujar salah seorang rakan di tempat kerja saya.
.
Sekali lagi, kejadian di atas hanya contoh. Banyak lagi yang pernah saya terima namun hati dan telinga ini sudah belajar untuk menjadi kebal dari kata-kata sebegini.
.

Kelahiran yang suci..

.
Setiap manusia tidak dilahirkan untuk menanggung dosa orang lain. Dan setiap kelahiran itu ada hikmahnya tersendiri. Saya tidak melihat diri ini diuji kerana saya yakin Allah SWT melihat 'sesuatu' pada kami makanya dia memberikan kami merasai nikmat memiliki anak seistimewa Rayyan Ariff untuk diasuh dan berkongsi kasih.
.
Seperti kata MommyLina, saya tidak sesekali akan mendoakan orang yang berkata-kata itu mengalami perkara yang sama kerna jelas sekali, dia tidak layak!
.
Disebabkan kejadian-kejadian seperti inilah saya sangat menghargai sebarang bentuk 'penerimaan yang diberikan kepada Rayyan Ariff.. Di kawasan kediaman kami juga Rayyan Ariff agak 'dikenali'.. Ialah, sesiapa pun akan menoleh dua kali apabila melihat seorang anak kecil yang mempunyai bentuk kepala yang unik dengan kesan parut yang jelas kelihatan di situ. Namun kami 'jarang' menerima pandangan 'sesuatu' dari mereka kerana kebanyakannya akan tersenyum dengan gelagat Rayyan Ariff.. =)
.
Berbalik kepada cerita tentang rezeki. Beberapa hari ini, mungkin secara kebetulan, saya menerima beberapa komen tentang perbelanjaan memiliki anak istimewa. Dan di antaranya ialah:-
"Nasib baik jadi kat Jiey, dua-dua kerja.. Kalau jadi kat Kak Maz, taktau la macam mana.. Mana nak cari duit nak buat semua yang Jiey buat untuk Rayyan.."
.
Percayalah, suatu waktu dahulu pun saya pernah terfikir perkara yang sama. Gusar seandainya dikurniakan anak istimewa dan tidak mampu untuk mengeluarkan belanja menguruskannya sebagai mana yang sering terpapar di kaca TV dan di dada akhbar.
.
Dan takdir tuhan, Dia menghantar Rayyan Ariff kepada kami untuk membuktikan bahawa rezeki untuk setiap anak itu pasti.. Di awal kelahiran, seperti lazimnya pada anak-anak lain, ramai yang memberi wang untuk Rayyan Ariff dan jumlahnya ialah RM3500. Satu nilai yang besar kerana kami bukanlah datang dari keluarga yang kaya-raya.
.
Kali pertama menyambut raya, jumlah duit raya yang dikutip oleh Rayyan Ariff adalah RM2700. Kalau saya dahulu, jumlah yang tertinggi pernah saya kutip pun hanyalah RM300! Itupun sudah senyum sampai ke telinga.. Banyak lagi rezeki yang tidak terjangka lain yang kami terima dengan kehadiran Rayyan Ariff contohnya, pembelian rumah yang RM40-50K lebih murah dari harga pasaran..
.
Itulah yang dinamakan rezeki..
.
Walaupun jumlah perbelanjaan ke atas Rayyan Ariff seperti terapi pertuturan, ujian ke atas alat bantu pendengaran, alat-alat stimulasi dan sebagainya bukanlah sedikit, namun seringnya saya yakin bahawa Dia lebih mengetahui dan maha memberi..
.
Janji tuhan itu pasti.. Bukankah begitu?? =)

12 comments:

puterikurekure said...

setiap yang jatuh, pasti akan bangkit. yup. kita juga berfikiran begitu. andai kata suatu hari nanti punya anak istimewa, adakah mampu diri ini untuk menampung segala perbelanjaannya? sedangkan bersama anak normal pon belanja dah banyak.

tapi itulah. rezeki tetap rezeki. rezeki anak kata orang. sebelum dapat khalish, kami laki bini slalu terkira2 bajet yang suatu hari nanti mungkin singkat. dan sekarang siapa boleh agak dengan kehadirannya, perbelanjaan kami masih cukup. ajaib bukan?

aida said...

silent reader u ni tiap2 hr mengikuti blog u jiey tp kekangan masa buat sy jarang komen..

Bangga seorang ibu spt u dpt berikan yg hbs baik keperluan dan penjagaan yg sempurna kt Rayyan..

Doakan keselamatan dan kebahgiaan u dunia dan akhirat..amin..untie syg Rayyan k..

h4ni3 said...

betul jiey.. janji Allah itu pasti
rezeki, jodoh, pertemuan, ajal n maut, bukan di tangan manusia =)

Anonymous said...

Kisah Sahabat Rasulullah S.A.W...

Khabab bin Al-Arat r.a adalah seorang sahabat yang melalui pelbagai ujian dan penderitaan apabila memilih Islam sebagai agamanya.Beliau yang merupakan seorang hamba sahaya kepada seorang wanita telah dihukum oleh tuannya dengan batang besi panas ditusukkan ke kepala Khabab bin Al-Arat r.a akibat daripada sering bertemu dengan Rasulullah S.A.W.

Pada masa Khalifah Umar bin Khaththab r.a , Umar r.a meminta Khabab bin Al-Arat r.a menceritakan kembali penderitaannya dahulu pada awal Islam. Khabab bin Al-Arat r.a berkata, “Lihatlah punggungku ini. Aku diseret diatas timbunan bara api yang menyala sehingga lemak dan darah yang mengalir dari punggung ku memadamkan apinya.“

Setelah Islam berjaya dan pintu pintu kemenangan telah banyak diraih, Khabab bin Al-Arat r.a menangis, “ Jangan jangan Allah telah membalas penderitaan kita. Aku khuatir balasan ini hanya di dunia.“

~Beliau adalah sahabat yang pertama kali dikuburkan di Kuffah. Setelah wafatnya, Ali .r.a . pernah melewati kuburnya dan berkata, “Semoga Allah merahmati Khabab. Dengan semangatnya, dia telah memeluk Islam dan dia rela menghabiskan waktunya untuk hijrah, jihad, dan menerima segala penderitaan serta musibah. Penuh berkahlah orang yang selalu mengingat hari kiamat dan selalu bersiap siap menerima kitab amalnya pada hari hisab, dan dia menjalani kehidupan ini dengan menerima apa adanya, dan dia membuat Allah redha padanya.”

Wallahu'alam...

e.l.i.s.s.m.i.e said...

setuju jiey, rezeki untuk anak-anak memang ada..bersedialah untuk menambah anak..hehehehe

zurazari said...

betol tu jiey... setiap anak adalah anugerah... mmg kalo boley d elakkan sumer ibu2 kat luar tu mohon d elakkan dari memiliki anak istimewa... tp kuasa ALLAH saper yg dapat melawan?? tentu ader hikmah d sebaliknyer... since sy follow kisah ian, byk bg keinsafan pader diri.. tak di nafikan sy terlalu di duger lately nie, with peperangan wif FIL, tp biler sy bacer pasal ian, hati sayer kembali tenang dan insaf... dugaan sy tak sebesar dugaan awak... hopefully ALLAH beri kekuatan pader awak=))

Azma said...

betul kata jiey mien tu.. mmg terbayangkan betapa byk yg diperlukan untuk membesarkan anak istimewa ini. Hasrat supaya dia dpt membesar dgn sebaik mungkin menuntut semua itu. Namun bila tiba saatnya, Dia permudahkan segalanya. Syukur..mmg benar setiap apa yg Dia berikan adalah 'hadiah' buat kita bukannya satu bebanan..

mamasoffy said...

Rayyan Arif sangat istimewa..saya masih berdoa moga dipertemukan dengannya..mungkin di PKNS juga? InsyaAllah..mudah mudahan..:))))

yatie chomeyl said...

btol jiey, rezeki anok u ado sokmo..wpon kito risau lagu mano sekali pong

iCaLoVeZiE said...

takmo komen pasal entry ni. sebab tetiba rasa sedih bila imbas macam mana orang nengok ayesha bila dia make sound di public.

Tapi nak cakap satu je. Ian, makin besar makin hensem la jiey? Kecik bukan tak comel. semua baby pun comel. Tapi biasanya, makin besar, kurang dah comey. Yang Ian, makin besar, makin putih. Makin comey! geram..

Mudah-mudahan Ayesha akan dapat adik lelaki secomel ian suatu hari nanti :D

Yasmin Nabilah.. said...

Jiey.. budak2 ni mmg glemer..Nabila pun sama..abis satu taman umah ina nih dok sapa2 dia klu kami keluar..:)
Rezeki usah cerita lah..mmg banyak kan..Alhamdulillah..Allah permudahkan jalan untuk kita..:)
Mulut org mmg tak leh nak tutup..ina sendiri kdg2 dah malas nak tgk muka2 org yang suka dok pandang Nabila pelik..siap kepala tu terpusing2 walaupun kami dah jalan jauh..huhu..

Anonymous said...

Betul tuh..saya pun sokong apa yg noina ckp tuh.rezeki anak2 istimewa ini mmg murah.walaupun pada mulanya saya juga risau tentang perbelanjaannya - operation jantung 2x,ENT, speech teraphy,fisio,OCCT,paeds,ubatan,makanan khas,alatan stimulation dan sebagainya.alhamdulillah..
semoga kita semua dipermudahkan.