Monday, September 13, 2010

2 Syawal 1431H dan pesanan dari mereka yang menyayangi,,

Pagi 2 Syawal, saya bangun dari tidur lebih awal dari kebiasaannya. Niat di hati mahu mengemas dapur dan ruang tamu yang agak berselerak kerana malam sebelumnya kami tidak sempat berkemas. Masuk sahaja ke ruang dapur, mommy bersuara, "Tadi masa mommy duduk sorang-sorang, mommy bukak radio.. Semua lagu sedih-sedih. Bila teringat kat Ian, terus jatuh air mata.."
.
Saya sekadar membalas dengan berjenaka. Untuk seketika, kami berkongsi rasa.. Dan mujurlah En.Hubby tiba tidak lama kemudiannya.. Menutup ruang untuk mommy terus menutur kata. Saya berterima kasih kepada En.Hubby di dalam hati. Bukan tidak mahu bercerita, namun kerana sebak merajai hati terutamanya apabila mommy melafazkan ayat, "Sedih tengok anak-anak orang yang datang sihat-sihat semua.. Untung nasib Ian plak belum tahu lagi.."
.
"Jangan sesekali lupa berdoa pada tuhan. Doa ibu tu berkat.." Tutur kata mommy terhenti di situ apabila saya berlalu ke ruang tamu bersama En.Hubby. Sepanjang menyapu, pelbagai kemungkinan bermain-main di ruang minda..
.
Tengaharinya pula, salah seorang makcik saya datang berhari raya dan mommy leka bercerita dengannya di dapur. Sebaik sahaja saya memasuki ruang dapur, makcik saya terus berkata, "Doa banyak-banyak kak.. Tuhan maha besar.. Dia yang boleh mengubah segalanya.." Saya cuma tersenyum sumbing dan berlalu bersama semangkuk kentang putar untuk Rayyan Ariff.
.
Tidak berniat untuk berlaku kurang ajar atau tidak mahu mendengar kata-kata mereka yang mengambil berat, tapi kerana saya takut air mata ini akan menitis di hadapan mereka. Kebelakangan ini, setelah melalui ujian demi ujian, benteng air mata ini begitu mudah rapuh. Dan saya tidak mahu dilihat sebagai menangisi takdir Rayyan Ariff. Kerana itulah saya memilih untuk menjauh walau di sudut hati, sangat bersyukur di atas semangat dan sokongan yang diberikan..
.
Dan malamnya, sewaktu saya sedang melihat satu persatu gambar yang diambil sepanjang Aidil Fitri kali ini, mommy tiba-tiba sahaja memasuki ruang kamar dan duduk di sebelah saya. Matanya terus-terusan memandang skrin laptop, "Banyaknya gambar Ian. Kalau apa-apa jadi pada Ian, boleh ke Kak tengok gambar dia? Mommy tak sanggup.. Arwah adik Ella dulu pun mommy tak tengok gambar dia sampai bertahun.."
.
"Selagi dia ada, setiap detik dan saat Kak nak ambil gambar dia.. Kita taktahu esok atau lusa macam mana.. Dengan sesiapa sekalipun sama juga. Anak yang sihat pun tuhan boleh ambil bila-bila masa, cuma kalau yang sakit ni biasanya kita terlebih ambil beratlah.." Membalas dalam senyum..
.
Sebetulnya, pada pagi 1 Syawal, Rayyan Ariff bermain seperti kebiasaannya dia. Raut wajah nakal dan manjanya cukup menghiburkan. Namun beberapa kali saya terkesan kelainan pada tingkahnya.
.
Masih dengan buku dan mainannya..
.
Menjelang petang, kami berkunjung ke rumah saudara En.Hubby. Hanya selepas beberapa minit kami tiba, Rayyan Ariff tiba-tiba sahaja menunjukkan tanda-tanda foreign body failure yang sama seperti detik-detik sebelum pembedahan tempoh hari. Saudara-mara Hubby yang berada di tempat yang sama juga hampir menitiskan air mata menyaksikan kesakitan pada tubuh kecil itu..
"Kasihannnn.. Kecil-kecil lagi sudah merasa sakit sebegini.. Hebatnya dia berjuang.." Ucapnya sambil mata tidak henti-henti memandang Rayyan Ariff yang terbaring kelesuan dengan kepala yang tertoleh-toleh kesakitan..
.
Sekelip mata, dia terbaring di dalam lena yang dalam..
.
Kami hampir sahaja mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur pada malam itu juga. Tapi mujurlah Rayyan Ariff kembali ceria setelah tertidur selama beberapa jam. Namun episod yang menakutkan ini masih tidak terhenti di sini kerna jelas sekali, ada sesuatu yang tidak kena pada alat yang terpasang pada kepalanya. Dan saya, sudah membuat temujanji dengan Pakar Bedah Neuro Rayyan Ariff pada hari isnin untuk membuat pemeriksaan terperinci ke atas cinta hati kami ini..
.
Setelah episod serangan itu, beberapa kali selepas itu Rayyan Ariff kelihatannya berada di dalam ketidakselesaan. Bagaikan ada yang tidak kena, sehinggalah ke hari ini..
.
Tanya seorang saudara, "Kalau alat itu bermasalah macam mana?"
.
"Mengikut pengalaman yang lalu, perlu ditukarlah.. Sebelum ini pun, 4 kali Rayyan Ariff disorong ke dewan pembedahan untuk mencari kesesuaian dan kesepadanan. Padahal usianya baru sebulan lebih waktu itu. Dengan berat yang belum pun mencecah 1.8kg, tubuh kecilnya sudah melalui pelbagai kesakitan, namun dia terus kuat.. Untuk kali ini, saya tidak punya jawapan yang pasti tentang apa yang bakal terjadi.. Moga-moga rahmat syawal terus bersamanya.." Tersenyum dan memandang kosong..
.

.
Sebenarnya, setiap kali sahaja Rayyan Ariff berperang dengan kesakitannya, jiwa saya turut berperang. Rasa bersalah menggunung kerna saya seringnya merasa sayalah punca dia menanggung kesakitan ini. Kalau saya menurut kata doktor untuk tidak melahirkan Rayyan Ariff, mungkin sahaja dia kini berada di syurgaNya.. Selfish kah keputusan yang kami ambil?? Wallahualam..
.
Dan seperti seringnya, pemikiran seperti ini hanya dapat saya sangkal berlandaskan pada satu hakikat, bahawa inilah perjanjian Rayyan Ariff denganNya yang Maha Mencipta..

11 comments:

Cool said...

jiey tak tido lagi? mlm ni aku doa utk rayyan.... supaya segala kekuatan ada padanya, dan biar segala rahmat untuknya..

ieda said...

salam jiey...moga ian kembali sihat.its sad to see him like that..praying the best for this little tough boy.

Anonymous said...

kita sentiasa punyai pilihan....yang saling membezakan...adalah keadaan...kekangan...matlamat..

lain orang lain pandangannya...lain caranya...dan kadang2 lain kepentingan yang diletakkan...

meskipun demikian....yang menyamakan kita adalah...sebagai hamba-Nya...sentiasa perlu sabar dan redha...bertawakal...apabila ketentuan-Nya telah pun terjadi...ada hikmah yang tersembunyi...ada rahmat atas tiap ketentuan....

walau ada ketika sepertinya keimanan itu datang dan pergi...pasang dan surut dalam diri...tetapi kalimah syahadah sentiasa diperbaharui dengan Allah....diwaktu ketika perasaan hati begitu sedar kita hamba-Nya yang ruku' dan sujud kepada-Nya...

Wallahu'alam...

Ciknon said...

Jiey, macam mana ngan Ian? Jiey jgn risau sgt yea, selalu ingat apa yang Jiey n husband buat sekarang ini, itulah yang terbaik utk Ian, jgn sekali-kali terlintas rasa kesal di hati yea. Tawakal pada Allah selalu, hanya Dia yang tahu. Akak doakan Ian kembali seperti dulu ceriakan papa n mama nya ... Ya Allah Kau kurniakanlah kesihatan yang terbaik untuk anak ini. amin.

eiNa said...

saya doakan Allah pemudahkan segalag-galanya buat Ian, moga Ian kuat dan kembali aktif ..

kamalnzura said...

jiey, 1 Syawal, baby sy masuk hosp, terpaksa ambik nebulizer. todi satu mlm di wad. itu pun sy dah hilang arah...

awak kuat sggh la jiey...kuat sggh!
sy tak tahu camana lah sy akan jd, kalau sy di tmpt awak. sy tak sekuat awak.

kamalnzura said...

jiey, 1 Syawal, baby sy masuk hosp, terpaksa ambik nebulizer. todi satu mlm di wad. itu pun sy dah hilang arah...

awak kuat sggh la jiey...kuat sggh!
sy tak tahu camana lah sy akan jd, kalau sy di tmpt awak. sy tak sekuat awak.

Min said...

jiey...

kuatkan hati, yakinlah yang kita sekrang hanya menjalankan apa yang telah Allah taqdirkan untuk anak kita. tiada apa yang perlu kita sesalkan... Allah knows best! semua di dunia ini milikNya, hatta sehelai rambut di kepala ini tak akan gugur tanpa ilmu Allah...

Elyn Sani said...

jiey jgn salahkan diri sendiri. mungkin ade hikmah ian lahir kat dunia ni. doa i sentiasa ada utk ian...

Aisya said...

K.jiey..kuatlah demi ian.jgn salahkan diri sendiri.tuhan duga kita melalui anak2.saya juga seperti awak..lemah dengan kesakitan yg ditanggung oleh sikecil.tp mereka perlukan kita.
Ya Allah sempena Syawal yang Mulia ini, Engkau sihatkanlah anak2 kami..panjangkanlah umur mereka.berikanlah kekuatan kepada mereka utk menempuhinya dan kami sebagai ibu hanya mampu berdoa.hanya padaMu tempat kami meminta.Engkaulah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani.

adex-aieda said...

jiey....;(
adex pon pernah rasa apa yg jiey rasa..kita punya anak istimewa...jgn salahkan diri..ada hikmah semua ni terjadi...be strong...