Wednesday, May 6, 2009

Tangisan yang dirindu..

Minggu ini, walaupun disertai dengan cuti hari buruh, kami tidak ke mana-mana. Hubby ada urusan kerja dan meninggalkan kami di rumah selama 3 hari 2 malam. Walau keretanya ditinggalkan, kami tidak ke mana-mana kerana 'keberanian' saya memandu..
.
Mungkin kerana terbiasa dengan hujung minggu yang dipenuhi aktiviti, Ian mula menunjukkan 'perangai' cantiknya kerana kebosanan. Banyak menangis. Dengan bibik pun tidak mahu. Asyik mahu berkepit dengan saya sahaja. Sudahnya, menonton TV juga sambil duduk di ribaan saya. Kata bibik, Ian sombong apabila ibunya ada di rumah.. :P
.
Mengenangkan perangainya itu, cukup menguji kesabaran. Disuapkan bubur nasinya juga menangis. Bukan hanya tangisan yang biasa, tapi raungan hingga naik merah mukanya. Sehingga tercekik, terbatuk-batuk seperti hendak muntah. Aduhh.. Sabar sahajalah.. Mungkin sahaja dia teringatkan ayahnya. Mungkin..
.
Kalau saya yang dulu, mungkin sekali saya akan memarahi dia dan meninggikan suara. Dan hati syaitan akan berkata, "Berbaloikah kamu bersusah-payah untuk anak yang sebegini?" Sungguh hebat bisikan syaitan kan? Tapi setelah saya 'bangkit', ini semua bukanlah sesuatu yang sukar. (Kalau diizinkan Kak Suealeen, mungkin saya boleh berkongsi kata-katanya yang cukup menyedarkan.. =P )
.
Sebetulnya, setiap perkara yang dilakukan oleh Ian, saya anggap itu sebagai rahmat. Biarlah kalau dia mahu menangis hingga hilang suara sekalipun. Itu menunjukkan dia tahu mengekspresi rasa jiwa. Satu perkembangan juga bukan? :P
.
Saya suka Rayyan yang menangis dan menolak-nolak kakinya setiap kali mainannya diambil sewaktu dia sedang enak bermain. Tangisan yang menunjukkan dia masih belum puas bermain. Saya suka Rayyan yang menangis apabila dia dikeluarkan dari tub bayinya sesudah mandi. Tangisan tanda protes dan menzahirkan bahawa dia masih belum puas bermain air. Semua ini perkembangan. =)
.
Percaya atau tidak, tangisan Rayyan amat berharga buat saya. Tangisan inilah yang amat saya rindui suatu waktu dahulu. Sewaktu saat pertama dia dilahirkan. Dan sewaktu dia masih di NICU juga.
.
Setiap kali saya melawatnya, dia sering sahaja berada di dalam lena yang dalam. Puas diusik, dia hanya membuka mata dan sejurus melihat wajah saya beberapa ketika, dia kembali ke dalam lenanya. Suara dan tangisannya bagaikan emas. Malah lebih mahal dari itu. Emas boleh sahaja di dapati di Habib Jewel, tapi tidak suaranya. Sungguh saya rindu!
.
Waktu itu, hanya ada rakaman dan foto-fotonya sahaja. Pernah sahaja saya terjaga dari tidur, saya cuba memeras otak untuk berfikir bagaimana rupa Rayyan. Saya gagal. Tiada bayangan wajahnya. Cepat-cepat telefon bimbit dan kamera digital saya capai. Wajahnya saya tatap bersungguh-sungguh. Bimbang terlupa lagi. Mungkin kerana terlalu bersungguh-sungguh mahu mengingati membuatkan saya terlupa.
.
Setelah lebih sebulan di NICU, pastinya segala urat-urat Ian yang sesuai sudah habis dicucuk bagi memasukkan drip dan alat-alatan lain. Jadinya, untuk pembedahan keempat, sudah tiada tempat yang boleh dicucuk lagi. Doktor mencuba beberapa kali tetapi gagal. Raungan Ian sungguh kuat sehinggalah dia diberikan pacifier untuk menenangkan. Akhirnya, selepas beberapa percubaan, urat di kaki kanan yang digunakan. Saat itu saya rakamkan, walau hanya dari kejauhan kerana doktor yang meminta saya menunggu di tempat yang agak jauh. Mungkin kerana takut saya tidak sampai hati.
.
Rakaman itulah yang saya tonton berulangkali di rumah. Rindu saya terubat dengan suara raungannya. "Sudah, sudahlah tu.. Jangan tengok lagi.. Kesian mommy dengar suara dia. Suara orang dalam kesakitan tu.." Tapi saya masih meneruskan. Kerana suara itulah yang saya nanti-nantikan.
.
Saya pernah tanyakan kepada jururawat-jururawat di NICU, "Rayyan tak menangis ke kak?" Kerana susah sekali saya mahu mendengar suaranya. "Eh menangis jer.. Tapi masa mama dia ada takde pulak dia nangis. Agaknya dia taknak mama dia risau lah tu.." Kata kakak-kakak di situ. Kata mereka juga, Rayyan biasanya menangis di waktu pagi. Terutamanya sebelum dimandikan.
.
Untuk sesi melawat seterusnya, saya tiba seawal jam 815 pagi kerana mahu mendengar suara Rayyan. Sewaktu memasuki ruang wad, saya terdengar satu suara yang nyaring. Itu suara Rayyan! Saya segera mempercepatkan langkah. Tapi mana mungkin saya bisa mengejar suara itu, sayakan ibu yang baru melahirkan.. Pastinya langkah saya agak terbatas. Setibanya saya di katil Ian yang terletak di hujung, tangisan itu sudah berhenti. Dia sudah kembali terlena..
.
Kasihan. Ada air mata yang masih tersisa di tepi mata kanannya. Dia tertidur setelah menangis tanpa ada yang memujuk. Sesudah tangan dicuci, saya angkat tubuhnya dan mendakapnya erat. Indah sungguh saat itu. Kata jururawat di situ, adakalanya, Ian akan menangis kerana mahukan perhatian. Setelah diangkat dan dipeluk, dia akan kembali diam. Tapi ada waktunya, permintaannya itu tidak mampu ditunaikan kerana kesibukan yang mengikat jururawat di situ. Saya mengerti. Kerana mereka punya ramai nyawa kecil yang mahu dijaga, bukan hanya Rayyan..
.

"Ma, besarnya menatang nih.. Lagi besar daripada Ian! Kagum la.."

"Hiyahhhh.. Pulas tangan dia!! Biasa nih dia nih!! Biar dia plak yang nangis!"

Itulah kisah saya dan tangisan bayi. Kalau tangisan itu yang saya kejar-kejar suatu masa dahulu, mengapa kini saya mahu menganggapnya sebagai beban. Tidak perlu tension hanya kerana anak menangis. Anggap sahaja ia sebagai irama terindah yang pernah kita dengar.. Lebih indah dari sebarang melodi ciptaan mana-mana pencipta lagu..

Sekarang ini juga, tentu sekali masih ada rasa geram apabila dia menangis. Terutamanya apabila mahu melakukan senaman dan fisioterapi kepadanya. Tapi dari memarahi anak kecil yang tidak tahu apa-apa itu, lebih elok kalau dia 'dipujuk' dengan kata-kata sayang yang agak tegas.. :P

P/s - So kawan2, kalo anak nangis jangan stress yea.. Rahmat tuhan tu.. =)

16 comments:

Mommy Lyna said...

kawe dop kisoh sikit abuk kalu anok2 tiok, tapi gak ore2 tuo la. mace2 la. tok dio siap g jupo tuk bomo mitok air penawar.

tapi gak buwi air penawar sebesen pun dop ile2. kahkahkah.

incik said...

sungguh,,sweet sgt kate2 akak..sy yg xde anak ag ni pun~not even married yet~..terasa mendalam kasih akak tu..sy syg rayyan dr jauh...dia istimewa bkn disebabkn kekurangan nya..tp..sebab kekuatan yg ada pd die n yg die bw utk akak same..=)slm syg rayyan..muah..

suealeen said...

tapi kalo geram terbabap la jugak! hehehe...

nak quote apa ni? tak per.. tak de copyright pun...

yatie chomeyl said...

good advice ni jiey..mok buyung akan ingat nanti bilo2 baby Sn teriok...mok buyung akan cubo sabar :)

-:- Zafran BabyAndKidsCollections Enterprise -:- said...

jiey... jiey nie boleh menulis laa.. buat buat satu BUKU khas untuk Rayyan.. ayat2 yg sungguh syahdu bila di baca...

AiYa said...

jiey,

thanx ya. tiap kali najwa nangis xtentu pasal time AiYa tgh tdo lena, mmg ilang sabar tp tiap kali tu jgak akn ingat kat Jiey ngan Ian, Ina ngan Nabila. salute korang.

AppleCrux said...

semakin hari Ian semakin terserlah personalitinya..he's just like any other babies..my son pun mcm tuh..kita bgn nak gi dapur nangis, ambik mainan dia tgh main nangis..hehe..but i don't mind. because mcm jiey, i pun tunggu 5 thn nak dgr sora budak kecik ni!

Syaz said...

betul tuh...saya kdg2 bila anak menangis xtentu pasal mula nk hangin...pastu bila teringat2 balik sure saya plak yg sebak..nape la aku ble marah2 budak kecik tuh...hmmm..

Liana Manjaku said...

Hehehe...Jiey, kata2 jiey tu buat saya termenung seketika. Benar kata2 Jiey itu. Hubby saya pun selalu kata gitu! Dia kata kita tak faham kenapa dia menangis, so...kita pujuk ler dia...huhuhu... Tq Jiey...sedikit sebanyak...ia beri kesan pada diri ummi :)

Mrs. Simplicity said...

aku mmg takleh dgr nia nangis. bukan marah tp bole migrain. mmg betul2 migrain. heeheh.. tp tu la, time diorg buat perangai, mmg menguji la especially time bg makan. urut dada je la aku. hehe..

Intan and The Boys said...

jiey, kite adalah salah sorang yang suka dengar baby nanges. tak kire la baby nangis hiba ke, nangis saket ke, nangis ngada2 ke, semua kite suke.

cam psiko pon ada gak nih. hehehhe.

Adinina said...

mmg pun...time nangis tu rasa "arrghh ape lagi yg tak kena ni..."...haha...

but budak kecik tau ape kan..plg tak pun dia saje nak mengada..layan je la kan.. :p

Unknown said...

betul jiey... kalau satu masa lu lin pun bingit telinga mendengar adik2 menangis tak tentu pasal, dah sebingit itu jua la suara ni kuar, tp setelah ada adwan ni, semua itu dh tak di hiraukan lagi... mungkin lumrah hati ibu....

ian...muah kat dia...

cintaKusayangMu said...

rindunye nk dgr anak nangis..huhukkk

Unknown said...

salam perkenalan...terpanggil tuk baca tuh... teringat masa Baby Qis admit sbb jaundis...kena cucuk sana sini...tangisannya penuh syahdu..sudahnya anak dan mak sama2 nangis... Sememangnya tangisan anak2 itu ibarat muzik dihatiku...

izzahazfar said...

ish...last2 bonda raziq pulak yg mengalir air mata...

kekadang tu bila anak zah nangis..tercabar juga iman..terasa nak marah kat dia...dan yg pasti ada juga masa zah tinggikan suara..

tp lepas baca artikel akak..zah setuju..tangisan itu nikmat tuhan...

terima kasih..