Tuesday, February 3, 2009

Lucky!

Ini bukan lagu Britney spears. Ini juga bukan lagu Jason Mraz. Tapi saya tahu saya seorang yang bertuah. Saya ada ibu bapa yang cukup menyayangi saya. Yang bersama-sama saya di saat jatuh bangun saya. Malah, mommy sanggup meninggalkan suaminya hanya semata-mata untuk menjaga anak saya. Dan abah, dengan penuh rela meminta isterinya menjaga cucunya yang satu. Walau itu membawa maksud dia harus berjauhan dengan isterinya.

Saya punya adik-beradik yang tidak pernah membiarkan saya berseorangan. Sewaktu Ian masih di PMC, dengan keadaan saya yang tidak memungkinkan saya memandu atau pun menaiki pengangkutan awam, bila saat hubby tidak dpt menghantar, adik lelaki sayalah yang membawa saya ke sana. Hampir setiap hari. Berulang alik tanpa jemu. Adik perempuan saya juga menjadi tempat saya berkongsi bicara.

Dan dikala Ian harus menjalani fisioterapi, saban minggu, abang sayalah yang membawa kami ke sana. Tanpa banyak soal dan dia juga sanggup mengetepikan urusan kerjanya.

Dan saya punya suami yang amat menyayangi. Seperti pasangan lain, kami juga tidak terlepas dari ‘berperang’. Dan tika itu, serasa ingin saya bahagi dua rumah ini. Biar dia tinggal di sebelah kanan dan saya tinggal di sebelah kiri. Agar saya tidak perlu menatap wajahnya lagi. Tapi itu hanya seketika. Kerana ketika susah, wajah itulah yang kekal disisi saya. Ketika senang, wajah itu jugalah yang tersenyum bersama saya. Walau tidak tampan di mata orang lain, cukup manis di mata saya.

Saya punya rumah. Walaupun ia bukanlah banglo 5 bilik di puncak bukit atau di tepian pantai, tapi ia cukup menjadi tempat untuk kami berteduh dan menghilang penat.

Saya punya kereta. Walau ia bukanlah BMW 5 series, cukuplah untuk membawa kami anak beranak ke mana sahaja yang kami inginkan.

Saya punya kerja. Walau saya tidak berjawatan pengurus atau pengarah, dengan gaji ini, sudah cukup untuk saya meneruskan kesinambungan kehidupan dan untuk saya menabur kesenangan kepada yang tersayang. Dan kerana pekerjaan ini jugalah, kami bisa mendapat rawatan di mana-mana pusat rawatan kelas pertama sama ada pusat rawatan kerajaan atau pun swasta. Tanpa had.

Dan yang pasti, saya punya anak. Amanah Allah SWT yang merupakan anugerah terindah dalam hidup saya. Yang mengajar saya erti kesabaran. Yang membuka mata hati saya kepada kekuasaan Allah SWT dan keterbatasan kita sebagai hambaNya.

Saya akur bahawa saya harus bersyukur kerana sekurang-kurangnya saya punya zuriat. Saya punya anak kecil untuk dipeluk cium. Saya punya anak kecil untuk bermanja. Dan kehidupan saya sebagai wanita lengkap dengan hadirnya anak ini di dalam hidup saya. Berbanding orang lain yang masih menanti, berbanding orang lain yang anak-anaknya tiada di sisi, berbanding orang lain yang telah kehilangan anaknya.

Dan sememangnya saya amat bersyukur dengan kurniaanNya. Saya terus cuba untuk sentiasa berfikiran positif. Memang adakalanya saya tergelincir, kerana saya seorang manusia yang lemah dan kerana iman di dada senipis kulit bawang. Dan kerana saya sering disogokkan oleh peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekeliling saya.

Saya bukan menulis untuk mengeluh. Jauh sekali untuk mencari simpati. Tapi sekadar melepaskan apa yang terbuku di hati. Meluahkan rasa yang tidak terzahir melalui butir bicara.

Jangan kata saya tidak bersyukur! Siapa kamu untuk menilai saya?? Tapi ingat, saya juga manusia biasa yang perlu masa untuk kembali tenang setiap kali badai melanda. Cuba letak diri kamu di tempat saya. Kamu sedang makan, dan teman-teman sepejabat lain gah bercerita tentang kebolehan anak-anak mereka yang lebih kurang sebaya dengan anak kamu. Dan kamu hanya tersenyum mendengar. Apa rasa kamu? Saya pernah merasa terpinggir. Saya pernah merasa tersentuh. Terutamanya apabila mereka bertanya tentang kebolehan anak saya. Tapi kini saya sudah tidak kisah. Saya sudah tidak heran. Saya sudah berhenti membandingkan anak saya dengan anak-anak mereka. Seperti janji saya pada Kak Suealeen..

Sewaktu dikhabarkan anak saya tidak dapat melihat dan mendengar, saya kecewa. Saya terduduk. Kerana saya hanya manusia biasa yang tahu apa itu sedih. Kata kamu, “Biarlah.. Dia hidup pun dah mujur..” Yea, saya tahu itu. Tapi apa perasaan kamu sebagai seorang ibu?? Anak yang kamu kandung diberitakan sebegitu. Saya bukan tidak redha, hanya mengambil sedikit waktu untuk menyelami. Sunyilah hidupnya jika tidak dapat mendengar. Gelaplah hidupnya jika tidak dapat melihat. Tidak bolehkah kalau saya bersedih untuk seketika sebelum saya kembali berdiri teguh??

Seperti juga kata-kata kamu, “Actually, it’s better to let the baby go. Yes you’ll cry. But it will only be for a while, after you have another child, the pain will eventually disappear.. Rather than to have him by your side, go through all the hardship and suddenly, he’s gone. It will be harder for you.”

Ya saya akui, kalau itu jalan ceritanya, saya akan menangis untuk seketika dan saya akan teruskan kehidupan. Tapi bolehkah air mata ini saya tahan setiap kali kenangan menghambat jiwa? Tidak semudah yang kamu bilang. Tidak sesenang yang kamu utarakan. Letak diri kamu di dalam situasi saya, apa rasa kamu??
.
Sungguh, walau sesusah mana pun saya, andai berpisah dgn Ian dlm detik waktu sekarang, jiwa saya akan pecah. Dialah penyeri. Dialah permata. Senyum itulah yang melegakan hati saya setiap kali kepenatan pulang dari kerja. Kening halus bagai dilukis itulah yang mengusik jiwa saya setiap kali saya berbicara dengannya. Dia sering mengangkat-angkat keningnya seakan dia sangat memahami butir bicara saya.

“How could you? If I were you, I would have terminated the pregnancy. Now poor baby have to suffer. Don’t you feel guilty? Every time you’re out let say for a party, don’t you feel guilty that you just left him in the house like that?? It's not easy!”

Siapa kata senang? Kamu ingat, senangkah untuk saya menatap wajah mulus itu setiap hari? Kamu ingat, senangkah untuk saya melihat ke dalam mata yang berkaca itu?? Melihat setiap kepayahan yang dilaluinya? Setiap hari saya dihambat rasa bersalah.
.
Seandainya bisa, dulu lagi pasti saya akan bertanya, “Anakku Rayyan Ariff, apa mahumu? Kamu mahu mengalah sebelum berjuang atau kamu mahu terus bersama kami yang amat menyayangimu? Buatlah pilihanmu sendiri!” Tapi sudah saya katakan, pilihan bukan di tangan kami! Kami hanya meneruskan hidup di atas landasan yang Allah telah tetapkan buat kami.

Untuk keluar bekerja juga saya merasa amat bersalah kerana saya merasakan satu obligasi untuk saya berada di sampingnya setiap waktu. Tapi itu bukan jalannya. Itu bukan caranya. Ada waktu, dia harus saya tinggalkan.

Jujur. Segala yang saya lakukan, ada rasa bersalah yang menghambat. Contohnya ‘vacation’, di setiap ruang waktu saya memanjatkan doa agar Ian tidak demam atau sakit kerana perubahan tempat dan cuaca. Balik kampung, juga menghambat rasa bersalah kerana jarak perjalanan yang panjang dan kondisi jalanraya yang tidak memuaskan (tapi takkanlah saya harus menurap tar pada jalanraya sepanjang-panjang jalan pula).

Adakah saya harus menghentikan segala aktiviti hanya kerana rasa bersalah?? Saya juga manusia yang fitrahnya mahu berhibur setelah berhempas pulas menjalani kehidupan. Bukannya saya keluar berparti seperti kamu pun. Ada waktunya saya mahu bercuti.

Apa yang saya lakukan kini ialah, cuba mengadaptasi kehidupan saya dengan kehadiran Ian. Dan cuba untuk tidak memanjakan dia secara berlebih. Dia juga harus mengadaptasi dengan kehidupan kami. Saya tidak boleh berhenti kerja buat masa sekarang. Saya tidak boleh menjaga Ian sepenuh masa buat masa sekarang. Tapi InsyaAllah, bila mana keadaan mengizinkan, tentu sekali itu yang akan saya lakukan. Kamu ingat, saya tidak mahu bergelar stay-at-home-mother?? Bodohlah saya!

Bila saya tidak membawa dia keluar, kamu kata saya tidak kesian padanya. Bila dia saya tinggalkan di rumah, kamu kata saya memanjakan dia kerana tidak mahu dia terdedah dengan sebarang bahaya. Terdedah kepada sebarang kuman. Bila saya bawa, kamu kata kasihan padanya. Kerana dia lebih selesa di rumah. Lebih selesa di tilamnya. Apa mahumu?? Biarkan saya okay!!

P/s - Kalau kamu rasa coretan di sini berlebih-lebih, membesar-besarkan cerita, saya tidak heran! Ini ruang untuk saya meluahkan rasa hati saya. Kalau kamu rasa ianya sesuatu yang mudah, hebatlah kamu.

Dan kamu, kalau kamu rasakan membuang anakmu sendiri dari awal adalah jalan terbaik, fahamlah saya kenapa tuhan kurniakan Rayyan Ariff kepada saya. Dan bukan kepada kamu!!

9 comments:

Anonymous said...

Salam

Sebak yana baca..abaikan apa orang kata..orang tak lalui apa yang awak lalui..be strong for Ian..Ian sangat2 comel..jagalah die sebaiknya..kita yang mengandungkan anak..hanya kita yang tahu yang terbaik untuk anak kita..Yana and Ammar doakan Ian yang terbaik..ada rezeki boleh jumpa..Ammar leh kawan dengan Ian..be strong k..Insyaallah Allah mudahkan semuanya untuk awak..Aminn..

M@y said...

Jiey^Mien,
u r a very tough mother!!go to hell la dgn pe org nk kata kan?derang xde anak istimewa..derang xde kt tempat u..Tuhan Maha Kaya..keep up the good work raising Ian with unconditional love..

mirah said...

Salam Jiey, be strong yea..
Mirah rasa keputusan jiey utk lahirkan Ian adalah satu keputusan tepat. Sekiranya kita yakin dan pasti bahawa Allah lah yang Maha Berkuasa di atas segalanya, mana mungkin kita menangkis apa yang telah tersurat.

Walaumacamne pun, anak itu tetap pembawa rezeki. Dia tak carry apa-apa dosa pun. Thanx jiey sebab berkongsi rasa, sekurangnya ia juga mengusik hati ini dan melihat betapa hebatnya perancangan Allah itu..

Eliss said...

Jiey,tidak semua orang setabah Jiey..kalo jadi kat tempat eliss,tak dapat digambarkan perasaan itu..jiey memang kuat..ian pasti bangga punya mak sekuat jiey..Insya Allah..

~ChEnTa~ said...

babe.. aku baru tahu rayyan sebegini. sebab sebelom ni aku fikir, dia seperti bayi premature yang biasa.. yang akan hidup normal selepas sampai tempoh matangnya. tapi aku silap rupanya..
aku tahu ko kuat. kalau tidak, kenapa Allah beri ko Rayyan kan?
persetankan apa pandangan orang..

Anonymous said...

andai kata sumday bila dh tiba masa Ian pergi, i am so sure he will be very grateful for being given a chance to be with a mom like u. and i am also sure jiey sndiri pun puas hati kan sbb skrg2nya jiey dah berusaha n sempat tumpahkan kasih syg towards Ian. mcm jiey penah kata kalau betul pun Ian nak pergi biarlah Allah yg ambil sndiri bukan sbb u terminate d pregnancy. mmg sng org berkata2 sbb dia sndiri xmengalami. and yes... sbb tulah Tuhan kurniakan Ian pd jiey n bukan kepada mereka2 yg berkenaan sbb diorg sememangnya sket pn xlayak.

Anonymous said...

ppl wont understand our feeling & what we've been thru.

ppl would tend to give GREAT 'advise' especially for things yg tak berlaku pada dia.

Jiey, (xtau nok ngoyak gapo)

:D

Ian siar doh ko?

Anonymous said...

sangat menyentuh perasaan.. takpa lah jiey.. tak payah peduli dengan apa org lain kata. yang penting jiey tau apa yang jiey buat.Ian sangat bertuah sebab ada ibu yang kuat macam jiey dan ada family lain yang sayangkan dia.

Watie Aziz said...

Jiey,
I pun tak tahu nak cakap apa yerk..tapi tgn nih click jugak butang komen ..hmmm..i tau mesti dah banyak kata2 sokongan yg u dapat & apa yg i tulis nih hanyalah tambahan 1 komen sahaja...

i pun tak berada dalam kondisi u untuk i berkongsi rasa tentang anak-anak kita. Alhamdulillah, my baby so far so gud, tapi bila i tgk Rayyan, as i said in my comment earlier .. i cant really see weakness dia .. suci sungguh muka dia bila tidur ..sampai i tertanya-tanya ..kat mana silapnya this baby? bunyi macam major sakit, tapi kat mata aku , normal jer .. (sampai skang masih lum jumpa entry story pasal full condition di ..heheh) cuma tang mata as u said, memang i nampak..all babies cam tuh masa baru lahir .

my baby pun merangkak lambat jugak..i pun risau, but sooner ..she's ok...now Q nak dekat setahun..berjalan pun lum pandai, setakat berdiri jer ..nak jalan takut .. tapi i latih hari2 dia tolak walker tuh ..

apa yg i leh kongsi ngann u ..sabarlah Jiey, Tuhan tahu apa yg terbaik untuk kita. Kita buat yg terbaik untuk anak kita selagi dia ada, sekuarang-kurangnya, bila dia dah takder, kenangan2 itulah yg akan menemani hari2 kita & kita tak ralat because kita dah wat yg terbaik untuknya ..

may Allah give u the strenght ..god bless u ..